suria

Selatan Thai Tenteram 'Gitu-Gitu'

NARATHIWAT: Pekan Narathiwat nampak tenang semasa rombongan 14 wartawan Asia berkunjung ke kawasan berkenaan dua minggu yang lepas.

Gambaran siri letupan dan keganasan yang bermain di minda para wartawan digantikan dengan senario sebenar penduduk Islam menjalankan kegiatan harian seperti biasa - kanak-kanak ke sekolah dan masjid dipenuhi dengan kariah setempat.

Rasa bimbang pada wartawan-wartawan dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam, India, Pakistan dan Bangladesh terus hilang dengan kumpulan itu berjalan bebas dan menikmati makanan di pekan Narathiwat, dan berbual dengan penduduk setempat untuk mendapat tahu keadaan sebenar.

Bagaimanapun, keamanan itu nampaknya tidak bertahan apabila berlaku serangan yang membawa kematian orang awam beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri sekaligus menjejaskan pendekatan `mesra rakyat' yang diambil pihak pemerintah Thailand untuk membawa keamanan.

Pendekatan Mesra Penduduk

Sejak setahun lepas, kerajaan Thailand telah merangka pelbagai program untuk membangunkan kedudukan sosio-ekonomi penduduk wilayah selatan.

Antaranya, kerajaan memperkenalkan program ekonomi seperti mewujudkan perkampungan tani bagi membolehkan penduduk setempat memperoleh pendapatan lebih tinggi.

Penduduk kampung ini diberi tunjuk ajar oleh pihak tentera bagaimana untuk menjadi penternak, menanam sayur selain terdapat tempat rawatan ketagihan dadah di perkampungan berkenaan.

Pihak tentera pula mengambil pendekatan `soft power' dengan menawarkan rawatan pergigian percuma di klinik yang dibuka tidak jauh dari perkampungan tani itu.

Perkampungan tani seperti ini diwujudkan di tiga wilayah bergolak iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala supaya penduduk lebih percaya terhadap pemerintah, yang berjanji untuk membantu membangunkan wilayah berkenaan.

Keganasan Berkurangan

Ketua Turus Tentera Divisyen Pertama Pengawal Diraja Thailand Kolonel Songwit Noonpakdee berkata program-program bantuan kerajaan itu ialah supaya penduduk dapat memahami dan mempercayai anggota tentera yang berada di situ.

Kira-kira 30,000 anggota tentera melakukan tugas meronda, memantau dan menjaga keamanan selain terbabit dalam program tajaan kerajaan itu, katanya.

Hasilnya, kes keganasan yang berlaku sejak enam tahun lepas berkurangan.

Pada 2004, sebanyak 1,700 kejadian keganasan dicatat dan meningkat kepada 2,100 pada 2005 dan 2006 sebelum menurun kepada 800 kes pada tahun lepas. Pada tahun ini sehingga Jun lepas, hanya mencatatkan 500 kes.

Songwit berkata peruntukan kerajaan kepada wilayah selatan Thai sebanyak 63 bilion baht (RM60.3 juta) bagi membangunkan ekonomi penduduk, juga akan menjadi faktor dalam mengurangkan lagi keganasan.

Tidak Lupa Tragedi Tak Bai

Ini dikongsi bersama Imam Masjid Jumiah, Hussain Azam Tarip, yang berkata peruntukan kerajaan itu yang juga dalam bidang pendidikan akan menghasilkan lebih ramai graduan Islam.

Walaupun keadaan nampak aman dan bilangan mereka yang menentang kerajaan telah berkurang, terdapat juga keraguan seperti yang dinyatakan oleh imam ini.

Hussain berkata penduduk Islam belum melupakan tragedi Tak Bai apabila 60 rakyat tempatan mati dalam semasa tahanan tentera.

Ditanya sama ada penduduk masih menyimpan dendam atau curiga dengan kerajaan, beliau berkata: "Keluarga dan adik-beradik mangsa mungkin ada yang mahu menuntut bela. Wajib tuntut bela jika ada kezaliman.

"Kebanyakan orang jika kamu tanya, kepercayaan kepada kerajaan gitu-gitu saja. Mereka takut juga...lain di mulut lain di hati," katanya apabila ditanya mengenai keadaan di selatan Thailand khususnya di Tak Bai sekarang.

Tidak Mahu Dipisahkan Beliau berkata penduduk bukan mahu memisahkan tiga wilayah berkenaan daripada kerajaan Thai, namun hanya menuntut keadilan daripada pemerintah.

"Daripada kaji selidik yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri terhadap penduduk di sini, lebih 80 peratus kata tidak mahu berpisah dengan Thailand," katanya.

Sememangnya kerajaan Thailand sedang dan telah berusaha membangunkan ekonomi, sosial dan politik penduduk wilayah selatan sejak setahun lepas.

Langkah itu adalah bagi mengatasi keganasan yang sering dilaporkan di wilayah selatan Thailand khususnya di Narathiwat, Pattani dan Yala.

Namun, apa yang menjadi penentu usaha kerajaan Thai itu ialah sejauh mana keikhlasan mereka membantu penduduk Islam wilayah berkenaan.

Ini kerana, ketika ini masih terdapat perasaan "gitu-gitu" terhadap langkah kerajaan Thai dalam membantu penduduk Islam wilayah selatan.

Apa yang penting, pentadbiran Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva perlu menunjukkan ketelusan dalam menjayakan program-program pembangunan di wilayah berkenaan, yang merupakan antara agenda nasional negara Gajah Putih itu yang seterusnya akan menjamin keamanan di wilayah-wilayah selatan Thailand. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain