Penenun Songket Buta Di Pasir Panjang

Diterbitkan: Jumaat, 12 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: "Mata kami tak pernah kami jaga. Kini semakin hari semakin kabur. Perlu pakai cermin mata untuk menenun dan menyongket dengan baik," jelas penenun 'veteran' Aminah Awang.

Aminah yang mula menenun sejak berumur 11 tahun memberitahu Bernama di Kampung Lorong Kemunting, Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Pada waktu dahulu, kei atau alat menenun yang turut dipanggil 'kek' ini diletakkan di bawah rumah. Kawasan yang berlantaikan tanah dan tidak berlampu, tidak sesuai dilawati pada waktu malam untuk menyambung kerja-kerja menenun dan menyongket. "Kalau hujan, lagilah tak boleh turun ke bawah rumah. Tanah basah, adakalanya air naik dan yang sempat hanya mengangkat kei ke tempat yang lebih tinggi, supaya sebahagian kain songket yang telah siap ditenun tidak rosak terendam di dalam air banjir", kata Aminah.

Ramai di kalangan penenun yang sudah berumur agak kurang tajam penglihatan mereka. Pemakanan yang tidak seimbang susulan pendapatan yang tidak menentu, turut menyumbang kepada masalah penglihatan selain faktor cahaya lampu yang kurang terang semasa menenun dan menyongket di kawasan rumah.

Penenun Buta

Tiba-tiba Kak Yah atau nama sebenarnya Nawiyah Ngah, yang turut menjadi peserta program ibu tunggal di bawah Yayasan Tuanku Nur Zahirah bersuara daripada bucu bilik tenunannya yang telah diubahsuai di bawah skim bantuan di kampung tersebut.

"Tengok Gayah tu. Dah buta dah sekarang, pun masih menyongket. Kasihan dia. Ibunya baru meninggal empat bulan sudah. Dulu ibunya lah yang membantu Gayah mendapatkan benang-benang yang berwarna pelbagai. Arwah ibunya jugalah yang menjualkan hasil tenunan Gayah".

"Suami dia pun juga sudah meninggal. Anak-anak ada empat orang. Kecil-kecil lagi, yang sulung baru masuk universiti lepas SPM. Lama juga Gayah tak menenun tapi sekarang anak dia yang nombor tiga dan empat tolong tandakan benang dengan ikatan getah, mengikut warna.

"Kak Limah tengok kerjatangan kain tenun songket Gayah tu kemas dan elok. Gayah tu pun muda lagi, baru 40 tahun gitu umurnya", tambah Halimah Dolah, 60, yang turut membesarkan anak dengan menenun setelah hampir 30 tahun berpisah dengan suami. Sejurus selepas itu, Halimah pun membawa kami ke rumah Gayah Ahmad yang berdekatan dengan rumahnya dan tidak berapa jauh dari sebuah surau, di kawasan Pasir Panjang ini.

Ketika didekati, wanita yang berusia 40-an, tidak langsung menampakkan sebarang kecacatan. Matanya berwarna coklat terang dan kelihatan seolah-olah sepasang mata yang dimiliki seseorang yang celik dan jelas penglihatannya.

Keturunan

Anak-anak Gayah tiada di rumah ketika ditemui kerana semuanya bersekolah pagi.

"Lima daripada tujuh saudara kandung saya pun mempunyai masalah mata macam saya. Kata doktor ia sejenis penyakit yang ada kaitan dengan saraf dan keturunan.

"Kami mengalaminya sejak kecil lagi. Saya mula merana ketika mengambil peperiksaan Tingkatan 6, ketika itu. Saya jawap soalan peperiksaan dalam keadaan yang kurang jelas, samar-samar saja.

"Saya mengagak ketika menulis jawapan. Walau apapun saya tetap bersyukur kerana masih dapat mengusahakan pendapatan untuk anak-anak", jelas Gayah sambil tersenyum.

"Saya tak ada masalah bergerak di dalam rumah. Saya dah hafal kedudukan perabot dan saya selesa. Tetapi saya tak rasa selamat bila berada di luar rumah atau di rumah orang lain. "Tempat menenun saya pula di bawah rumah. Mujurlah saya ada anak-anak yang sanggup menolong," Gayah menerangkan sambil menenun samping songketnya yang pertama sejak ibunya meninggal.

Harapan

Gayah masih belum disenaraikan sebagai penerima bantuan untuk ibu-ibu tunggal sepertimana jiran-jirannya yang senasib di kawasan kediamannya.

"Saya turut menerima bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan. Walaupun begitu, saya bersyukur kerana dua daripada anak saya menerima bantuan biasiswa daripada Yayasan Terengganu dan kerajaan persekutuan, namun saya perlu terus berusaha untuk masa depan mereka", kata beliau.

Kain samping songket yang ditenun Gayah setakat ini sudah habis dijual arwah ibunya. Gayah kini menaruh harapan untuk menyiapkan beberapa lagi hasil tenunan songketnya sebelum diserahkan kepada orang tengah.

"Kalau dulu kekurangan penglihatan saya ditampung mak. Sekarang saya perlu mula menenun semula. Bila dah cukup simpanan kain songket yang ditenun, saya akan cuba tawarkan kepada tetamu yang datang atau sesiapa yang berminat di kalangan saudara mara dan rakan atau peniaga di Pasar Payang", sambung Gayah.

Bersemangat

Walaupun pernah sehelai songket yang ditenunnya putus digigit haiwan Gayah tetap tabah menghadapinya. Malah ketika memotong bahagian yang telah rosak akibat gigitan haiwan kecil yang berkeliaran pada waktu malam itu, Gayah tetap menunjukkan semangatnya untuk terus menyongket lagi.

"Pelajaran anak sangat penting untuk saya. Saya mahu lihat anak-anak hidup sempurna. Mudah-mudahan anak sulung saya yang sedang menghadiri kursus perakaunan di sebuah institusi pengajian tinggi di Chendering akan dapat membela nasib keluarga bersama-sama saya selepas dia tamat pengajian nanti", kata Gayah yang tidak kenal putus asa, walaupun kematian suami sejak tahun 2003.

Kecekalan penenun songket yang terdiri dari ibu-ibu tunggal seperti Gayah yang kurang penglihatan membesarkan anak patut mendapat pujian dan perhatian semua pihak. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan