suria

Awas! Nur Alert Bantu Kesan Kanak-Kanak Hilang

KUALA LUMPUR: Kes kehilangan kanak-kanak berusia dua tahun, Nisha Chandramohan pada Jun 2010 mencetuskan satu kajian perintis diadakan selama dua minggu untuk memastikan kaedah terbaik menyebarluaskan maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak itu.

Dan pada 21 September 2010, satu lagi kes kehilangan berlaku, Lee Xin Ru juga berusia 2 tahun. Kali ini hebahan kehilangannya menggunakan sistem NUR Alert atau Sistem Amaran Awal Kehilangan Kanak-Kanak, yang diwujudkan hasil daripada kajian perintis itu.

Tindak balas segera daripada anggota NUR Alert untuk menghebahkan kehilangan Lee, menyebabkan pada 12 Januari 2001, Jemaah Menteri membincangkan keberkesanan sistem ini.

Ia memutuskan atas dasar seriusnya masalah kehilangan kanak-kanak sebegini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilantik menerajui NUR Alert.

Fungsi NUR Alert ialah untuk menyebarkan maklumat mengenai kanak-kanak hilang yang berumur di bawah 12 tahun yang tidak melibatkan kes tebusan, ugutan dan atau ancaman bunuh.

Inisiatif awal untuk melakukan hebahan secara serentak kanak-kanak hilang ini ialah daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan kini wakil kementerian itu bertindak sebagai naib pengerusi pasukan petugas NUR Alert.

Langkah ini digariskan mengikut Dasar dan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-kanak Negara yang diluluskan Kabinet pada 2009.

MENCARI YANG HILANG Sejak kehilangan Lee pada Oktober 2010, gambar kanak-kanak comel itu terpampang di beberapa laman web, televisyen, mesin ATM , blog dan papan elektronik di pintu-pintu masuk negara.

Gambarnya diedarkan bersama pesanan ringkas “PERNAHKAH ANDA MELIHAT KANAK-KANAK INI? Jika anda mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak ini sila hubungi Insp Haroza binti Pandi di talian 019-8793776 atau Ibu pejabat Polis Daerah Raub, Pahang 09-3552222.

Lee masih hilang, tetapi kaedah pemberitahuan mengenai kehilangannya telah diterima secara sepakat oleh pasukan petugas NUR Alert untuk diteruskan jika berlaku lagi kehilangan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun di negara ini.

Baru-baru ini Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail mempengerusikan mesyuarat pertama penyelarasan NUR Alert di Bukit Aman untuk membincangkan tugas dan operasi pasukan NUR Alert seperti mana yang diharapkan kabinet.

Beliau menjelaskan mekanisme sistem amaran awal ini dengan PDRM memulakan siasatan awal bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kanak-kanak berkenaan selepas menerima laporan kehilangannya.

Hebahan akan dibuat kepada semua anggota pasukan petugas dalam tempoh 24 jam sekiranya kanak-kanak yang hilang berumur 12 tahun ke bawah dan kehilangan kanak-kanak itu tidak melibatkan tebusan, ugutan atau ancaman bunuh.

Penyebaran maklumat dan gambar juga akan dibuat setelah persetujuan diperoleh daripada ibu bapa atau penjaga sah kanak-kanak berkenaan mengikut format yang standard.

CARA HEBAHAN NUR Alert akan melakukan hebahan dalam tempoh minimum 7 hari dan maksimum empat minggu sekiranya kanak-kanak itu masih belum dijumpai, dalam kes Lee, di beberapa tempat seperti Astro melalui saluran TV Astro@15, masih menyiarkan gambar kanak-kanak itu.

PDRM sebaliknya akan memaklumkan kepada semua anggota pasukan petugas untuk memberhentikan hebahan sebaik kanak-kanak itu dijumpai.

Selain hebahan, sekiranya kanak-kanak itu masih belum ditemui, PDRM akan meneruskan pemantauan dengan membuat lawatan ke rumah pengadu.

Pada mesyuarat itu semua anggota bersetuju medium hebahan kehilangan kanak-kanak ini ialah menggunakan laman web rasmi PDRM, facebook PDRM, pengedaran poster, makluman di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), media cetak dan elektronik, papan elektronik, khidmat pesanan bergambar (MMS), khidmat pesanan ringkas (SMS), blog popular dan laman web semua anggota pasukan NUR Alert.

Siapa anggota pasukan penyelaras ini?

Mereka terdiri daripada 31 wakil agensi dan jabatan di bawah beberapa kementerian, syarikat telekomunikasi, pertubuhan bukan kerajaan seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Persatuan Hotel Malaysia, Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia, Persatuan Institusi Perbankan Islam, Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia dan BERNAMA.

Sebaik gambar dan beberapa maklumat mengenai kanak-kanak ini disalurkan kepada anggota petugas NUR Alert, yang secara segera akan menyiarkan gambar-gambar itu ke dalam laman web mereka, paparan skrin ATM, MMS yang diaktifkan syarikat-syarikat telekomunikasi kepada pelanggan, perbankan internet, poster yang dicetak sendiri akan disebarkan dan ditampal umpamanya di kompleks membeli belah serta di papan elekronik di semua pintu masuk negara.

Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi misalnya akan menguruskan gambar kanak-kanak hilang itu untuk disalurkan kepada semua rangkaian telivisyen dan BERNAMA pula akan menyalurkan gambar dan maklumat yang diterima daripada PDRM ke semua pelanggan media untuk disiarkan selain dipaparkan di laman webnya.

Poster umpamanya, selain di kompleks membeli belah, akan dihantar kepada pusat komuniti seperti 4,900 Rukun Tetangga, semua jenis pengangkutan awam, tempat awam dan sebagainya.

Hussin berkata walaupun ditetapkan tempoh penyebaran dan penyiaran poster kanak-kanak hilang itu, kertas siasatan tidak akan ditutup selagi kanak-kanak itu tidak ditemui.

KENAPA BAWAH 12 TAHUN NUR alert juga hanya ditumpukan kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun kerana kehilangan mereka dianggap tidak melibatkan komplikasi dan masalah peribadi seperti melarikan diri atau menghilangkan diri, faktor orang ketiga seperti teman lelaki dan sebagainya seperti yang biasa dikaitkan dengan kehilangan remaja.

Kanak-kanak bawah 12 tahun dianggap hilang atas faktor paling membimbangkan iaitu dilarikan atau sesat dan terpisah daripada keluarga tanpa disengajakan.

Mengikut statistik kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang hilang, trendnya semakin meningkat iaitu 50 pada 2009 dan 57 pada 2010. Bagaimanapun pada 2010, 54 kanak-kanak yang dilaporkan hilang itu ditemui.

Hussin berkata usaha NUR Alert ialah pencetus kepada langkah pencegahan jenayah terhadap kanak-kanak dan bagi memastikan kesedaran dan penglibatan lebih besar masyarakat terhadapnya.

Usaha ini dianggap langkah segera mencegah daripada kejadian buruk berlaku kepada kanak-kanak berkenaan dan tidak menolak kemungkinan ia diperluas meliputi kehilangan remaja suatu hari nanti.

PERLINDUNGAN REMAJA Ini berdasarkan mengikut statistik polis, lebih 1,300 remaja berusia bawah 18 tahun hilang dan gagal ditemui sejak dua tahun lalu.

Punca kehilangan yang menyebabkan kes mereka lebih kompleks daripada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun ialah remaja ini biasanya melarikan diri disebabkan pengaruh rakan, mengikut kekasih, mencari kebebasan di luar, perselisihan faham dengan keluarga dan tidak minat belajar.

Tindakan mencari mereka turut dilakukan di bawah pelan tindakan perlindungan negara bagi memastikan mereka mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi sejak 2009.

Dan ketika ini NUR Alert diharapkan menjadi langkah pencegah awal kemungkinan penganiayaan dan keganasan berleluasa terhadap kanak-kanak tidak berdosa di bawah 12 tahun jika kehilangan mereka tidak dikesan secara bersepadu dan melibatkan seluruh seksyen komuniti penyayang Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain