suria

Mengecapi Semula Semangat 16 September

KUALA LUMPUR: Malaysia diisytiharkan pada 16 September, 1963 tetapi itu lama dahulu dan generasi selepasnya mungkin tidak lagi menghargai semangat dan makna sebenar tarikh ini.

Oleh itu, langkah kerajaan untuk mengisytiharkan 16 September sebagai Hari Malaysia dan sebagai cuti umum bermula tahun ini boleh membantu generasi yang dilahirkan selepas itu untuk menghargai maksud sebenar tarikh ini.

Selaras itu juga sebuah pertubuhan bertumpukan komuniti Andante Resources mengambil tanggungjawab memastikan tarikh 16 Sept diiktiraf dan diraikan di seluruh negara.

Pertubuhan ini akan menganjurkan satu acara dikenali sebagai "We R Malaysia" (Kita Malaysia) pada 16 dan 17 Sept, yang akan menyaksikan kira-kira 100,000 orang dari seluruh negara menyanyi lagu "We R Malaysia" yang digubah khusus bagi meraikan hari bersejarah ini.

MEMPERINGATI HARI BERSEJARAH

Bendahari Andante Resources Kon Onn Keong berkata 16 September, 1963 meraikan penyatuan Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Malaya sebagai sebuah negara.

"Kita pada masa itu percaya walaupun kita berlainan, jika kita ketepikan individualiti dan perbezaan antara kita, kita akan muncul sebagai negara yang utuh.

"Mesej di sini ialah walaupun kita orang yang berlainan, jika kita boleh ketepikan citarasa serta kepentingan individu demi kebaikan semua, bayangkan betapa utuh kita akan muncul nanti," tambah beliau.

Bagaimanapun, Kon berpendapat bahawa 16 Sept, 1963 berlaku 47 tahun yang lepas dan bagi generasi muda semangat tarikh ini mungkin tidak begitu signifikan.

"Itu lama dahulu. Hari ini kita mempunyai generasi baru yang perlu mengecapi semula semangat itu, supaya mereka benar-benar memahami makna Hari Malaysia, dan ini cara yang hebat untuk menarik penyertaan mereka."

BAGAIMANA IA AKAN DILAKUKAN?

Kon berkata sambutan itu akan disatukan dengan majlis-majlis tajaan negeri selain di pelbagai institusi, kolej dan lokasi yang difikirkan sesuai.

"Tetapi saya rasa kebanyakan orang masih berada di kampung-kampung bersempena musim Hari Raya. Tetapi mereka boleh turut serta dari mana-mana sahaja, dari rumah atau kampung halaman mereka," katanya.

Para peserta akan memakai kemeja-t "We R Malaysia" dengan senikata lagu dicetak di belakang, dan mereka boleh menyanyikan lagu itu dari mana-mana sahaja di Malaysia, pada 16 dan 17 September.

Lagu ini boleh dinyanyikan dalam pelbagai bahasa, kata Kon, dengan senikata boleh didapati dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Hindi, Kadazan-Dusun dan Iban, supaya ia membayangkan wadah tumpuan kaum-kaum di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Di akhir acara itu, para peserta akan mencabut dan bertukar sehelai daun yang tertera "We R Malaysia, Many But One" padanya, kata beliau. Daun-daun ini boleh jadi daun kering yang dihiasi dengan mesej atau daun kertas, tambah beliau.

"Daun melambangkan kehidupan baru, kesegaran, jadi para peserta boleh merekabentuknya dalam apa jua cara yang mereka mahu dan menulis mesej yang mereka mahu sampaikan.

"Dengan bertukar daun mereka mengakui bahawa "Saya Malaysia, anda juga Malaysia, dan kita bersama-sama adalah Malaysia."

Tetapi mengapa "Malaysia" dan bukan "warga Malaysia", yang lebih sesuai daripada segi bahasa?

"Kerana kita mahu orang ramai mengetahui yang Malaysia bukan sahaja landskap dan struktur yang indah, tetapi ia juga mewakili rakyat yang membentuknya," jawab Kon.

Mereka yang berminat mengambil bahagian boleh melawat laman web http://wermalaysia.andante.my/.

USAHA BANGUNKAN NEGARA Kon berkata acara ini bertujuan membantu membina sahsiah negara yang seterusnya boleh membantu mempromosi 1Malaysia di samping menjalin persefahaman lebih baik di kalangan penduduk Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Bertitik tolak dari sini kita boleh wujudkan satu platform kumpulan-kumpulan seperti ini untuk bertukar idea dan berbincang dan kemudian kita boleh berusaha bersama kerajaan dalam mengenalpasti kumpulan-kumpulan yang berkongsi perspektif membina sahsiah negara," katanya.

Adante Resources bukan muka baru dalam usaha seperti ini. Pertubuhan ini bermula pada tahun 2000 melalui gandingan ibu-anak perempuan, Juliet dan Joyce Tan, yang menyediakan pembelajaran praktikal dan pendedahan kepada kanak-kanak malang dan terpinggir di kawasan luar bandar.

Kedua-dua mereka kini masing-masing merupakan penasihat dan setiausaha agung pertubuhan itu.

Ia menjalankan acara bangunkan negara julung kali pada 2009, dengan tema 'Go for 9!!!' yang membabitkan 99 institusi, syarikat dan pertubuhan-pertubuhan dari sembilan sektor untuk menyanyi bersama-sama bagi menunjukkan semangat patriotisme pada pukul 9 pagi 9 September, 2009.

Tahun ini ia memulakan acara kedua membina sahsiah negara dalam acara yang dikenali sebagai Transformatrix, yang membabitkan 10 projek komuniti di kawasan luar bandar.

Penaung Adante Resources ialah Datin Joan Ongkili.

"Ini akan menjadi pengalaman bagi generasi baru untuk memperingati, dan diharapkan, mereka akan berkongsi minat dan menyampaikannya kepada generasi berikut apabila tiba masanya," kata Kon. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Selatan Thai Tenteram 'Gitu-Gitu'

Artikel Lain