suria

Pasar Haiwan Kaa'kia Sedia Pilihan 'Korban' Jemaah Haji

MEKAH: Setiap tahun semasa musim haji jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia mengerjakan ibadah haji, rukun kelima Islam, di tanah suci Mekah.

Satu daripada tuntutan dalam ibadah haji bagi jemaah yang berkemampuan ialah melakukan korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti kambing, lembu atau unta sebagai tanda kesyukuran.

Pada masa yang sama jemaah haji yang mengerjakan haji tamattuk (mengerjakan umrah dahulu sebelum haji) diwajibkan membayar dam dengan menyembelih haiwan ternakan atau dengan berpuasa atau memberi makan kepada fakir miskin mengikut syarat-syaratnya.

Pasar Kaa'kia

Dalam menunaikan tuntutan ini para jemaah yang berkemampuan lazimnya akan pergi ke beberapa pasar haiwan ternakan di pinggir kota suci ini untuk membeli haiwan korban.

Satu daripada pasar ini ialah Pasar Haiwan Kaa'Kia yang menawarkan binatang sekecil kambing sehingga sebesar unta.

Jemaah haji boleh melihat dan memilih sendiri haiwan ini mengikut kehendak mereka sama ada untuk membayar dam atau korban pada Aidiladha.

Terletak kira-kira 20 minit memandu dari tengah Kota Mekah, pasar seluas lebih 500 meter persegi ini boleh menampung beratus-ratus ekor kambing, lembu dan unta dalam petak-petak kandang.

Saiz petak bergantung kepada jenis haiwan.

Petak untuk kambing kecil sementara petak untuk unta atau lembu lebih besar. Pasar Kaa'Kia juga dilengkapi pusat penyembelihan.

Perniagaan ini lazimnya dimiliki warga Arab Saudi tetapi diuruskan oleh pekerja rakyat asing, pelbagai bangsa.

Penulis semasa membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah ini bersama pasukan media Lembaga Tabung Haji (TH) Malaysia berkesempatan melawat dan melihat sendiri bagaimana perniagaan haiwan dijalankan di sini.

Pekerja Dan Peyembelih

Sebaik melangkah keluar dari Coaster yang dinaiki, petugas media TH disambut beberapa pekerja pasar menawarkan haiwan mereka.

Haiwan yang dibeli perlu disembelih dan ini mudah di sini kerana penyembelih berpakaian seragam berwarna merah yang siap dengan pisau menyembelih sudah sedia menunggu.

Masalah komunikasi yang membataskan perhubungan pasukan media dengan mereka diatasi oleh pemandu Coaster TH, Muhammad Abdul Mutalib yang bertindak sebagai penterjemah.

Haiwan Jinak

Uniknya haiwan di pasar Kaa'Kia ini, kambing, lembu dan unta, jinak-jinak belaka. Kambing-kambing tidak dikurung di dalam kandang dan cuma dijaga oleh pengembalanya supaya tidak keluar daripada kumpulan mereka.

Haiwan ini dibawa dari pelbagai tempat, diberi makan rumput dan air di kawasan kandang atau tempat ia berkumpul di kawasan pasar.

Pembeli yang datang pasti akan kagum melihat cara pengembala-pengembala ini mengendalikan ternakan seolah-olah haiwan ini faham arahan mereka.

Harga Jualan

Harga binatang di sini ditetapkan mengikut saiz dan jenis.

Pembeli yang datang ke sini kebanyakannya dari negara Asia.

Ahmad Tahir Babikin, 53, seorang rakyat Arab Saudi, yang telah 20 tahun menjalankan perniagaan di pasar ini berkata beliau menjual kira-kira 3,000 ekor kambing berharga SR250 hingga SR700 (RM200-RM600) seekor pada musim haji sahaja.

Di luar musim haji, jualan tidak menentu, katanya tanpa menyatakan jumlahnya manakala Abdul Wahab Abdul Kadir, 33, pula berkata beliau menjual lapan jenis kambing berharga antara SR200 dan SR400 seekor (RM160-RM330).

Bagi pedagang unta, Jaafar Abdul Rashid, 50, musim haji merupakan waktu paling sibuk dan masa untuk mengecap rezeki yang melimpah ruah.

"Dalam masa dua bulan ini saya menjangka dapat menjual kira-kira 1,000 ekor unta berharga SR3,000 hingga SR3,300 (RM2,500-RM2750) seekor berbanding purata 60 ekor sebulan di luar musim haji," katanya yang telah 22 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini.

Ali Hashim, 55, pula berkata permintaan terhadap lembu sekitar SR2,800 seekor pada musim haji sangat menggalakkan dan kebanyakan pelanggan beliau adalah dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Pemandangan, riuh rendah bunyi haiwan ternakan dan bau haiwan ternakan di pasar haiwan Kaa'Kia sememangnya membawa pengalaman baru yang sukar dilupakan oleh penulis serta rakan-rakan pasukan media TH. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain