"Commander Kelapa" Balikpapan Isaac Allen Hasilkan Album Blues

Diterbitkan: Selasa, 9 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Apabila Isaac Allen berpindah dari New York ke Balikpapan, Indonesia ketika berusia tujuh tahun kira-kira 16 tahun lepas, dia mendapat gelaran "Commander Kelapa" kerana kegemarannya memanjat pohon kelapa.

Setelah melalui pelbagai ranjau dan duri dalam kehidupannya, kini anak muda yang telah meredah segenap pelosok hutan Borneo ini menjadi semakin matang dan memanfaatkan bakat luar biasanya dalam bidang nyanyian serta muzik dengan menghasilkan sebuah album irama blues dan jazz.

"Dulu, semua pokok (di Balikpapan) saya panjat, tak kira siapa tuannya...sesuka hati saya, hingga saya digelar sebagai pencuri kelapa," kata penyanyi kelahiran Pennsylvania berusia 23 tahun ini dalam temubual melalui e-mel dengan Bernama.

Kematangan fikiran menemukan Allen, yang pernah menetap di Ampang, Kuala Lumpur, dengan impian yang ingin dicapainya pada usia sekarang iaitu memanfaatkan minat serta pengalamannya dalam bidang nyanyian, bermain piano dan biola dengan menghasilkan sebuah album berjudul "Don't Smoke".

"Don't Smoke" merupakan koleksi 11 lagu berirama blues dan jazz ciptaan Allen terbitan Horizon Records, yang mencerminkan rona-rona kehidupan yang pernah dilaluinya. Album ini turut memuatkan sebuah lagu berjudul " Bernie Made Off", yang menyindir perbuatan keji pemilik bank pelaburan Amerika Bernie Madoff mengumpul wang berbilion ringgit dengan memperdaya orang ramai dan menyapu wang mereka melalui skim pelaburan palsu anjurannya.

Allen mengaitkan pencapaian terbarunya ini dengan pengalaman yang dilaluinya semasa membesar di Indonesia, Malaysia dan Singapura ketika mengikuti bapanya yang bertugas sebagai doktor dengan sebuah syarikat minyak di rantau ini. Ibu bapanya kini menetap di Singapura.

Sebagai tanda penghargaannya terhadap rakyat Indonesia dan Malaysia, Allen bercadang mendermakan 35 peratus daripada hasil jualan album sulungnya ini kepada Palang Merah Indonesia (PMI) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).

Derek Marker, penyelaras projek khas Horizon Records, yang membantu Allen menghasilkan album ini, berkata daripada US$5.75 yang diterima penyanyi berkenaan bagi setiap album yang dijual pada harga US$9.99 melalui iTunes atau muat turun Amazon MP3 daripada laman webnya www.mrisaacallen.com, US$2 akan disumbangkan kepada PMI dan PBSMM, dan wang ini akan digunakan secara khusus untuk membiayai usaha menyelamat mangsa letusan Gunung Merapi di Jawa Tengah.

"Terbitanya album ini adalah hasil daripada pengembaraan selama beberapa tahun. Di sebalik pengalaman berguna yang saya kutip semasa tinggal di Indonesia dan Malaysia, terselit pelbagai kepayahan dan apabila saya semakin matang serta meneruskan kehidupan di Amerika --- saya melalui banyak peristiwa yang tidak menggembirakan," kata penyanyi ini tanpa memberi penjelasan lanjut.

Anak seni ini berkata "album ini menceritakan perihal manusia yang pernah saya kenali ketika menjalani kehidupan penuh kepayahan itu - mereka yang bernasib malang, kecewa dan menderita. Perkara ini benar-benar terjadi dan pada usia sekarang, saya rasa berkewajipan untuk menceritakannya kepada umum. Pendirian saya ialah apabila kita mendedahkan sesuatu rahsia, kita sebenarnya menceritakan sesuatu yang benar-benar berlaku."

Ketika tinggal di Malaysia dari 1997 hingga 1999, Allen bersekolah di International School of Kuala Lumpur (ISKL), sebelum berpindah ke Singapura dan bersekolah di Singapore American School (SAS).

Ketika tinggal di Ampang, Allen lebih banyak menghabiskan masanya bergaul dengan kedi di Kelab Darul Ehsan (KDE) dan mengikut mereka balik kampung semasa cuti sekolah, daripada mengikuti pelajaran.

Bagaimanapun, pengalaman sewaktu tinggal di Indonesia paling banyak memberi kesan dalam kehidupannya.

"Semasa tinggal di Balikpapan (Kalimantan Timur), saya belajar di Pasir Ridge International School (PRIS) dan selama setahun, saya menuntut di sekolah Indonesia dikenali sebagai YBBSU di Jalan Telagasari.

"Saya merupakan satu-satunya "buleh" (panggilan orang Indonesia bagi orang kulit putih) yang memakai pakaian seragam sekolah di Balikpapan ketika itu. Saya yang meminta berbuat demikian dan sekolah induk saya (PRIS) mengizinkannya. Ketika itu umur saya kira-kira sembilan tahun dan saya percaya dengan berbuat begitu (menuntut di YBBSU), saya boleh menguasai bahasa Indonesia di samping dapat bergaul dengan anak-anak tempatan. Kata Allen, walaupun kini dia tinggal di Amerika "tapi, dalam hal tertentu, saya tetap menganggap saya orang Indonesia/Malaysia. Ini kerana sebahagian besar zaman kanak-kanak saya dihabiskan bersama rakyat di dua negara itu. Selalunya, ingatan seseorang itu akan berakar umbi di tempat yang dianggapnya sebagai rumah sendiri. Dalam hati saya, tanah air saya ialah Indonesia dan Malaysia."

"Kok tinggal di Amerika selama hidup? Hati saya tetap di Indonesia dan Malaysia. Bagi saya, Asia Tenggara masih seperti tempat asal saya. Tentu saja tidak secara harfiah tetapi dalam pikiran dan perasaan masih begitu," tulis Allen dalam bahasa Indonesia.

Malah, ketika zaman kanak-kanaknya, Allen begitu akrab dengan penduduk di rantau ini. Ini terbukti apabila ketika berniaga ais krim di Balikpapan, Allen mengenakan dua harga bagi pelanggannya -- harga lebih tinggi bagi orang asing dan harga lebih rendah bagi orang tempatan.

Ditanya adakah dia mempunyai teman wanita ketika itu?, Allen menjawab, "Pasti!".

"Cinta pertama saya ialah dengan budak perempuan Indonesia bernama Yanti. Saya rasa ketika itu, saya berusia lapan tahun dan dia pula lebih kurang 10 tahun. Kami gemar menangkap udang di dalam longkang di kampung. Lebih tepat lagi, dia menangkap udang dan saya memanjat pokok kelapa. Kehidupan begitu indah ketika itu. Saya rindukan kehidupan yang begitu santai ketika zaman remaja," katanya.

Kata Allen lagi, ketika itu dia merupakan satu-satunya anak pegawai asing yang menghisap rokok keretek "234 Dji Sam Soe" serta menghabiskan banyak masa di kampung.

"Orang sering mengejek saya dengan berkata "Buleh Masuk Kampung". Gelaran ini dipadankan daripada judul sebuah program televisyen di Indonesia. Dah lama saya tak jengah kembali Balikpapan, tapi kata bapa saya, apabila dia ke sana, semua orang, daripada pekerja pejabat hinggalah pekerja penyenggaraan, bertanya tentang saya," kata penyanyi ini.

Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya di Balikpapan, Allen berkata: "Semasa saya kanak-kanak, kadang-kadang kami pergi hingga ke Sungai Makaham di Kalimantan Timur. Saya amat teringin sekali tinggal di sana. Setulusnya, saya bercadang untuk kembali ke kawasan pedalaman Borneo yang pernah saya kenali suatu ketika dulu. Mungkin orang akan tertawa, tapi inilah impian saya. Saya ingin kembali ke tempat di mana teknologi tidak mengubah segalanya." Ditanya tentang makanan kegemarannya, Allen berkata: "Oh, saya benar-benar rindukan lontong dan nasi goreng. Ini kedengaran aneh, tapi di Amerika, malah di restoran Melayu dan Indonesia sendiri, nasi gorengnya tidak sama dan mungkin beras Amerika menjadikan rasanya berbeza. Allen, yang pernah bertugas sebagai sukarelawan yang mengajar bahasa Inggeris di Singaraja, Bali, ketika berusia remaja dan memandu "ojek" (teksi motosikal) untuk membawa warga asing bersiar-siar di pulau peranginan itu, masih mengingati beberapa perkataan Indonesia dan Melayu, walaupun sebutannya agak pelat kerana telah lama tidak menuturkannya. Katanya: "Akan tetapi, pada saat ini kemampuan saya berbahasa Melayu/Indonesia tidak seperti dulu.

"Tak bisa dijelaskan rasa senang yang saya alami kalau kembali ke Indonesia atau Malaysia, kalau menemukan bau kretek yang paling enak, kalau lihat bahasa Indonesia atau Melayu yang ada di pinggir jalan dan mendengar bahasa itu...yah, begitu...seperti pulang rumah.

Allen, yang bercadang bekerjasama dengan pemuzik serta artis Indonesia dan Malaysia untuk menghasilkan album pada masa akan datang, sedang menyiapkan satu set muzik video untuk diedarkan di Asia Tenggara. Karya ini akan dihasilkan dalam bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia dengan iringan muzik gamelan.

Ditanya kenapa dia memilih "Don't Smoke" sebagai tajuk album berkenaan, Allen berkata tajuk itu "begitu simbolik kerana ia berkaitan larangan yang patut saya patuhi, tapi saya melakukannya juga: merokok."

Katanya album berkenaan mungkin tidak sama seperti yang telah dihasilkan sekiranya dia mendengar nasihat ibunya dan "banyak tunjuk ajar lain yang tidak diendahkannya."

"Sedihnya, saya perlu akui bahawa ada suatu ketika dalam hidup ini apabila saya menyedari yang saya telah menjadi seseorang yang bukan menjadi impian saya.

"Saya telah mengambil jalan salah. Saya terjerumus ke lembah yang menyeksakan, tapi mujurlah saya tidak terus berada di dalamnya dan mendaki ke laluan lain untuk membolehkan saya menceritakan semua ini. Saya amat bersyukur kerana dapat menikmati kehidupan seperti sekarang. Jalan hidup saya begitu bersih sekarang. Malah, saya sudah menjauhkan diri daripada arak.

"Sebenarnya, mereka yang pernah melalui kehidupan yang bermasalah, tapi berjaya mengatasinya, lebih banyak terhutang budi kepada dunia dan oleh itu perlu menebusnya dengan berbuat kebaikan.

"Oleh itu, saya rasa bertanggungjawab untuk membantu orang lain sepertimana orang pernah menolong saya suatu ketika dulu. Asia Tenggara mengajar saya tentang perkara ini.

"Di Amerika, masyarakat lebih mementingkan pencapaian seseorang individu. Tapi, rasa saya, di Asia, pencapaian masyarakat dan kumpulan lebih diberi keutamaan.

Ditanya kenapa pula namanya pada kulit album berkenaan menggunakan perkataan "Mr", Allen menjawab: "Nama Mr. Isaac Allen lahir di studio Horizon Records. Kami ada banyak legenda dan penyanyi blues, mereka sering memanggil satu sama lain sebagai Doctor, Reverend dan sebagainya. Ini merupakan suatu bentuk penghormatan dalam dunia muzik blues di Amerika.

"Lagipun, banyak penggiat irama blues memanggil saya Doctor Allen. Suatu hari, seorang daripada mereka yang paling tua secara bergurau berkata saya terlalu muda untuk diberi gelaran doktor."

Lantas, ada seorang pemuzik irama blues yang melepak di studio itu berkata, "yang saya tahu dia ni Mr. Isaac Allen."

"Saya terima kata-kata itu dengan hati terbuka dan nama itupun terus melekat pada diri saya," kata Commander Kelapa ini, yang kini tinggal di Connecticut. – BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan