suria

Menghargai Warisan Jualan Menerusi But Kereta

KUALA LUMPUR: Bayangkan diri anda di tengah-tengah karnival mini, dengan orang muda dan dewasa menjual koleksi antik, lukisan dan anak arnab yang comel hanya dari but kereta masing-masing.

Dari jauh anda mendengar dendangan lagu 'Senyumlah Kuala Lumpur' oleh kumpulan Alleycat secara langsung. Di satu sudut pula seorang lelaki, dengan rupa rambut yang dipintal 'dreadlock', sedang mengalunkan muzik dari sejenis alat muzik orang asli Australia dipanggil 'Didgeridoo'.

Di sebelah kanan pula, sekumpulan orang mengerumuni seorang lelaki berusia lingkungan 40-an.

Anda pula tanpa berlengah menyertai kumpulan itu dan apa yang ternampak ketika itu merumuskan bahawa melukis batik bukanlah sesukar yang anda fikirkan.

Seorang budak berusia 13 tahun pula boleh menghasilkan satu kerja seni yang cukup menarik sebagai hadiah hari lahir bapanya.

Percaya atau tidak, tidak lama lagi penghuni KL boleh menikmati semua perkara yang dinyatakan itu apabila projek terbaru "Lawat KL" dilancarkan tahun ini.

SAMBIL MENYELAM MINUM AIR

Pada masa sekarang terdapat dua aktiviti yang menarik perhatian penduduk KL iaitu membeli-belah dan pengurusan kesihatan.

Memahami situasi ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kempen Lawat KL telah melancar Bazar Jualan But Kereta Kuala Lumpur (KLCBB) untuk membolehkan wargakotanya melibatkan diri dalam kedua-dua aktiviti pada kos sifar.

KLCBB adalah diharapkan menjadi pusat kesenian dan kebudayaan bandaraya ini.

Selain menjual antik, barangan lama dan seumpama, DBKL menyambut baik siapa juga artis jalanan, pelukis, seniman jalanan, ahli silap mata dan ahli kraftangan untuk menyertai bazar berkenaan.

Malahan, pendaftaran bagi program kaum hawa dipanggil 'Pasar Sarapan Pagi @ KLCBB' juga diadakan. DBKL berharap semua jenis makanan sedap Malaysia terkumpul di satu pusat mengikut konsep jualan menerusi but kereta.

Basaruddin Basir, 35, dari Kuala Lumpur yang mengunjungi pasar jalanan selama 15 tahun berkata, "Saya suka mencari barang yang unik di pasar jenis ini. Anda tidak akan tahu apa yang anda mungkin dapat".

Che’ Abd Aziz, 38, yang bertugas di Balai Seni Lukis Negara, boleh dikatakan hampir setiap minggu mengunjungi bazar berkenaan.

Apakan tidaknya kerana isterinya adalah penggemar dalam mengumpul barang antik dan KLCBB menjadi tempat pilihan untuk mendapatkan koleksi terbaru.

PELBAGAI IMAGINASI

Penjual di bazar berkenaan adalah mereka yang datangnya dari dalam atau luar KL dengan pelbagai latar belakang di mana kebanyakan mereka melakukannya berdasarkan separuh masa.

Ahmad Mazni, 52, tidak kisah jika terpaksa datang dari Seremban setiap minggu untuk menjual koleksi barangan antik di sini dan pada masa yang sama menikmati percutian sebelum balik ke Angola untuk bertugas.

"Baru-baru ini saya menjual sedozen pisau menoreh getah buatan England dengan harga yang murah, dan itu sudah cukup memuaskan hati saya kerana ia membolehkan generasi muda kita mengetahui sejarah aktiviti ekonomi negara," kata pemuda yang begitu merendahkan diri.

Sepasang suami isteri Kamaruzaman Isa dan Emi Sherina, kedua-duanya berusia 35 tahun, menjual majalah terpakai dan aiskrim buatan sendiri berkata, "Rakan kami membantu dalam mengumpulkan majalah. Kami memulakan perniagaan menjual aiskrim setahun lepas dan ia semakin maju".

SALAH TANGGAPAN DI MALAYSIA

Seringkali orang ramai menyamakan istilah jualan 'but kereta' dengan 'pasar malam/pagi' tanpa menyedari bahawa kedua-duanya jauh berbeza.

Secara konsepnya jualan but kereta merujuk kepada satu aktiviti jualan barangan terus dari but kereta, yang seringkali dikaitkan dengan barangan terpakai dan dijual dengan harga murah.

Ia juga dikenali sebagai tempat bagi pengumpul barang yang susah diperoleh dan unik seperti antik, vinil (sejenis plastik), cenderahati, buku terpakai malahan peralatan elektrik rumah!.

Budaya jualan but kereta dikatakan berasal dari Kanada tetapi popular di Britain pada tahun 70-an. Namun budaya ini telah tersebar di sini.

Sementara itu, pasar pagi/malam adalah yang sering dilihat di sekitar kejiranan kita. Penjual akan mendirikan gerai dan menjual kebanyakannya barang-baru baru atau yang selalu didapati, manakala harganya pula tidak semestinya murah.

USAHA YANG SEDANG DIBUAT

Sejak pelancarannya pada Disember tahun lepas, KLCBB telah dapat menarik 39 penjual yang menawarkan kepada pengunjung dengan pelbagai barangan antik, terpakai, kraftangan, haiwan peliharaan dan banyak lagi yang lain.

Untuk mengekalkan konsep asas jualan but kereta, semua peserta dikehendaki mempamerkan barangan jualan dari but kereta mereka.

Bagaimanapun penjual dibenarkan mengguna khemah kecil memandangkan operasi jualan melibatkan waktu yang lama dan sesetengah barang yang dijual mungkin terjejas akibat panas matahari atau lampu, seperti barang antik dan lukisan.

Penolong Pengarah Bahagian Pelancongan, Jabatan Kebudayaan, kesenian, Pelancongan dan Sukan, Norfaridah M. Zainudin berkata pelancaran rasmi bazar berkenaan dirancang bulan Februari ini.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai bazar berkenaan yang boleh menempatkan sehingga 140 penjual bagi bazar tersebut.

Hanya dengan RM13 sehari, yuran itu merangkumi bayaran sewa ruang dan lesen berniaga. Permohonan hanya mengambil masa dua minggu untuk diluluskan.

Keperluan yang ditetapkan untuk menyertai bazar itu hanyalah keunikan produk dan terbuka kepada hanya rakyat Malaysia.

KEKAL LAMA DAN TEGUH

Penjual antik Maziah Mohammad, 68, yang menyertai pelbagai jualan but kereta sejak 1996 berkata banyak tempat jualan but kereta secara perlahan-lahan bertukar menjadi pasar pagi berikutan permintaan pelanggan dan berharap KLCBB tidak juga berakhir sedemikian rupa.

"Memang amat penting agar dapat mengekalkan konsep berkenaan, sungguhpun jualan but kereta adalah sinonim dengan barangan terpakai, kita boleh membenarkan lebih banyak produk untuk kebaikan," tambah nenek kepada 13 orang cucu ini.

KLCBB beroperasi setiap Sabtu dan Ahad dari 8.30 pagi hingga 4.00 petang di Jalan Temerloh, Taman Tasik Titiwangsa. Sekiranya anda bernasib baik, sesetengah penjual mungkin akan menunggu sehingga pukul 7.30 malam.

Artikel Berikut

Artikel Lain