suria

'Saudagar Senja' Penenun Songket Pasir Panjang

KUALA TERENGGANU: "Sejak kematian suami, saya menenun songket bagi menyara perbelanjaan membesarkan anak-anak," kata Zaitom Othman atau Kak Tom, seorang penenun songket di Lorong Kemunting, Pasir Panjang, di sini.

'Bengkel' menenun songketnya pula hanya terletak di tepi dapur rumahnya.

Dulu, tempat menenun ini berada di bawah rumah kayunya yang sudah agak usang yang bertiang setinggi hampir 4 kaki setengah atau 1.5 meter saja.

Ia memerlukan Kak Tom membongkok untuk pergi ke tapak ‘Kei’ (juga dipanggil 'kek') iaitu petak bingkai kayu alat tenun yang berukuran hampir 6.5 kaki x 3.5 kaki.

Tapak ini menempatkan jaringan alat menenun dan gulungan benang pakan dan benang loseng, yang akan digunakan untuk menenun sehingga siapnya kain bersulam songket pelbagai warna.

Satu gulungan benang loseng boleh menghasilkan antara 18 dan 20 helai kain samping yang sepanjang 2 meter atau 2 meter suku. Berbanding masa dulu, kain samping yang berukuran lebar antara 34 dan 37 inci itu ditenun sehingga 2 ela (1.8 meter) panjangnya saja.

Orang sekarang suka (kain samping) yang lebih luas, badan mereka pun lebih berisi sekarang. Jadi saya perlu menenun mengikut kehendak pembeli", jelas Kak Tom sambil diperhatikan dua cucu lelakinya yang sedang lasak bermain di perkarangan rumah.

TENUNAN SUTERA

Ada songket yang ditenun di atas kain sutera seperti koleksi songket eksklusif yang dihasilkan di Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) di bawah jenama Royal Terengganu Songket (RTS).

Ia diusahakan melalui bengkel-bengkelnya yang sudahpun beroperasi di Kuala Terengganu dan Kuching di Sarawak, dengan menempatkan lebih 60 pelatih muda yang kreatif.

Bengkel yayasan ini punya tenaga pengajar yang bertauliah yang membimbing penenun atau pelatih muda yang dibayar elaun bulanan serta diberikan tempat tinggal secara percuma selain daripada insentif.

Berlainan pula dengan penenun songket tradisional yang telah menenun sejak remaja lagi.

Mereka tidak diberi latihan menenun secara formal.

"Saya belajar menenun daripada ibu mertua setelah berpindah ke kampung ini. Saya belajar terus menerus dan bila kelapangan, ibu mertua akan menyuruh saya menunjukkan semula kemahiran menenun dan menyongket dengan benang biasa, tanpa benang emas dan perak," tambah Kak Tom sambil tersenyum melihat ke arah sahabatnya, Cik Yah atau Nawiyah Ngah, jiran sekampung yang juga dianggap ‘ketua’ kumpulan penenun kampung yang kebanyakannya ibu tunggal.

Terdapat 1,500 penenun dari lebih 15 kampung menenun songket di sekitar Kuala Terengganu dan 90 peratus daripada mereka ini terdiri daripada golongan penenun sudah berumur yang mempelajari seni menenun secara turun temurun.

"Saya pun belajar daripada orang tua dan keluarga suami. Mereka semuanya berasal dari warga tenun", Cik Yah, 54, menjelaskan kepada Bernama.

JUALAN HASIL TENUNAN

Kini keadaan tempat penenun adalah lebih selesa dengan lantainya berjubin, ada lampu dan silingnya juga lebih tinggi berbanding dahulu berpasir dan menjadi laluan haiwan ternakan dengan siling hanya setinggi 4 kaki setengah atau kurang sedikit daripada 1 meter setengah itu.

Selain itu terdapat juga haiwan perosak yang boleh mendatangkan mudarat kepada hasil tenunan yang tidak dapat dipisahkan daripada alat ‘Kei’ sehingga ia selesai sepenuhnya.

"Pernah, hasil tenunan Kak Tom dirosakkan seseorang yang kurang siuman, habis dikelar-kelarnya kain songket Kak Tom yang belum siap sepenuhnya. ‘Kei’ pun ditakek-takek dengan parang.

"Luluh hati Kak Tom melihatnya, tapi apa boleh buat. Dah takdir. Tapi mujurlah Yayasan Tuanku Nur Zahirah membantu mendirikan satu tapak baru di tepi rumah untuk kak Tom dan kawan lain di kampung ni. Dah setahun lebih", Kak Tom menceritakan.

Lebih 40 buah 'bangsal' menenun yang selesa telah didirikan pihak YTNZ untuk golongan penenun di kalangan ibu tunggal di Lorong Kemunting, Pasir Panjang, Kuala Terengganu sejak tahun 2008.

PENDAPATAN HALAL WALAUPUN TAK SEBERAPA

Hasil tenunan orang kampung dijual sendiri sama ada kepada penjual di Pasar Payang di bandar Kuala Terengganu atau kepada orang tengah dan individu.

Pihak Yayasan turut membantu dengan menempah helaian songket untuk dijadikan produk sampingan seperti kotak hiasan, anak patung dan beg kecil sebelum dipasarkan di bawah jenama 'Ibunda' kepada pasaran terbuka, terutama di Kuala Lumpur.

"Kami tetap bersyukur dengan apa yang diperoleh ini. Walaupun tak besar mana pendapatan kami, anak-anak membesar juga. Adalah juga rezeki saya", jelas seorang lagi penenun di kawasan Pasir Panjang, Ramlas Abdullah, 50, yang pernah mengambil upah menenun sepersalinan songket untuk RM80 saja dalam tempoh 8 hari.

Modal benang dan bahan yang diperlukan untuk menenun dibekalkan si penempah dan pembayar upahan.

Menurut Ramlas yang mula menenun ketika berusia 13 tahun, sehelai kain samping songket separa pelekat dengan motif tampuk bunga tradisional, dapat disiapkannya dalam masa lima hari.

40 PENENUN

Di kampung Lorong Kemunting ini terdapat lebih 40 penenun yang kebanyakannya berusia lebih 40 tahun.

"Yang paling muda berusia 28 atau 29 tahun dan yang paling veteran berusia 80 tahun. Hasil tenunan kami tidak mendapat harga yang tinggi bila dilepaskan kepada orang tengah, tak sampai RM300 tapi di kedai harganya kadang-kadang dua kali ganda", Cik Yah, yang hidup sebagai ibu tunggal sejak 12 tahun lalu, menceritakan.

Empat puluh 'tongkol' (gulungan) benang loseng dan 40 'tongkol' lagi benang pakan diperlukan untuk menenun lebih 20 helai bahagian asas kain samping atau sarong jenis kain kapas.

Harga setiap ‘tongkol’ benang ini antara RM15 hingga RM20.

Tiga hingga empat 'tongkol' benang emas atau perak, yang lebih mahal harganya, digunakan untuk kuntuman bunga sebagai pemanis atau motif yang disongket ke dalam benang kain tenun.

Songket bersulam emas penuh sudah semestinya akan memerlukan lebih banyak benang emas setongkol=RM40) digunakan dan harganya sudah semestinya akan lebih tinggi.

"Selain itu, harga alat tenun ‘kei’ sekarang pun bukan murah lagi. Ia antara RM1,000 hingga RM2,000, bergantung kepada jenis kayu dan pembuatannya.

"Yang penting ia perlu tahan ketukan kami sebagai penenun. Rangkanya taklah kuat sangat, itu yang dibimbangi penenun.", jelas Cik Yah.

Ramai di kalangan penenun kain songket masih menyongket walaupun sudah lanjut usia dan menyatakan bagaimana peritnya untuk memusing modal dan menampung kehidupan keluarga.

Kraftangan yang diwariskan ini perlu dilindungi agar ia berupaya bertahan untuk dinikmati semua generasi negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain