suria

Sikap Amanah Mengelak Penipuan Dalam Muamalah

BARU-BARU ini media massa heboh menyiarkan berita penipuan dalam tuntutan palsu kepada syarikat pengurusan risiko termasuk syarikat takaful. Kerugian yang berlaku bukan sedikit bahkan mencecah sehinggga RM12 juta sepanjang empat tahun sudah seperti dalam rekod yang dikeluarkan oleh pihak polis. Pun begitu, pihak industri menganggarkan kerugian yang berlaku jauh lebih banyak bernilai ratusan ribu ringgit setiap tahun.

Kebiasaan yang berlaku ialah media selalu menyiarkan berita peserta takaful yang tidak dapat membuat tuntutan kerana dakwaan ada penipuan di pihak syarikat takaful sehinggakan media dianggap menjadi pembela kepada individu-individu ini.

Dengan pendedahan terbaru ini ia membuka mata masyarakat bahawa penipuan yang berlaku dalam industri takaful bukan sahaja terkena kepada pihak peserta bahkan juga terkena kepada pihak pengendali takaful.

Jadi, persoalan yang timbul kenapa perkara negatif ini masih menjadi igauan kepada semua pihak? Mekanisme perundangan sudah jelas termaktub dalam perundangan negara menghukum mereka yang melakukan penipuan khasnya dalam urus niaga. Di bawah seksyen 420 memperuntukkan undang-undang pencegahan bagi kesalahan menipu.

Apapun, di samping perundangan yang sedia ada, pendekatan holistik dan keagamaan perlu diambil kira dalam menanggani sikap jelik penipuan yang masih menjadi tabiat sebahagian besar masyarakat kerana pendekatan kerohanian merupakan satu mekanisma yang dapat mengawal individu dalam masyarakat melalui kesedaran diri masing-masing.

Ini penting kerana lumrah manusia yang takutkan hukuman undang-undang hanya akan menjauhi perlakuan kesalahan termasuk penipuan jika tidak ada penguatkuasa di hadapan mata. Perkara ini sukar berlaku kepada mereka yang dapat mendidik jiwa berlunaskan pengetahuan agama, ancaman dosa dan hikmah didikan agama.

Islam telah jelas menyatakan sebarang bentuk penipuan adalah salah dan tidak boleh dilakukan. Dalam satu hadis riwayat imam Bukhari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: "Menipu membawa kepada api neraka, dan sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan yang bukan merupakan sunnah kami, maka perbuatannya tidak diterima".

Manusia sebenarnya sentiasa ingin memenuhi tuntutan diri dan berlumba-lumba bersaing dalam semua perkara di antara satu sama lain. Untuk mencapai perkara yang mereka hajati sudah tentu melalui faktor-faktornya.

Jika hajat yang dingini dipenuhi melalui faktor jalan yang betul, persaingan yang sihat maka itu merupakan sifat fitrah yang berlaku kepada manusia yang sejahtera.

Sebaliknya, jika hajat keinginan mereka dipenuhi dengan faktor cara songsang termasuk menipu, mengikut hawa nafsu sehingga diperdayakan syaitan maka pihak yang ada kuasa perlu mewujudkan peraturan dan langkah berjaga-jaga untuk mengawal muamalat sesama manusia.

Berbalik kepada kes penipuan dalam industri takaful, ia sebenarnya boleh berpunca daripada semua pihak termasuk syarikat takaful, peserta takaful dan agen takaful.

Dengan sebab itu peraturan asas dalam industri pengurusan risiko termasuk takaful meletakkan peraturan keboleh percayaan ketika peserta memaklumkan kepada pihak pengendali takaful mengenai maklumat peserta.

Dengan konsep keboleh percayaan, peserta akan memaklumkan dengan benar semua maklumat seperti sejarah kesihatan, hobi, perkerjaan dan status harta benda. Maklumat yang diberikan dianggap benar oleh pihak pengendali takaful atas dasar keboleh percayaan ini.

Dalam seksyen 150 Akta Insurans 1996 menekankan kepentingan dasar keboleh percayaan untuk mendedahkan maklumat khasnya oleh bakal peserta yang memberi petunjuk kepada pengendali takaful samada untuk menerima risiko yang dibawa oleh bakal peserta dan untuk menentukan jumlah caruman dan syarat yang sesuai dikenakan.

Dalam sub seksyen 150(4) Akta Insurans memberi amaran bahawa mana-mana pengendali takaful, ejen insurans, penasihat kewangan berlesen atau wakil mereka ketika menawarkan kepada individu untuk menyertai kontrak pengurusan risiko tidak boleh mengemukakan kenyataan yang salah, tidak betul atau penipuan, menyembunyikan secara tipu fakta bahkan juga tidak boleh ejen syarikat pengurusan risiko mengedarkan brosur yang tidak mendapatkan kelulusan syarikat.

Jika peraturan ini tidak dipatuhi oleh syarikat pengurusan risiko termasuk pengendali takaful dan ejen mereka, maka ini sudah tentu tidak memenuhi keperluan dan syarat kontrak yang perlu patuh kepada undang-undang. Tindakan ini juga melanggar asas kepada prinsip keboleh percayaan.

Di pihak peserta, jika peraturan keboleh percayaan ini tidak dipatuhi dan kontrak diterima oleh pengedali takaful contohnya, dengan peserta takaful mengemukakan fakta yang tidak benar maka kontrak itu secara sendiri wujud unsur penipuan. Jika penipuan ini berjaya disembunyikan dan peserta menuntut pampasan maka ini juga memberi erti tuntutan pampasan yang dibuat adalah tuntutan palsu.

Walaupun begitu, jika kesalahan fakta ini dikesan oleh pengedali takaful khasnya ketika sesuatu tuntutan dikemukakan maka pengendali takaful berhak tidak menunaikan tuntutan berkenaan. Pada ketika ini peserta takaful tidak boleh menunding jari menyatakan mereka ditipu kerana tidak dibayar pampasan.

Oleh itu peserta perlu memaklumkan kepada penggendali takaful jika mereka mendapat tahu ada maklumat yang mereka berikan terdahulu salah. Peserta takaful juga perlu membuat deklarasi terkini seperti tentang status perkerjaan. Ini membolehkan pihak pengendali takaful membuat sebarang penilaian semula agar kos risiko yang mereka urus atau tanggung sesuai dengan risiko yang dibawa peserta. Ini sesuai dengan asas keboleh percayaan dalam takaful.

Oleh itu, konsep keboleh percayaan ini berkait rapat dengan sikap amanah. Sikap amanah sangat penting dalam menjayakan konsep keboleh percayaan dan merupakan sesuatu yang dituntut oleh agama Islam. Amanah membawa erti jujur dan dapat dipercayai. Lawannya ialah khianat. Dalam maksud firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ditegaskan:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedangkan kamu mengetahui (salahnya mengkhianati amanah itu)".

Amanah merupakan satu sifat fitrah yang sejati dengan kehendak manusia. Bagi seorang Islam, ia merupakan suatu tuntutan agama. Sikap ini diterima pakai oleh semua orang yang sejahtera pemikirannya dalam semua masyarakat.

Dengan itu, penipuan dan penyelewengan dalam muamalah khasnya dalam industri takaful boleh dielakkan dengan setiap pihak samada penuntut pampasan, syarikat mahu pun wakil takaful dapat menjiwai sikap amanah.

##Penulis merupakan Pegawai Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.

Artikel Sebelum

Artikel Lain