Aksesori Pewter Dapat Perhatian Di Pasaran

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Aksesori daripada pewter kini dilihat semakin digemari dan diminati ramai setelah masyarakat menyedari ia kini mampu dimiliki selain rekabentuknya mempunyai nilai artistik yang tinggi.

Jika dahulu masyarakat dimomokkan dengan harga barangan pewter yang boleh dikatakan mencecah ratusan ringgit dengan satu barang, kini para penggemar barang perhiasan Melayu lama yang sering dikaitkan dengan golongan bangsawan, istiadat diraja atau majlis perkahwinan itu boleh dimiliki dengan harga serendah RM10 satu barang.

Menurut Arsad Jantan, pemilik AJ Nadi Sdn Bhd, sebuah syarikat pengeluar barangan dan aksesori daripada pewter, beliau tertarik untuk menjadikan aksesori pewter sebagai mata pencarian setelah melihat maklum balas barangan ini di pasaran yang semakin memberangsangkan.

"Orang kita semakin gemar dengan aksesori pewter. Kalau dahulu mereka anggap barangan pewter ini hanya layak dibeli oleh orang kaya sahaja tetapi sekarang sesiapa pun boleh miliki," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Perniagaan Yang Menguntungkan

Arsad yang berpengalaman selama enam tahun dalam perniagaan dan pembuatan aksesori daripada pewter berkata, antara barangan yang dihasilkannya yang menjadi kegemaran ramai adalah aksesori wanita seperti pending, dokoh, keronsang, loket dan gelang tangan.

Perusahaannya turut menghasilkan beberapa barangan perhiasan untuk majlis perkahwinan seperti tepak sirih, bunga telur, bekas cincin, kotak hantaran perkahwinan dan bekas pot puri.

"Aksesori ini kerap ditempah oleh wanita golongan elit dan kerabat diraja bagi pemakaian pada majlis keraian manakala wanita muda kelas pertengahan juga tidak ketinggalan turut menyukainya terutama dipakai pada musim perayaan seperti Hari Raya atau perkahwinan," katanya.

Menggunakan pewter 100 peratus dalam pembuatan aksesori yang dihasilkannya, Arsad mahir mengukir sendiri kerawang pada aksesori berkenaan dengan menggunakan rekabentuk ciptaan sendiri atau pun ciptaan yang diterima daripada pelanggan.

"Disebabkan aksesori pewter ini banyak berkait rapat dengan khazanah serta tinggalan generasi terdahulu yang gemar menggunakan motif alam flora dan bunga-bungaan, ukiran berbentuk awan larat dan bunga-bungaan seperti bunga tanjung, kesidang, melati, teratai, putik pauh, daun sirih, bunga tanjung, cempaka, melati dan tak lupa bunga kebangsaan kita, bunga raya menjadi kegemaran saya dan pelanggan.

"Malah, disebabkan keunikan motif-motif ini, ia telah menarik minat ramai pelanggan dari Sabah dan Sarawak", katanya yang pernah menyertai pameran kraf di Indonesia dan Dubai.

Gigih Mantapkan Produk

Arsad yang mendapatkan latihan khas mengukir pewter daripada Sirim Berhad selama dua tahun berkata walaupun produknya mampu membawa pulangan lumayan iaitu sekitar RM30,000 sebulan tetapi beliau tetap berusaha mencipta kelainan dalam rekaannya bagi menambat hati pelanggan.

"Saingan daripada pengusaha pewter yang lain juga ramai, jadi saya perlu mencari kelainan dalam rekaan saya agar ia mempunyai identiti tersendiri dan pada masa sama mahu pelanggan merasai produk yang saya hasilkan untuk mereka adalah 'eksklusif'.

Justeru, rekaan beliau kini turut disuntik elemen moden seperti menggunakan batu kristal swarovski, digarap dengan ukiran menggunakan besi tembaga tanpa membuang elemen klasik pada produk tersebut dan kemudian disadur dengan emas kuning, perak atau diberi sentuhan warna antik melalui teknik saduran khas.

"Walaupun kosnya agak tinggi tapi inovasi dalam rekaan adalah penting demi kepuasan hati pelanggan dan saya sendiri akan memastikan produk saya terus 'survive' di pasaran", katanya.

Beliau juga tidak ketinggalan mengiklankan produk menerusi laman blognya www.putikpauh.blogspot.com , katanya yang sering menerima tempahan daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara termasuk Universiti Teknologi Melaka (Utem) dan Universiti Teknologi Mara.

Penyambung Warisan

Ketika ditanya mengapa beliau begitu gigih menghasilkan aksesori pewter ini, Arsad berkata, selain sebagai sumber pendapatan, ia merupakan impiannya untuk memelihara warisan dan khazanah seni.

"Saya begitu bangga dapat menghasilkan kembali tinggalan warisan seni yang satu ketika dulu hanya dipakai oleh golongan tertentu iaitu kerabat diraja dan golongan bangsawan, tetapi kini semua golongan sudah mampu memilikinya sekaligus memastikan nilai tradisi seni Melayu itu tidak mati begitu sahaja.

Hidupkan Semula Warisan Seni Melayu

Pengarah Pemasaran dan Promosi Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail berkata penyertaan usahawan dalam Promosi Kraf Aidilfitri 2010 ini banyak membantu pihak Kraftangan Malaysia dalam memartabatkan lagi hasil seni yang satu masa dahulu ia hanya dipakai oleh golongan tertentu.

"Dengan penyertaan mereka dalam program ini, ia sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat khususnya golongan muda keunikan hasil seni dan kraftangan masyarakat Melayu yang tinggi nilai artistiknya.

"Jadi, kedatangan mereka ke sini sebenarnya bukanlah sekadar untuk membeli belah semata-mata, malah ibu bapa boleh memberi ilmu kepada anak-anak mereka menerusi penerangan terhadap produk-produk kraf yang dihasilkan para usahawan", katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan