suria

Undang-Undang Ketat Hak Cipta Sulitkan Usaha Pendigitalan Maklumat

KUALA LUMPUR: Undang-undang dan peraturan ketat berhubung hak cipta menyulitkan usaha kebanyakan perpustakaan dan organisasi penyimpanan data untuk melaksanakan proses pendigitalan maklumat masing-masing dengan sepenuhnya.

Revolusi yang melanda seluruh dunia itu telah mendorong pelbagai organisasi memulakan proses pendigitalan maklumat sejak beberapa tahun lepas dalam usaha menjadikan maklumat lama, yang selama ini disimpan dalam bentuk mikrofilem, buku, jurnal, foto video atau audio, akan lebih selamat, tahan lebih lama dan mudah untuk dicapai oleh orang ramai pada masa akan datang.

Pustakawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kamariah Abu Samah berkata, walaupun institusi itu berhasrat untuk menukar semua koleksi bukunya ke dalam bentuk digital, tetapi isu hak cipta sedikit sebanyak menjadi penghalang terhadap usaha tersebut.

Katanya DBP, yang telah menghasilkan begitu banyak penerbitan sejak 1956, berdepan dengan isu hak cipta kerana kebanyakan buku terbitannya ditulis oleh pengarang berlainan.

"Di DBP, kami hanya memegang hak cipta untuk tempoh tiga bulan dan selepas itu, ia kembali menjadi hak pengarang sesuatu karya.

"Masalah timbul apabila kami hendak mengubahnya (buku) ke dalam bentuk digital tetapi kami sudah tidak lagi mempunyai hak terhadapnya dan inilah yang menjadi masalah besar bagi kami dalam usaha melaksanakan pendigitalan semua koleksi yang ada," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun DBP telah memulakan proses pendigitalan koleksi penerbitannya sejak 1993, namun hanya 70 peratus daripada urusan ini mampu diselesaikan setakat ini.

Katanya, selain isu berkaitan hak cipta, kerja pendigitalan merupakan suatu proses yang merenyahkan.

"Kami menyimpan banyak bahan koleksi, antaranya yang diterbitkan pada 1956, termasuk gambar yang telah digunakan untuk buku, jurnal dan majalah serta 10,000 buku.

"Katakanlah seorang petugas mengimbas kesemua 10,000 bahan koleksi ini 24 jam setiap hari, dia akan mengambil masa 24 tahun untuk menyiapkan semua kerja berkenaan," katanya.

Pustakawan Lembaga Getah Malaysia Mohd Norafendy Mohd, yang bersetuju dengan pandangan Kamariah itu, berkata beliau menghadapi masalah besar untuk mendapatkan kebenaran para penyelidik bagi menerbitkan kertas penyelidikan mereka secara dalam talian.

"Kebanyakan bahan koleksi kami telah diterbitkan sejak 1960 dan untuk mendapatkan semua maklumat mengenainya, memang susah, kerana sebelum ini tiada siapa mengambil peduli tentangnya.

"Untuk menggunakan kembali semua kertas penyeldikan itu, saya perlu menghubungi penyelidik berkenaan, sedangkan pasukan saya serta saya sendiri tidak tahu siapa beliau dan di mana beliau berada sekarang," katanya.

Walaupun menghadapi pelbagai masalah, pasukan Norafendy sudah selesai melaksanakan hampir 60 peratus proses pendigitalan maklumat untuk lembaga itu.

Pustakawan Lembaga Koko Malaysia, Hasnita Jaafar pula berkata, selain perlu mendapatkan kebenaran, pihaknya terpaksa membeli beberapa naskhah kertas penyelidikan yang sama kerana biasanya kertas berkenaan dihasilkan beberapa penulis berbeza.

"Ini memakan banyak masa dan memerlukan perbelanjaan besar serta merupakan suatu pembaziran kerana terpaksa membeli dua atau tiga naskhah serupa untuk melaksanakan proses pendigitalan," katanya.

Beliau berkata, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kesulitan, proses pendigitalan perlu dibuat demi memanfaatkan ilmu pengetahuan.

"Melalui proses pengumpulan maklumat ini, kami memperoleh banyak maklumat tentang koko untuk disebarkan kepada golongan muda," katanya.

Bagaimanapun, Pengurus InfoLib Bernama Hasnita Ibrahim berkata, pertubuhan berita nasional itu tidak menghadapi banyak masalah daripada segi undang-undang dan peraturan berkaitan hak cipta kerana sebahagian besar data dan maklumat yang terdapat dalam simpanan pusat sumbernya merupakan koleksi Bernama sendiri.

"Namun demikian, bagi sesetengah maklumat, kami perlu berurusan dengan syarikat penerbitan lain melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU)," katanya.

Beliau berkata setakat ini, Bernama telah selesai mengubah ke dalam bentuk digital kira-kira empat juta makalah yang terdapat di dalam pangkalan datanya.

Sementara itu, Pengurus Program Pendigitalan Pusat Maklumat Utusan, Ishak Mat Piah berkata, proses pendigitalan memerlukan sokongan penuh pihak pengurusan syarikat media terkemuka itu.

"Sokongan padu pihak pengurusan, terutama daripada segi kewangan, amat penting kerana proses ini memerlukan peruntukan besar dan teknologi untuk melaksanakan pemprosesan, contohnya alat pengimbas yang diperlukan boleh mencapai harga RM300,000. Apabila sudah mempunyai mesin yang diperlukan, tugas ini akan dapat dijalankan dengan lancar," katanya.

Beliau berkata sehingga kini, Utusan telah selesai melaksanakan kira-kira 10 peratus daripada proses pendigitalan maklumatnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain