Menggilap Permata Di Hulu Limbang

Diterbitkan: Selasa, 8 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SAAT BERSEJARAH... Mismona Manggai, 13, (kanan) bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai bersama ibunya, Banun Franchis, melihat surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Labuan ketika majlis pengiktirafan SK Ulu Lubai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini. Mismona merupakan pelajar tunggal di sekolahnya yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam Ujian Pernilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas. - Foto BERNAMA
SAAT BERSEJARAH... Mismona Manggai, 13, (kanan) bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai bersama ibunya, Banun Franchis, melihat surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Labuan ketika majlis pengiktirafan SK Ulu Lubai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini. Mismona merupakan pelajar tunggal di sekolahnya yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam Ujian Pernilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas. - Foto BERNAMA

LIMBANG: Tahun 2011 menjadi titik bersejarah buat Mismona Manggai apabila beliau akan memulakan langkah baru yang bakal merobah kehidupannya selama ini.

Kalau dahulu, tanah merah becak, belantara hijau dan sungai yang sempit menjadi lanskap lumrah yang dilalui bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai ini, namun kini pasir-pasir pantai di Pulau Labuan sedang menanti kedatangannya.

Anak buruh kasar dan petani ini telah terpilih untuk meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Sains Labuan selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas, satu-satunya pelajar yang berjaya berbuat demikian di sekolah pedalaman itu.

"Saya tidak menjangka langsung untuk memperoleh keputusan ini. Sewaktu ujian percubaan dulu, saya hanya memperoleh A- untuk subjek Bahasa Inggeris dan ini telah merunsingkan saya sewaktu menghadapi ujian sebenar," kata Mismona yang berasal dari Kampung Rantau Panjang, Hulu Limbang.

Namun kerunsingan itu berakhir tatkala keputusan ujian sebenar dimaklumkan kepada beliau yang kini sudah melakar satu pencapaian yang jarang sekali berlaku khususnya di kawasan pedalaman seperti di Hulu Limbang.

KELUARGA KURANG BERADA

Lahir dalam sebuah keluarga yang kurang berada, Mismona adalah anak bongsu daripada lima adik-beradik. Dua orang kakaknya sudah berumah tangga manakala dua lagi masih bersekolah masing-masingnya di Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit dan Tingkatan Empat SMK Kubong, kedua-duanya di bahagian Limbang.

Ayahnya, Manggai Igang, bekerja sebagai buruh kasar di bandar Lawas dan sewaktu masih bersekolah di SK Ulu Lubai, ibunya Banun Franchislah yang bersama-samanya tinggal di kampung. "Selain menjaga saya, ibu juga bertani untuk menyara hidup," katanya.

Namun kedaifan hidup tidak mematahkan semangat Mismona untuk mencarta kecemerlangan dalam pelajaran.

Selain ibu bapa yang tidak pernah jemu untuk menggalakkannya belajar, Mismona merasakan dirinya beruntung kerana dikelilingi oleh guru yang begitu komited untuk melihat beliau berjaya.

GURU PEMBAKAR SEMANGAT

"Guru-guru di sini telah banyak memberi perangsang kepada saya sehinggalah saya dapat mencapai keputusan cemerlang ini," katanya. Tenaga pengajar di SK Ulu Lubai begitu prihatin dengan keperluan murid biarpun dalam keadaan sekolahnya yang serba kekurangan dan terletak jauh dari kawasan bandar.

Hasil daripada perangsang yang diberikan, Mismona berkata beliau dapat menelaah pelajaran dengan sepenuhnya tanpa diganggu keadaan persekitaran.

Di luar waktu persekolahan, Mismona telah menetapkan untuk belajar selama tiga jam pada waktu pagi dan tempoh yang sama pada waktu malam.

"Keadaan juga telah mengajar saya untuk berusaha sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain," katanya.

Kini menuntut di Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kubong, Limbang, Mismona yang cuma menunggu waktu sahaja untuk melangkah ke sekolah terpilih sudahpun menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor yang sudah tentu bakal merobah keadaan hidupnya.

"Memang sejak dari dahulu saya bercita-cita untuk menjadi doktor supaya saya dapat kembali dan berkhidmat untuk masyarakat," katanya.

MERINTIS KEJAYAAN SEKOLAH PEDALAMAN

Kejayaan Mismona telah mengulungi pencapaian SK Ulu Lubai yang baru-baru ini diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pelajaran dan adalah sekolah dari kawasan pedalaman pertama yang memperoleh pengiktirafan itu.

Menterinya sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri telah menyampaikan watikah pengiktirafan itu kepada guru besar SK Ulu Lubai, Jaul Bunyan.

Menjadi guru besar sekolah itu sejak 1998, Jaul yang juga anak tempatan kelahiran Nanga Merit, Limbang menyifatkan kejayaan mendapat pengiktirafan itu sebagai kejayaan masyarakat setempat di sana.

Tiada rahsia yang istimewa, katanya apabila ditanya berkenaan formula kejayaan SK Ulu Lubai, melainkan kerjasama erat antara pihak sekolah dengan masyarakat setempat yang menyedari hanya melalui pendidikan generasi baru dapat keluar dari perangkap kedaifan.

Sekolah yang dahulunya hanya dapat dihubungi melalui jalan sungai pernah ditutup selama setahun, iaitu antara 1976 dan 1977 setelah tiada guru yang sanggup mengajar di sana.

Jaul berkata penutupan sekolah waktu itu seolah-olah telah menyalakan inspirasi di kalangan penduduk setempat agar ia beroperasi semula memandangkan sulitnya untuk menghantar anak mereka ke sekolah terdekat, iaitu SK Nanga Merit, yang terletak kira-kira sejam perjalanan perahu dari kampung mereka.

Sejak itu SK Ulu Lubai terus melangkah ke hadapan hingga mulai 1998 berjaya mencatat keputusan kelulusan 100 peratus dalam UPSR selain meraih dua anugerah di peringkat antarabangsa, lima anugerah peringkat kebangsaan dan 14 anugerah di peringkat negeri.

"Dengan terpilihnya sekolah ini sebagai SBT, diharap ada lagi sekolah pedalaman lain yang sama keadaannya dengan sekolah ini boleh melonjak seperti kami," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan