suria

Nampak Sedap, Tapi Boleh Makan Ke?

KUALA LUMPUR: Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian masakan yang enak. Ia bukan hanya dikenali dengan hidangan istimewa daripada satu kaum tetapi keseluruhan masyarakat majmuk di negara ini.

Rakyat Malaysia bangga dengan khazanah serta warisan masakan mereka yang berasal serta muncul dari 'campuran' budaya Melayu, China, India, Serani, Siam serta masyarakat dari Sabah dan Sarawak.

"Jika anda sedang mengembara di Malaysia, antara perkara yang sememangya perlu anda buat ialah makan," kata warga ekspatriat dari Belanda Rob Van Huizen kepada Bernama di sini baru-baru ini.

"Rakyat Malaysia akan menjamu selera anda (pelancong) sehingga puas, kerana bagi mereka memastikan tetamu kenyang dengan makanan ialah sebahagian daripada cara mereka memberi layanan mesra," katanya.

Di seluruh negara, tidak susah untuk mendapatkan makanan yang sudah disediakan. Terdapat medan selera di hipermarket dan pusat membeli-belah. Di bandar utama dan pekan sudah tentu pula ada pusat penjaja.

Dengan wujudnya kepelbagaian dalam hidangan masakan, menimati keunikan seperti makanan Malaysia ialah sesuatu yang sukar didapati di negara lain.

Tetapi adakah makanan itut dimasak dengan bersih serta sesuai di makan?

BOLEH DIMAKAN

Aktivis sosial dan pengguna Fatimah Mansur mempunyai pendapat berikut:

"Masyarakat punya hak untuk menganggap makanan yang mereka makan adalah selamat. Penyakit yang dibawa makanan tidak bagus untuk kesihatan selain mengganggu keyakinan pengguna".

Menurut bekas ahli akademik itu, amalan pemakanan juga berubah dan ini dapat dilihat daripada perubahan pengeluaran, penyediaan serta pengedaran makanan.

"Tahap kebersihan yang tinggi adalah perlu bagi menjauhi kesan tidak baik terhadap kesihatan dan juga ekonomi yang disebabkan jangkitan penyakit daripada makanan.

"Semua pihak termasuk penyedia serta pembawa makanan dan juga konsumer harus mempunyai tanggungjawab bagi memastikan makanan selamat dan boleh dimakan," kata beliau.

KERACUNAN MAKANAN

Menurut Dr Jeannie Lim, pensyarah Perubatan sosial dan Kemasyarakatan, alam sekitar dipenuhi oleh pelbagai mikro-organisme yang tidak dapat dilihat mata kasar.

"Banyak daripada organisme halus ini tidak memudaratkan manusia, ada juga yang memberi kebaikan. Bagi yang lain, badan manusia membentuk satu sistem pertahanan terhadap mikro-organisme ini," kata beliau.

Tetapi, pada tahap tertentu (sepeti suhu yang spesifik dan kehadiran nutrien) mikro-organisme ini dapat membiak dengan banyak dan cepat sehingga membahayakan kesihatan.

Menurut Dr Lim, habuk serta bahan buangan selain daripada makanan adalah tempat yang baik untuk kuman membiak.

"Kontaminasi makanan oleh mikro-organisme serta keracunan yang disebabkan metabolit mereka boleh menyebabkan situasi yang dipanggil sebagai 'keracunan makanan'. Masalah ini disebabkan bakteria seperti salmonella, campylobacter atau listeria", kata beliau.

Kata Dr Lim, jika gejalanya adalah sederhana (cirit-birit, sakit perut, muntah, pening kepala, demam, kelesuan) kemungkinan berlakunya keracunan makanan mungkin tidak dianggap berlaku sebaliknya dianggap disebabkan makan atau minum berlebihan.

"Disebabkan ini, kes keracunan tidak disenaraikan dalam statistik dan hanya satu daripada 10 kes keracunan makanan yang dilaporkan," kata beliau.

KESILAPAN MANUSIA

Kata Dr Lim insiden seperti ini berlaku bila manusia mempunyai kesedaran yang rendah terhadap keperluan kebersihan penyediaan dan pengendalian selain faktor kesilapan manusia.

"Mikro-organisme disebar dari tangan ke tangan - selepas menjalankan aktiviti yang kotor, bersentuhan makanan mentah (seperti daging, pengendalian bahan buangan, benda kotor dan selepas menggunakan tandas.

"Kuman akan biasanya tertinggal di tangan, bawah jam tangan, gelang serta juga kuku".

Katanya kuman boleh hinggap di baju dan boleh berpindah kepada makanan. Radang di kulit, luka (luka-luka kecil) dan inflamasi boleh mengeluarkan kuman (dalam nanah).

"Pastikan luka serta keradangan bersih dan gunakan juga sarung tangan getah. Air liur serta hingus mengandungi banyak kuman. Jangan batuk atau bersih menghala ke arah makanan. Palingkan muka ke arah lain atau tutup mulut dengan sapu tangan ketika bersin dan batuk.

"Mereka yang menghidap penyakit berjangkit mestilah menjauhi dapur atau mereka mesti memakai penutup mulut".

Beliau menasihati mereka yang mengendalikan makanan, supaya memakai pakaian bersih semasa bekerja, dan juga semasa berada di dapur selain membasuh tangan mereka dengan sabun. Mereka harus juga memastikan kuku mereka bersih.

MAKANAN MENTAH

Makanan mentah biasanya akan mengandungi kuman, bergantung kepada jenis makanan dan sumber. Ada beberapa jenis makanan yang mudah dijangkiti kuman seperti susu, daging cincang, telur, ayam, ikan dan makanan laut.

"Suhu bilik menggalakkan pertumbuhan kuman dan cuaca panas serta lembab memburukkan lagi keadaan. Makanan mentah handaklah dihantar dengan segera dan disimpan pada suhu sejuk. Makanan yang mudah rosak haruslah diambil dengan segera," nasihat Dr Lim. Kata beliau adalah satu langkah yang baik menyimpan makanan di dalam peti sejuk tetapi biarlah pada suhu yang sesuai.

"Jika makanan tidak disimpan dengan baik atau disimpan terlalu lama (walaupun di dalam peti sejuk), ia mungkin rosak. Buang makanan yang rosak dan jangan hanya mengikis kulat di permukaannya. Toksin dari kulat ini akan memasuki makanan tanpa disedari," kata beliau.

Kuman dari makanan mentah boleh berpindah ke makanan yang sudah dimasak semasa penyimpanan dan pemprosesan. Pengendali makanan dinasihatkan menutup makanan semasa penyimpanan. Simpan dan sediakan makanan mentah dan yang sudah dimasak secara berasingan.

PEMANASAN

Dr Lim berkata proses pemanasan yang tidak mencukupi gagal membunuh semua kuman di dalam makanan.

"Bila makanan disediakan, hidangan sejuk, makanan panas dan baki makanan merupakan bahan yang baik bagi pembiakan mikro-organisme. Oleh itu adalah baik jika makan makanan yang disediakan dengan secepat mungkin," kata beliau.

Dr Lim mengulangi betapa pentingnya kebersihan terutama bagi pengendali makanan serta juga kebersihan di tempat makanan itu disediakan.

Pengendalian serta penyiapan makanan secara bersih adalah penting bagi mengelakkan keracunan, tambah Dr Lim.

Sementara itu, itu Mahkamah Sesyen Shah Alam baru-baru ini mengeluarkan perintah ganti rugi RM55,000 terhadap seorang pensyarah yang termuntah setelah menjumpai kaki lipas di dalam spageti beliau.

Dengan keputusan itu, mahkamah menghantar isyarat yang jelas bahawa langkah menjaga kebersihan makanan yang disediakan tidak boleh diabaikan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain