suria

Youth MaD Fest 2010: Satu Muzik, Satu Tarian

Dari kiri (berdiri): Sharon Vaswani, Setiausaha Youth MaD Fest 2010, Sanjeavan Karunanithi dan Mrithula. Turut bersama, Pengurus Teknikal, Suresh Nathan
Dari kiri (berdiri): Sharon Vaswani, Setiausaha Youth MaD Fest 2010, Sanjeavan Karunanithi dan Mrithula. Turut bersama, Pengurus Teknikal, Suresh Nathan
Dari kiri (berdiri): Sharon Vaswani, Setiausaha Youth MaD Fest 2010, Sanjeavan Karunanithi dan Mrithula. Turut bersama, Pengurus Teknikal, Suresh Nathan

SIMFONI muzik dan tarian sekiranya disatukan dalam satu festival mempunyai sinergi untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa dan agama.

Berfokuskan matlamat tersebut, Youth Music and Dance (MaD) Festival 2010 julung kali bakal diadakan di Auditorium, Pusat Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 4 Disember ini.

Sejumlah 800 belia dijangka menghadiri festival muzik yang berlangsung dari 5 petang hingga 7 malam pada hari berkenaan. Ia terbuka kepada orang ramai dan masuk percuma.

Festival anjuran Nur Damai, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) The United Religions Initiative (URI) di negara ini sempena 10 tahun penubuhannya.

Duta Youth MaD Festival 2010, Mrithula Shiva berkata, 114 belia dalam lingkungan umur 12-40 tahun akan menampilkan 10 persembahan menarik untuk orang ramai.

Antaranya, pancaragam Oriental Cina, Qawali, Indonesia, Bahai, pancaragam Gereja, Bollywood, silat, tarian Orang Asli, World Jugal Bandhi (drum medley) dan tarian Afrika.

"Mereka akan mempersembahkan kepelbagaian tarian budaya dan muzik. Ia juga menampilkan kumpulan etnik termasuk budaya luar yang wujud di negara ini.

"Objektif festival ini adalah untuk menyatupadukan belia daripada pelbagai etnik serta kepercayaan supaya menghayati keunikan kebudayaan rakyat," katanya kepada mStar Online.

Mrithula berharap, para peserta festival tersebut dapat menjadi 'duta' kepada kebudayaan mereka di samping lebih menghargainya.

"Belia Malaysia kini ialah belia global. Inisiatif ini adalah usaha yang berada pada landasan yang betul. Kita tidak ingin mereka menyembunyikan sebarang perbezaan yang wujud tetapi ingin mereka meraikan diversiti yang ada," katanya.

Untuk menyerikan festival itu, Mrithula menambah, lebih 50 kanak-kanak daripada tiga badan kebajikan turut diundang.

Katanya, kanak-kanak itu datang dari Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Rumah Kebajikan Ozanam dan Rumah Perlindungan Assunta.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti The Inter-Faith Spiritual Fellowship atau InsaF (yang terletak di bawah naungan Datin Paduka Mother Mangalam), Malaysian Interfaith Network, Bukit Gasing Leadership Services dan The Petaling Jaya Hindu Youth Organisation merupakan penganjur bersama Youth MaD Festival 2010.

Sementara itu, Penyelaras Youth URI Duta Belia untuk Asia Tenggara dan Pasifik, Sharon Vaswani dari Filipina berkata, setiap peserta akan diberikan sijil penghargaan atas penyertaan mereka dalam festival itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain