BEKAS GURU DERMA RM20,000 HASIL JUALAN LUKISANNYA UNTUK SEKOLAH OKU

Diterbitkan: Khamis, 18 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Bekas guru seni lukis SM St Patrick, Cheong Thye Ming, menyumbang RM20,000 hasil jualan lukisannya sempena pameran solonya sepanjang dua hari kepada tabung Persatuan Untuk Orang Pekak Tawau.

Jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada RM60,000 hasil jualan lukisan jenis realistiknya bertemakan 'Tiger/The Nature Call' sempena pameran yang dianjurkan bersama Pesatuan Pemberita Tawau.

"Selama ini, saya perhatikan sumbangan kewangan sama ada dari pihak syarikat atau orang awam lebih ditumpukan kepada sekolah-sekolah biasa. Sumbangan kepada sekolah orang pekak dan orang kurang upaya masih berkurangan.

"Saya mendapati sekolah orang OKU juga amat memerlukan dana untuk meneruskan operasi mereka dan sehubungan itu saya mengambil inisiatif ini," kata Cheong,70, yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Cheong yang mempunyai empat orang anak dan bersara sejak 15 tahun lalu selepas berkhidmat selama 28 tahun, berkata beliau berpuas hati dan gembira kerana dapat menyumbang dana kepada golongan OKU melalui kemahiran dan bakat beliau.

Pada pameran solo pertamanya itu, Cheong yang merupakan graduan seni halus daripada The National Taiwan Normal Univerity, mempamerkan lukisan-lukisan berkaitan karakter positif yang ada pada harimau.

"Saya memilih tema harimau kerana tahun ini adalah tahun harimau mengikut kalendar Cina. Saya juga ingin memaparkan tentang sudut positif harimau iaitu berlainan daripada imej negatif yang sering kita dengar mengenainya," katanya.

Menurut Cheong tahun depan beliau bercadang menganjurkan satu lagi pameran lukisan seumpama itu di Tawau melibatkan ramai pelukis muda termasuk murid-muridnya sendiri.

Dr Lo Vun Kong, Pengerusi Persatuan Untuk Orang Pekak Tawau yang mengendalikan Sekolah Kanak-Kanak Cacat Pendengaran dan Kurang Upaya, berkata pihaknya amat menghargai usaha dan sumbangan Cheong.

Katanya, sekolah kelolaannya memang memerlukan bantuan orang awam kerana persatuan perlu membelanjakan RM18,000 sebulan untuk pengendalian sekolah berkenaan dan kos itu meningkat setiap tahun.

Pada masa ini, sekolah itu mempunyai 49 pelajar OKU dan sembilan daripadanya cacat pendengaran.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan