suria

Menggilap Peranan Balai Seni Lukis Negara

KUALA LUMPUR: Negara tanpa memori laksana negara tanpa roh.

Antara memori ini ialah rakaman perasaan dan penghayatan pelukis terhadap persekitaran mereka yang dizahirkan menerusi sketsa dan ledakan serta kombinasi pelbagai warna di atas kanvas.

Justeru karya-karya pelukis ini perlu dihargai dan disimpan dengan baik sebagai khazanah seni negara di samping memupuk bakat serta minat seni dan seni lukis dalam kalangan generasi muda khususnya.

Demikian pandangan Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara (BSLN) yang baru, Datuk Mohd Yusof Ahmad dalam wawancara dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Mohd Yusof yang sebelum ini berkhidmat selama 35 tahun di Kementerian Luar Negeri dilantik ke jawatan itu pada 7 Jun 2010.

"Malaysia mempunyai ramai pelukis yang berbakat serta berjaya. Ada juga di antara mereka yang amat memerlukan perhatian dan bantuan untuk mengetengahkan bakat seni lukis mereka, " katanya.

Beliau sendiri mula meminati bidang seni lukis ketika bertugas sebagai Setiausaha Pertama di Kedutaan Malaysia di Itali.

Beliau pernah bertugas di Kedutaan Malaysia di Vietnam, Poland dan Australia dan sebagai Duta Besar Malaysia di Peru dan Switzerland.

IKON SENI LUKIS

Sebagai peminat seni lukis, Mohd Yusof berpendapat tempoh lebih 53 tahun kewujudan Balai Seni Lukis Negara ialah satu tempoh yang agak panjang dan sewajarnya melakar tinggi kehebatan institusi ini sebagai ikon seni lukis negara.

"Yang menyedihkan ialah mungkin masih ramai yang tak tahu tentang adanya Balai Seni Lukis Negara ini.

"Yang tahu pula ialah segelintir orang yang minatkan seni lukisan, orang yang berkepentingan dan mereka yang dalam sektor kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, apa yang perlu dilakukan ialah untuk meningkatkan usaha bagi menaikkan nama BSLN di semua peringkat masyarakat termasuk peminat seni lukis, orang awam dan juga bukan penuntut seni, penuntut sekolah dan pelancong/pelawat ke Malaysia.

"Kita mungkin akan mengadakan aktiviti besar-besaran yang kekal dalam ingatan orang ramai di samping mencari satu akronim yang lebih menarik kepada institusi ini supaya ia lebih mudah diingati," kata Mohd Yusof yang turut memberitahu bahawa BSLN dari semasa ke semasa menganjurkan pertandingan melukis untuk menggalakkan minat terhadap seni lukis bagi semua lapisan masyarakat.

FOKUS UTAMA

Dalam usaha mempromosi BSLN, beliau bagaimanapun berkata institusi itu tidak memerlukan penjenamaan semula kerana ia sudah mempunyai jenama.

Apa yang perlu ialah untuk sentiasa mengingatkan serta menyebarkan lebih banyak maklumat mengenai kewujudan dan aktiviti institusi seni lukis itu.

"Ini adalah antara fokus utama saya sebagai Ketua Pengarah baru dan saya tahu pelbagai pihak menaruh harapan tinggi kepada saya memandangkan pula ini pertama kali seorang diplomat dilantik ke jawatan ini.

"Saya memang berharap akan dapat menrealisasikan harapan ini tetapi saya memerlukan sokongan dari semua pihak dan sudah tentunya petugas saya sendiri," kata Mohd Yusof.

Pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah baru BSLN dianggap sesetengah pihak sebagai bertepatan bukan sahaja kerana pengalaman meluasnya sebagai pentadbir dan diplomat tetapi juga kecintaannya dalam bidang seni lukis.

Bermula sebagai pembeli lukisan sewaktu berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia di Peru, minat itu bercambah kepada hobi melukis.

Dengan tunjuk ajar seorang pelukis Peru, Mohd Yusof berkata beliau berjaya menghasilkan beberapa karya yang sering dijadikan hadiah untuk rakan-rakannya.

KURANG DIHARGAI

Melukis bagi Mohd Yusof memberi satu kepuasan dan beliau ingin melihat rakyat Malaysia umumnya melihat seni lukis sebagai sesuatu yang bukan hak eksklusif golongan tertentu.

Beliau turut berpendapat apresiasi masyarakat tempatan terhadap seni lukis boleh dikatakan masih berkurangan dan minat terhadap bidang ini perlu dipupuk dan digilap dari awal lagi.

Menurut beliau ia boleh dikembangkan melalui pendidikan di sekolah dan lebih mudah jika seseorang itu mempunyai bakat semula jadi.

"Anda tidak perlu menjadi artis untuk meminati seni lukis. Kebanyakan pengumpul seni lukis bukan pelukis tetapi mempunyai minat dalam bidang itu.

PUPUK MINAT

Beliau berkata satu cara untuk menarik minat masyarakat tempatan mencintai bidang itu ialah dengan meyakinkan mereka bahawa ia memberi kepuasan dan lukisan mengindahkan kediaman mereka.

"Sememangnya untuk orang biasa, lukisan bukan sesuatu yang penting untuk dibeli. Mungkin ia sesuatu yang eksklusif tetapi bukan keutamaan. Mungkin dalam senarai keperluan, lukisan berada di tempat paling bawah," tambahnya.

Justeru, Mohd Yusof mengesyorkan usaha dibuat supaya hasil lukisan dijual pada harga yang mampu dibeli.

"Yang pasti ialah apabila seseorang pelukis itu menjadi terkenal, harga lukisan mereka akan melambung tinggi dan ini realiti yang perlu diterima," tambahnya.

Di samping itu, beliau juga menekankan perlunya anak-anak digalakkan menanam minat dalam bidang seni termasuk seni lukis pada usia muda.

Langkah sedemikian, katanya, akan memberi impak sama ada dia akan menjadi seorang pelukis dan berkarya atau menjadi peminat yang boleh merancakkan lagi dunia seni lukis tanah air khususnya.

"Memang seni lukis diajar sebagai satu subjek tetapi pada pandangan saya ia belum mencapai tahap yang diperlukan. Yang penting sama ada minat atau bakat itu akan berakhir apabila pelajar itu meninggalkan bangku persekolahan.

"Ibu bapa mungkin juga kurang memberi galakan untuk anak-anak mereka menjadikan bidang berkenaan sebagai satu kerjaya kerana beranggapan ia tidak menjanjikan kesenangan.

"Walhal dunia termasuk seni dan seni lukis adalah bidang yang lumayan. Justeru jika anak-anak mempunyai bakat melukis jangan bunuh bakatnya hanya kerana mahu dia mengejar profesyen lain," tambahnya.

Menurut Mohd Yusof, bidang seni lukis juga boleh dijadikan sebagai hobi yang boleh mendatangkan pulangan.

Malahan, kata beliau, bahan lukisan juga boleh dijadikan sebagai penyumbang kepada pendapatan negara jika bidang seni dan seni lukis serta produknya dijadikan satu industri.

TAMBAH KOLEKSI

Sebagai sebuah galeri seni lukis yang berusia lebih 50 tahun, Mohd Yusof berkata sepatutnya ia mempunyai lebih banyak hasil seni termasuk lukisan dalam simpanannya berbanding hanya 3,500 yang ada.

"Bagi saya jumlah yang kita ada terlalu kecil untuk sebuah galeri negara dan untuk galeri yang berusia lebih 50 tahun.

"Jumlah ini perlu ditambah. Pada permulaan penubuhannya, galeri mendapat banyak sumbangan daripada pengumpul di zaman pasca merdeka yang memberikannya secara percuma.

"Saya faham peruntukan kerajaan untuk membeli hasil seni ada hadnya. Untuk itu, pihak kami menggalakkan pengumpul bahan seni ini termasuk sektor swasta menghadiahkan sebahagian daripada koleksi mereka kepada galeri ini," katanya.

Setiap hasil seni yang disumbangkan, tambah Mohd Yusof, diberi pengecualian cukai dan sudah tentu akan dijaga dengan baik di galeri BSLN.

BANTU ARTIS

BSLN turut berperanan membantu artis terutama mereka yang baru berjinak-jinak berkarya dan perlu mengetengahkan bakat mereka khususnya di persada antarabangsa.

"Kadang kala kita menghantar artis ke luar negeri untuk menghadiri pameran antarabangsa.

"Di samping itu terdapat juga artis yang mahu membuat pameran di peringkat negeri dan kita memberi bantuan untuk mereka membeli bahan-bahan keperluan.

"Setiap minggu pelbagai permohonan kami terima untuk pelbagai jenis bantuan dan jawatankuasa akan menimbangkan yang wajar diberi. Bantuan begini penting untuk mendorong mereka terus berkarya.

"Perjalanan hidup seorang artis memang penuh onak dan duri tetapi syukurlah ada Balai Seni Lukis Negara untuk membantu sedikit-sebanyak serta memberi ruang dan peluang kepada mereka," jelas Mohd Yusof.

Kata beliau, pihaknya hanya membantu artis yang benar-benar memerlukan bantuan dan dalam masa yang sama mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin membuat sumbangan atau tajaan.

MARTABAT TINGGI

Sememangnya sebagai Ketua Pengarah BSLN yang baru, Mohd Yusof memikul tanggungjawab yang berat serta kepercayaan tinggi banyak pihak.

Beliau sendiri menaruh harapan besar untuk memberi nafas baru yang boleh menyumbang kepada kecemerlangan galeri negara itu.

"Ingat seni dan seni lukis ingat Balai Seni Lukis Negara (BSLN)". Inilah antara yang diharapkan Mohd Yusof. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain