Lembaran Baru Bagi MAS Dengan Kumpulan Pesawat Tercanggih

Diterbitkan: Rabu, 10 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaran baru bermula bagi Malaysia Airlines (MAS), yang bersedia untuk berkembang dengan tempahan pesawat tercanggih dalam rancangan pembaharuan kumpulan pesawatnya selepas lima tahun melalui pembaharuan menyeluruh.

Hasil daripada pelbagai inisiatif yang dilancarkan bersama-sama Pelan Pemulihan Perniagaan, syarikat penerbangan itu berjaya mengubah kerugian kepada keuntungan antara tahun kewangan 2006 dan 2007, dengan perasionalan laluan sebagai satu daripada penyumbangnya.

Apabila pelan pemulihan itu berakhir, MAS mencatatkan keuntungan sebanyak RM851 juta pada 2007, keuntungan paling tinggi pernah dicatatkan oleh syarikat penerbangan negara itu dalam sejarah 60 tahun penubuhannya, serta mengakhiri siri kerugian sejak 2005.

“Kami telah melalui banyak perubahan sejak 2005,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin, sebelum lawatan media sempena pra penyerahan pesawat B737-800 yang dianjurkan oleh MAS dan Boeing Commercial Airplanes ke Seattle, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Dengan “lesen” untuk berkembang, bermula bulan ini, MAS akan mula menerima pesawat yang ditempah daripada Boeing dan Airbus pada 2008, dengan ketibaan pesawat terkini B737-800 Generasi Akan Datang di Subang minggu lepas yang menandakan permulaan program pengembangannya.

Syarikat Penerbangan Perkhidmatan Penuh Pertama Dengan Boeing Sky Interior

Pemerolehan pesawat dengan satu lorong antara tempat duduk menjadikannya syarikat penerbangan perkhidmatan penuh pertama di dunia mengendalikan pesawat B737-800 dengan kemasan dalaman baru "Boeing Sky Interior".

MAS dijadualkan menerima dua lagi pesawat satu lorong B737-800 tahun ini, satu pada bulan ini dan berikutnya pada Disember.

Sebanyak 32 lagi akan diserahkan dalam masa empat tahun akan datang.

Syarikat penerbangan itu telah menempah sehingga 55 pesawat B737-800, 25 pesawat A330-300 dan enam pesawat A380.

Sebagai tambahan, 15 pesawat Airbus A330-300 dijadual diserahkan mulai tahun depan hingga 2014 dan enam pesawat jet superjumbo A380-800 dengan penyerahan pertama disasarkan pada April 2012.

Menurut Azmil, tempahan pesawat baru itu merupakan sebahagian daripada pelan keseluruhan bagi mengukuhkan rangkaian global sekarang ini dan meningkatkan kapasiti.

Menggantikan Pesawat Lama Boeing dan Airbus

Pesawat baru B737-800, A330-300 dan A380-800 itu akan menggantikan pesawat lama B737-400, A330-300 dan B747-400.

Menjelang 2015, usia purata kumpulan pesawatnya juga akan dikurangkan kepada “5.2 tahun daripada 11.6 tahun pada tahun lepas,” kata beliau.

“Ini merupakan masa yang menarik bagi Malaysia Airlines dan pelanggan kami yang akan menikmati pesawat generasi terkini,” kata beliau semasa menyambut ketibaan pesawat B737-800 dengan 160 tempat duduk itu, yang mempunyai garisan merah dan biru, warna korporat MAS.

Azmil berkata, pesawat B737-800 akan membolehkan MAS meningkatkan kekerapan penerbangannya di pasaran utama Asia Pasifik.

Boeing, dalam tinjauan masa depan pasarannya bagi 2010, mengunjurkan trafik penumpang akan berkembang pada 5.3 peratus setahun dalam tempoh jangka panjang dirangsang oleh pertumbuhan ekonomi daripada kawasan dengan keperluan pesawat yang pelbagai.

"Trafik penumpang global dijangka berkembang pada 5.3 peratus setahun dan kargo udara pada 5.9 peratus setahun dalam tempoh 20 tahun akan datang," kata Pengurus Kanan bagi analisis pasaran Boeing Commercial Airplanes Michael L. Warner. Trafik penumpang dalam Asia Tenggara sahaja akan berkembang sebanyak tujuh peratus setahun, katanya.

Asia Pasifik Tunjuk Pertumbuhan Kukuh

Menurut laporan berkenaan, “segmen pesawat dengan satu lorong akan terus menguasai pertumbuhan seluruh dunia berikutan pertumbuhan pesat syarikat penerbangan tambang murah, pasaran baru muncul seperti India, China dan Asia Tenggara, dan ketidakstabilan harga bahan api yang berterusan.”

Rantau Asia Pasifik, katanya, menunjukkan keuntungan pasaran yang paling kukuh dengan diterajui China.

“Hari ini, kira-kira satu pertiga daripada semua trafik syarikat penerbangan melibatkan rantau Asia Pasifik dan hasil daripada pertumbuhan dalam pasaran ini, menjelang 2029, hampir 43 peratus daripada semua trafik akan ke, dari atau dalam rantau berkenaan," kata Naib Presiden Pemasaran Boeing, Randy Tinseth.

Rantau Asia Pasifik juga akan menjadi pembeli terbesar pesawat dua lorong, menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah permintaan, katanya.

Pesawat 737-800 diilhamkan daripada pesawat 787 Dreamliner Boeing, pesawat saiz sederhana, dengan badan lebar dan panjang, enjin berkembar pesawat jet.

Menurut Boeing, pesawat itu merupakan keluaran syarikat yang paling efisien dari segi bahan api dan pesawat utama pertama dunia menggunakan bahan komposit bagi kebanyakan pembinaannya.

Pesawat B737-800 disenaraikan pada US$70 juta (RM217 juta) dan boleh memuatkan 16 tempat duduk kelas bisnes dan 144 dalam kelas ekonomi.

Ciri Unik Boeing Sky Interior

Boeing 737 Sky Interior baharu mampu memuatkan lebih banyak beg tanpa mengurangkan ruang dalam kabin.

Atendan boleh memilih skim pencahayaan LED berbeza pelbagai warna yang lembut, nyaman dan tenang.

Kumpulan Generasi Akan Datang ini menampilkan banyak teknologi terkini, termasuk sayap lawi yang menjimatkan bahan api, paparan dek penerbangan yang maju serta kemampuan pendaratan dan navigasi berasaskan satelit.

“Pesawat satu lorong lebih ringan, lebih menjimatkan dari segi bahan api dan mudah disenggara berbanding pesawat saingan yang lain. Ia membawa lebih banyak penumpang, boleh memberikan perolehan kargo yang lebih lagi, terbang lebih jauh, dan menyediakan kekerapan yang tinggi, persekitaran pusingan masa yang lebih singkat,” kata Boeing.

“Sistem hiburan dan maklumat yang sebelum ini hanya didapati di jet terbesar akan diperkenalkan MAS bagi B737-800 pada 2010,” kata Azmil.

Menurut Boeing, sehingga kini, 50 pelanggan menempah kemasan dalam baharu itu bagi 1,386 pesawat.

Pakej Penambahbaikan Prestasi

Boeing Sky Interior diilhamkan untuk penumpang merupakan yang terkini dalam siri penambaikan pesawat.

“Penghantaran selanjutnya membabitkan pakej peningkatan prestasi yang akan mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon sebanyak dua peratus, menjadikan pesawat tujuh peratus lebih cekap berbanding 737 generasi pertama yang diserahkan," katanya. Menurut pembuat pesawat AS itu, peningkatan prestasi kepada kerangka udara dan enjin mula menjalani ujian pensijilan tidak lama lagi, dan akan memulakan perkhidmatan pada awal 2012.

Malaysia Airlines ialah syarikat penerbangan kedua di dunia, selepas syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai, flydubai, menerima Boeing Sky Interior baharu ini yang menawarkan pengalaman perjalanan yang dipertingkat kepada penumpang.

Penyerahan pesawat 737 generasi akan datang Boeing Sky Interior itu berlangsung pada 29 Oktober.

Kota Kinabalu, Hab Kedua Mas Selepas KL

Dua penerbangan dijadual pada 15 November - penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, diikuti penerbangan komersil dari Kota Kinabalu ke Haneda, Tokyo.

Pesawat pertama 737-800 ini akan menjadi sebahagian daripada strateginya untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab kedua di Malaysia selepas Kuala Lumpur, kata beliau dan menjelaskan bahawa “Kota Kinabalu merupakan pintu masuk yang ideal untuk mempromosikan perjalanan ke dan dari China, Taiwan, Asia Utara, Indonesia dan Australia.”

MAS akan mula memperkenalkan penerbangan tiga kali seminggu dari hab ke Haneda mulai 15 November diikuti dengan penerbangan dua kali seminggu ke Osaka.

Menjelang Jun tahun depan, Kota Kinabalu juga akan mempunyai penerbangan harian ke Taipei dan Hong Kong, dan empat kali seminggu ke Kaohsiung dan Seoul. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan