suria

No 8 Heeren Street Simpan Lipatan Sejarah Lebih 200 Tahun Di Melaka

MELAKA: Sekiranya sebuah rumah kedai bernombor 8 di Jalan Tun Tan Cheng Lok di sini mampu berkata-kata, tentunya ia menjadi seorang pencerita yang hebat seperti seorang "datuk" menceritakan sejarah hidup kepada cucunya.

Masakan tidak, rumah kedai yang dikenali sebagai No 8 Heeren Street itu menyimpan lipatan sejarah Melaka lebih 200 tahun dan melihat sendiri evolusi bandar Melaka menjadi sebuah bandaraya yang disegani hingga menerima status sebagai Bandaraya Warisan Dunia.

Bagi Pengarah Eksekutif Badan Warisan Malaysia, Elizabeth Cardosa itulah yang cuba dilakukanya terhadap rumah kedai itu, beliau mahu setiap dinding, tiang dan anak tangga di rumah kedai itu "bercerita" mengenai sejarah hidup mereka untuk tatapan generasi muda masa kini.

"Masa mula-mula tengok nampak menyedihkan kerana rumah kedai itu terbiar lama macam hendak runtuh tetapi saya jatuh cinta pandang pertama bila melihat rumah kedai ini kerana rekabentuk dan sejarah yang ia simpan," katanya kepada Bernama di sini.

Elizabeth menjadikan minatnya kepada sebuah perjuangan bersama badan itu untuk memelihara bahan tinggalan sejarah di seluruh negara.

SAKSI EVOLUSI PERBANDARAN MELAKA

Menurut Elizabeth, rumah kedai di deretan Jalan Tun Tan Cheng Lok dahulunya dikenali sebagai Heeren Street terletak di kawasan pemuliharaan sejarah di sini adalah antara bangunan corak moden terawal dalam evolusi perbandaran di Melaka.

Beliau berkata rumah kedai dua tingkat di kawasan jalan itu dibina antara pertengahan dan akhir abad ke-18 manakala rumah kedai No 8 Heeren Street dipercayai dibina pada tahun 1794.

Sebelum itu bangunan di Melaka kebanyakannya diperbuat daripada kayu tetapi dengan kemajuan Melaka sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa ketika itu, bahan dan teknologi binaan yang lebih moden mula dibawa masuk dari luar negara.

"Bahan binaan baru seperti batu-bata dan atap genting mengubah wajah Melaka masa itu, rumah kedai di sekitar kawasan ini dibina bercirikan senibina Belanda," katanya.

Selain binaan, bangunan tersusun di kawasan itu juga menunjukkan perancangan bandar yang teliti oleh pemerintah Belanda pada masa itu yang mengenakan peraturan ketat dalam pembinaan bangunan di kawasan itu.

Sebagai contoh, batu-bata yang digunakan dalam pembinaan di kawasan itu perlu mempunyai saiz yang sama, tapak asas bangunan rumah kedai dua tingkat di kawasan itu mempunyai keluasan yang sama dan bangunan itu dibina tepat sejajar dengan jalan raya di kawasan itu.

Kemuncak kepada "zaman emas" pembangunan bandar di Melaka berlaku sekitar tahun 1826 apabila Melaka menjadi satu daripada tiga Negeri Selat, yang dua lagi ialah Singapura dan Pulau Pinang.

"Masa itu rumah kedai ini mesti digunakan sebagai kedai, ada juga yang jadikan rumah malah ada juga yang buat kawasan simpan haiwan seperti kuda, masa kita mulakan projek pemulihan rumah kedai ini, kita jumpa barang lama seperti pinggan mangkuk porselin dan barangan lain tertanam di bawah tapak ini," katanya.

MEMULIHKAN BUKAN MELAKUKAN PERMODENAN

Menurut Elizabeth banyak rumah kedai yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi di kawasan itu dinaik taraf sebagai bangunan baru tetapi malangnya kebanyakan naik taraf itu menyebabkan bangunan terlibat kehilangan keaslian senibinanya.

Beliau berkata daripada 366 rumah kedai di kawasan itu hanya 27 atau tujuh peratus mempunyai rekabentuk dan bahan binaan asli manakala 163 atau 45 peratus telah dimodenkan dan masih mengekalkan separuh keaslian.

Sesuatu yang agak malang kerana sebanyak 176 atau 48 peratus rumah kedai itu telah musnah atau dimodenkan dan mempunyai keaslian pada tahap yang amat rendah.

"No 8 Heeren Street ini kita pulihkan menggunakan bahan dan rekabentuk asal, bahan yang boleh diguna kita rawat dan kukuhkan, bahan yang sudah rosak kita tukar dengan bahan asal," katanya.

Melalui sebuah dana yang dinamai Dana Duta Amerika Syarikat Bagi Pemeliharaan Budaya dibiayai Kerajaan Amerika Syarikat berjumlah AS$18,000 yang diperoleh oleh badan itu di mana kerja pemulihan dimulakan pada Ogos 2001 dan siap pada pertengahan 2003.

Beliau berkata cabaran paling sukar yang dihadapi oleh kumpulan pemulihan badan itu ialah menukar palang melintang utama yang menyokong keseluruhan struktur bumbung rumah kedai itu.

Katanya palang tersebut telah reput dan perlu ditukar dengan palang baru tetapi jika dikeluarkan keseluruhan struktur bumbung rumah kedai itu akan runtuh.

"Jadi kita buat banyak tiang untuk sokong struktur bumbung itu, tirai di depan kedai juga jadi cabaran kita kerana kita mahu rekabentuk asal tirai jenis anyaman daripada zaman itu, lama kita cari tetapi akhirnya kita dapat cari orang yang boleh buat anyaman itu," katanya.

Pada 21 Mac 2005, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia pada masa itu Christopher J Lefleur, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi badan itu Datuk Seri Dr Ahmad Sarji merasmikan pembukaan rumah kedai itu.

WARISAN UNTUK GENERASI AKAN DATANG

Bagi Elizabeth semua kerja ini dilakukan hanya untuk satu matlamat, memelihara rumah kedai itu menjadi satu tinggalan penting untuk tatapan generasi akan datang di samping model rujukan yang penting untuk usaha pemuliharaan rumah kedai sepertinya pada masa akan datang.

"Rumah kedai ini seperti satu harta yang tidak ternilai untuk kita yang masih hidup sekarang, ia membolehkan kita melihat kehidupan nenek moyang kita masa dahulu, kita boleh belajar tentang cara hidup mereka dan kaji ini semua," katanya.

Elizabeth mahu rumah kedai ini menjadi seperti "gerbang waktu" yang membolehkan generasi muda melihat kehidupan generasi sebelumnya dan mahu rumah kedai ini diperturunkan serta dijaga dari satu generasi ke satu generasi.

Mengakhiri perbualan, beliau berharap lebih ramai orang datang menyaksikan sendiri keindahan senibina rumah kedai berkenaan.

No 8 Heeren Street dibuka pada hari Selasa hingga Sabtu antara pukul 11 pagi dan 4 petang, tiada sebarang bayaran dikenakan namun badan itu menyambut baik sumbangan daripada orang ramai untuk tujuan pemuliharaan.

Sebarang pertanyaan atau untuk temujanji lawatan di luar waktu, sila hubungi Badan Warisan Malaysia di talian 03-2144 9273 atau 06-2811507 atau layari laman sesawang http://www.badanwarisan.org.my/. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain