suria

Semangat Perubahan Sempena Maulidur Rasul

KUALA LUMPUR: Sambutan Maulidur Rasul, memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w setiap 12 Rabiulawwal adalah peristiwa besar bukan sahaja untuk umat Islam tetapi dalam sejarah tamadun manusia.

Ini jelas terkandung di dalam surah Al-Anbiya' ayat 107 yang bermaksud "Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam."

Justeru Maulidur Rasul seharusnya disambut dengan pengertian dan penghayatan yang lebih mendalam bukan setakat perarakan mahu pun perhimpunan yang dilihat lebih sebagai satu amalan tradisi atau kebiasaan.

"Jangan juga kita hanya mendengar ceramah dan berselawat kepada Rasulullah pada hari itu sahaja. Sebaliknya kita perlu mendapat cetusan baru iaitu hendak mengkaji dan menghayati ajaran yang dibawa oleh Nabi," demikian menurut Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

PERINGATAN BERTERUSAN

Beliau memberitahu Bernama dalam wawancara sempena sambutan Maulidur Rasul 1432, bahawa memperingati kembali hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w biarlah menjadi peringatan yang berterusan dan bukannya setakat pada 12 Rabiul awwal sahaja.

Peringatan kepada Rasulullah s.a.w itu, katanya bermaksud pengajaran yang dibawa oleh Nabi yang datangnya daripada Al Quran.

"Nabi Muhammad s.a.w yang menghayati kehidupannya menurut semangat Al Quran, justeru itu kita perlu mengkaji Al Quran melalui hadis-hadis Nabi s.a.w.

"Sebab itu apabila Aishah, isteri Rasululullah ketika ditanya apakah akhlak Nabi, Aisyah berkata Al Quran. Apa yang tercatit di dalam Al Quran itu adalah akhlak Nabi.

"Maknanya Nabi menterjemah Al Quran dalam kehidupannya. Sebagai contoh, Nabi menghormati pandangan orang meskipun apabila kanak-kanak berbicara dengannya, Nabi akan memberi sepenuh perhatian. Nabi juga melayani isteri dan anak-anaknya dengan adil dan saksama. Ini antara yang perlu kita hayati dan warisi," jelasnya.

PENERAPAN NILAI

Sambutan Maulidur Rasul dalam konteks semasa di mana tamaddun manusia berada di ambang keruntuhan seharusnya juga mencetus keinsafan terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Menurut Nik Mustapha, umat Islam perlu melihat Islam itu sebagai satu agama yang serius, agama yang tinggi dan agama yang membina kemajuan manusia baik di peringkat individu mahu pun masyarakat.

Jelasnya pembinaan diri di peringkat individu memerlukan seseorang itu mempunyai pandangan hidup yang sempurna antaranya mahu maju dan berjaya dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi dan kekuatan kerohanian.

"Kita mahu kemuliaan di dunia dan akhirat itu adalah natijah daripada kehidupan di sini. Seseorang individu itu juga perlu mempunyai akhlak yang mulia seperti jujur dan ikhlas serta kasih sayang bukan sahaja sesama umat Islam tetapi juga umat manusia yang lain di samping memiliki kemahiran serta kepakaran hidup.

"Sebagai orang Islam, kita dianggap sebagai khalifah dan sepatutnya berperanan membimbing masyarakat atas dasar ajaran Nabi yang bersandarkan Al Quran," katanya.

Di peringkat masyarakat, Nik Mustapha berkata Nabi Muhammad s.a.w menekankan tiga prinsip utama.

"Tiga mesej penting yang dianjur oleh Nabi ialah kebenaran, keadilan dan kasih sayang. Itu mesej Al Quran yang Nabi bawa dan nilai-nilai itu yang perlu dipupuk. Persoalannya ada tak ketiga-tiga nilai ini diterapkan dalam kehidupan umat Islam?

"Nilai-nilai ini bukan sesuatu yang lapuk tetapi yang berkekalan dan saya berharap peristiwa Maulud tahun ini biarlah membuka mata kita. Kita juga mesti merenung kepada apa yang berlaku dalam masyarakat Barat yang kini berada di ambang keruntuhan," tegasnya.

KERUNTUHAN PERADABAN

Nik Mustapha mengaitkan keruntuhan peradaban dengan kepincangan institusi keluarga.

Di Barat, katanya perkahwinan semakin tidak dianggap penting kerana sebahagian besar menganggap ia sebagai satu kontrak sosial yang dibebani tanggungjawab.

Ketua Pengarah Ikim itu juga bercakap mengenai gejala perkahwinan sesama jantina yang semakin menular dan menjadi ikutan di samping mendapat pengiktirafan undang-undang di sesetengah negara.

"Bukankah ini satu perkara yang berbahaya yang akan menjuruskan kita kepada keruntuhan. Ia hanya menunggu masa sahaja. Ini tidak bermakna berlaku tahun depan, mungkin dalam jarak masa yang terdekat sekiranya keadaan sekarang berterusan," kata Nik Mustapha dengan nada penuh kebimbangan.

Beliau juga berkongsi pandangan yang dilontarkan Joseph E. Stiglitz, ahli ekonomi Amerika yang terkemuka yang antara lain berkata bahawa "krisis ekonomi mendedahkan kemuflisan moral orang kita" dan "kita telah mewujudkan sebuah masyarakat di mana aspek kebendaan mengatasi komitmen moral."

AWASI PUNCA

Nik Mustapha berkata keruntuhan peradaban perlu dilihat daripada sudut punca keruntuhan dan bukan kepada gejala atau petanda keruntuhan.

Dengan menjadikan kes pembuangan bayi yang banyak berlaku di negara ini sebagai contoh, beliau kurang bersetuju dengan pandangan setengah pihak yang menuding jari kepada ketiadaan pelaksanaan undang-undang Islam sebagai penyebab.

"Yang perlu kita soal apa punca pembuangan bayi ini berlaku? Bagi saya mungkin keutuhan rumah tangga. Ibu bapa terpaksa bekerja kerana kos sara hidup yang tinggi sehingga kurang masa dengan anak-anak juga dengan saudara-mara yang lain.

"Kemudian timbul pula pornografi dengan kemudahan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT). Anak-anak disogokkan dengan benda macam ini dan bebas pula pergaulannya sebab pengawasan ibu bapa tidak ada, kasih sayang tidak ada.

"Inilah antara punca yang perlu kita lihat, jangan kita tengok kepada tanda atau gejala dan pantas mahu menjatuhkan hukuman.

"Kalau pun anak-anak tinggal di asrama, ibu bapa perlu melawat anak mereka. Betul ada cukup makan dan guru tetapi perkembangan psikologi antara anak dan ibu bapa juga penting dan perlu ada," jelas Nik Mustapha.

AKHLAK YANG BAIK

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya menunjukkan contoh akhlak yang baik kerana anak-anak sentiasa memerhatikan kelakuan dan gelagat ibu bapa dan banyak mempengaruhi pembentukan sikap mereka.

Menurut beliau ada sesetengah ibu bapa yang lebih mampu memberi wang atau kad kredit kepada anak-anak mereka daripada perhatian atau kasih sayang.

"Ini yang menimbulkan huru-hara. Kasih sayang sebenarnya tidak boleh ditukar dengan wang ringgit.

"Kasih sayang ini tanda kita bersama dengan anak-anak, ada komunikasi dengan mereka dan berkawan dengan mereka. Bila bekerja kita buat kerja yang terbaik dan selepas itu kita balik dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga termasuk aktiviti riadah bersama anak-anak.

"Institusi keluarga amat penting seperti mana Nabi menguruskan keluarganya, turut beriadah menunggang kuda dan lain-lain di samping sama-sama membantu melakukan kerja rumah. Inilah yang perlu kita imbau akhlak dan cara hidup Rasulullah dalam kita memperingati hari kelahirannya," tambah beliau.

PENUNJUK NUBUWWAH

Nik Mustapha turut memberitahu bahawa sama ada suka atau tidak, semua masyarakat dunia termasuk masyarakat Islam dipengaruhi sistem yang dianjur oleh Barat iaitu sistem kapitalis.

"Sistem yang bersandarkan kepada kekayaan ekonomi tetapi sistem ini juga menimbulkan kemusnahan ekonomi walhal itulah matlamatnya.

"Pada 2008, 40 peratus daripada 6.7 bilion penduduk dunia berada di bawah garis kemiskinan. Macam mana ini boleh terjadi? Pada 2008 juga sekitar 1.2 bilion rakyat di dunia memperoleh pendapatan kurang daripada USD2 sehari. Macam mana nak hidup?

"Di Malaysia juga ada jurang antara yang kaya dan miskin. Golongan kaya dengan kemewahan yang kadang kala melampau dengan pembaziran. Mereka perlu ada lebih rasa tanggung jawab kepada masyarakat. Lihatlah kehidupan Rasulullah yang penuh kesederhanaan," tambahnya.

Beliau turut mempersoal sistem sekular, sistem yang menggunakan akal manusia yang menolak Ilahi, wahyu dan kenabian. Maka manusia menggunakan akal, rasional, logik tanpa dipandu oleh ajaran Ilahi, sedangkan kemampuan akal itu terhad.

Pandangan hidup manusia, jelasnya dan cara manusia berfikir tidak sesempurna pemikiran yang datang daripada Ilahi.

"Itu sebabnya Allah mengutuskan Nabi untuk menyampaikan ajaranNya dan tanggungjawab Nabi ketika itu adalah untuk merubah sistem kehidupan di Mekah yang dibelenggu sistem jahiliyyah yang menindas rakyat jelata," tambah beliau.

Dalam konteks semasa, keruntuhan peradaban yang bersandarkan kepada ideologi sekular, Nik Mustapa berkata perlu dibina peradaban yang berpaksikan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, keadilan dan kasih sayang.

"Justeru masyarakat memerlukan kepada penunjuk nubuwwah atau kenabian. Bila kata nubuwwah, kata kenabian, kita merujuk kepada prinsip-prinsip yang dibawa oleh Nabi. Dalam setiap tindak-tanduk Nabi itu banyak yang boleh kita pelajari. Ini yang perlu ditekankan apabila kita menyambut Maulidur Rasul. Perkara inilah yang mesti menjadi panduan kita sepanjang hayat," katanya.

SEMANGAT TRANSFORMASI

Perayaan Maulud juga akan menjadi lebih bererti sekiranya umat Islam membuat perubahan dan rombakan di dalam kehidupan mereka dan menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh ikutan sepanjang hayat.

Di samping itu, pentingnya juga untuk umat Islam membaca sirah atau sejarah Rasulullah untuk lebih mendekati dan mengenali Nabi Allah yang terakhir ini.

"Sirah adalah tulisan yang lebih berbentuk analisis. Sebagai contoh Perjanjian Hudaibiyah. Kita bukan setakat tahu tarikh perjanjian ini ditandatangani iaitu pada bulan Zulkaedah tahun keenam hijrah (Mac 628 M) antara pihak Musyrikin Mekah dengan Rasulullah.

"Walaupun tidak dapat masuk ke kota Mekah pada tahun perjanjian itu ditandatangani tetapi Nabi dan rombongannya berjaya masuk ke Mekah pada tahun berikutnya tanpa setitis darah pun yang tumpah. Ini kerana pihak Musyrikin sudah berasa gerun melihat Nabi datang dengan rombongan yang besar sebelum itu.

"Inilah strategi hebat politik Nabi yang turut menunjukkan sifat sabar Nabi. Banyak lagi tindak-tanduk Nabi yang boleh dijadikan pengajaran dan panduan termasuk khutbah widak (terakhir) Rasulullah yang memberi peringatan kepada sifat-sifat keangkuhan dan juga peringatan untuk menjaga kebajikan kaum wanita," kata Nik Mustapha.

Ketua Pengarah Ikim itu juga berharap sambutan Maulud kali ini bukanlah sekadar menganjurkan amalan-amalan yang sering dibuat tetapi lebih menekankan kepada kecintaan dan keyakinan kepada ajaran Nabi dan menjadikannya sesuatu yang sebati dalam kehidupan.

"Hendaknya Maulidur Rasul menjadi pencetus kepada penghayatan nilai-nilai yang luhur yang dianjurkan Al Quran dan pendekatan kita ke arah penyusunan masyarakat.

"Dengan ini barulah saya rasa perayaan Maulud itu memberi erti yang sangat bermakna dan inilah yang menjaminkan kepada kebahagian, kesejahteraan dan kejayaan dalam hidup kita.

"Jangan Maulidur Rasul tinggal hanya sebagai satu acara agama. Tahun depan buat lagi sedangkan impaknya tidak seperti yang diharapkan," tegas Nik Mustapha. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain