suria

Persiapan Saat Akhir, Duit Raya Masih Lagi Satu Trend

KUALA LUMPUR: Kompleks membeli-belah dan gerai-gerai yang menjual barangan Aidil Fitri yang hampir tiba semakin sesak dikunjungi warga pengguna yang mahu mendapatkan keperluan mereka pada saat-saat akhir.

Mungkin ada yang merasakan harga barangan ini menjadi lebih murah pada hari-hari terakhir Ramadan. Tak kurang juga ada yang seronok berebut-rebut membeli barangan keperluan mereka pada saat-saat akhir.

Bila ditanya tentang perkara ini, respon yang diterima bercampur-campur.

Ada yang menyatakan masa telah menjadi penentu kerana tidak berkesempatan pada hari-hari bekerja sementara ada melakukan pembelian pada saat akhir kerana menantikan bonus atau ganjaran wang yang hanya diberikan majikan pada minggu-minggu akhir Ramadan.

"Beberapa tahun lepas saya memang membeli songkok anak lelaki saya pada saat-saat akhir di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Maklumlah pada waktu siang anak bersekolah dan saya pula bekerja. Jadi kami pergi mencari songkok pada waktu malam," kata salah seorang pembeli di saat akhir, yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Haziman.

Tempahan Baju

"Semalam, ada orang tanya sama ada saya boleh terima sepasang lagi kain untuk baju raya. Tinggal kurang seminggu saja lagi, jadi saya tolak. Pakaian di tempah pelanggan dah hampir siap. Ada yang akan mengambil baju-baju mereka sehari sebelum Hari Raya," jelas Kuan Yoke Mei, tukang jahit pakaian wanita yang mula menjahit pakaian di ibu kota hampir 27 tahun lepas.

Menurut Kuan, tahun ini ramai pelanggan yang mahukan jahitan manik pada pakaian yang mereka tempah.

"Ramai daripada mereka datang hantar kain untuk dijahit daripada bulan Jun lagi!" tambah beliau.

Setakat minggu ketiga Ramadan tahun ini, Kuan sudah siapkan lebih 200 pasang pakaian untuk pelanggannya.

Pakaian Siap

Berkunjung ke sebuah kompleks beli-belah di The Curve, Kota Damansara dekat sini mendapati kawasan lapang di tingkat bawah kompleks itu menempatkan tidak kurang daripada 20 buah gerai sementara menawarkan jualan kelengkapan Aidil Fitri kepada pengunjung.

Terdapat gerai pakaian kanak-kanak menawarkan jualan pakaian baju kurung untuk anak perempuan pada harga yang ditetapkan mengikut saiz pakaian yang dipilih. Sepasang baju kurung kain kapas bermotif bunga halus dan berwarna lembut, ditandakan pada harga antara RM50–RM80.

Di sebuah gerai yang menawarkan pakaian wanita dewasa, trend tahun ini didapati lebih condong ke arah pakaian yang diperbuat daripada kain kapas.

"Kain kapas ni semua datang dari India. Berkualiti dan selesa dipakai. Tak panas dan cantik," kedengaran kata seorang penjual.

Harga pakaian-pakaian itu ditandakan antara RM220 hingga RM269 sehelai.

Biskut Raya

"Saya buka gerai di kawasan baru ini untuk mendapatkan jaringan pelanggan baru. Saya dapati semakin dekat Hari Raya, semakin ramai yang nak membeli biskut raya.

"Kami mula membuat biskut raya sejak awal Ramadan. Semua orang nak biskut raya yang baru dan ‘segar’ barulah sedap dimakan. Kami jaga kualiti biskut-biskut yang kami jual ini," jelas usahawan muda Sharifah Noorazlin Syed Ramzan yang menjual hasil tangan keluarganya sendiri ketika ditemui di gerainya.

'Hamper’ yang disediakan juga mengikut bajet pelanggan.

Ada juga yang semurah RM10 dan ada juga yang lebih mahal pada harga RM100 setiap satu.

"Kami masih menyiapkan 50 buah ‘hamper’ lebih istimewa untuk pelanggan yang mahukan ia dibungkus dengan lebih eksklusif dan menarik. Jadi pasti harganya lebih mahal," jelas Sharifah Noorazlin lagi.

Tukar Duit Raya

Sementara itu masih ramai lagi yang belum menukar duit wang raya pada minggu terakhir Ramadan kerana masing-masing masih mengatur bajet dan mencongak keperluan pemberian kepada sanak saudara dan teman-teman yang membawa anak-anak berkunjung ke rumah.

"Wang seringgit dan lima ringgit masih menjadi pilihan utama. Ada juga yang nak not sepuluh ringgit. Tahun ni saya akan pergi mengerjakan Umrah, beberapa hari sebelum Syawal, jadi keperluan taklah berapa mendadak. Balik nanti pun boleh diusahakan," kata Siti Ismail tentang persediaan wang rayanya tahun ini.

Bagi Hazirah Abdul, duit raya merupakan satu kemestian.

"Walaupun saya yang sulung dan sudah berusia remaja, masih menerima wang raya daripada mak ayah. Adik-adik lebih beruntung kerana saudara mara masih memberi kepada mereka"

Ianya memang menyeronokkan, tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain