suria

Amalkan Pemakanan Sihat Sepanjang Syawal Ini

KUALA LUMPUR: Apabila tiba musim perayaan, masyarakat seolah-olah berada dalam 'syurga makanan' menyebabkan ramai yang mengetepikan seketika faktor makanan sihat dan seimbang.

Namun, menurut seorang pakar pemakanan sikap sedemikian harus dihentikan kerana kesan ke atas kesihatan seseorang khususnya bagi mereka yang sudah menghidap penyakit seperti kencing manis adalah besar.

"Musim perayaan ini ramai orang buat rumah terbuka, hidang pelbagai makanan, mendorong orang ramai makan lebih banyak. Kadang-kadang kita makan kerana mahu menjaga hati tuan rumah...kita boleh makan, tapi ambil dengan kuantiti yang sedikit," kata Yeo Pei Sien, Pegawai Dietetik Hospital Kuala Lumpur kepada Bernama di sini.

Beliau berkata tidak sukar untuk mengawal pengambilan makanan jika masyarakat mengamalkan beberapa tips ketika menghadiri rumah terbuka.

Antaranya kata Yeo, ialah membuat perancangan dalam memenuhi undangan rumah terbuka iaitu hanya makan sedikit di setiap rumah yang dikunjungi.

"Jangan pergi rumah terbuka dalam keadaan yang sangat lapar. Apabila kita terlalu lapar kebarangkalian makan terlalu banyak sangat tinggi, kita akan jadi 'overeating'.

"Jadi, jangan biarkan perut kosong. Rancang dahulu, setiap rumah makan sedikit dan pastikan ia seimbang," katanya.

Yeo berkata orang ramai juga wajar menjadikan piramid makanan sebagai panduan dalam pemilihan makanan bagi memastikan setiap hidangan yang dijamah bukan saja mempunyai elemen yang diperlukan tetapi pada kadar mencukupi.

"Selain itu pengambilan air kosong amat penting. Setiap daripada kita harus minum antara lapan hingga 12 gelas air kosong setiap hari," katanya.

Bagi yang menganjurkan rumah terbuka pula, Yeo berkata mereka juga harus bijak mengubah suai resepi tanpa menjejaskan rasa juadah yang dihidang.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak lupa melakukan senaman ringan sepanjang musim perayaan ini.

"Saya tahu ramai yang kurang menjalankan aktiviti senaman masa Hari Raya ini kerana sibuk pergi rumah terbuka. Buat aktiviti ringan...seperti berjalan kaki dari rumah ke rumah. Setidak-tidaknya kita boleh bakar sedikit kalori yang diambil," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Selatan Thai Tenteram 'Gitu-Gitu'

Artikel Berikut

Artikel Lain