Transformasi Ekonomi Luar Bandar Menerusi FELDA

Diterbitkan: Isnin, 16 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SLIM RIVER: Semasa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) diwujudkan hasil idea bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, ramai yang ragu sejauh mana rancangan tanah FELDA ini, mampu merubah kehidupan peneroka dan generasi pewarisnya.

Hari ini masyarakat peneroka FELDA di 317 rancangan tanah berjumlah kira-kira 4.8 juta orang dan mewakili 15.6 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Mereka bukan sahaja telah membaiki kedudukan sosio ekonomi mereka, malah turut merubah landskap geografi negara.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Slim (Perak) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib ialah seorang daripada mereka yang berbangga dengan warisan FELDA ini.

Beliau ialah anak peneroka FELDA Sungai Behrang di Slim River dan memang berbangga dengan apa yang disumbangkan FELDA selama ini terutama untuk mengeluarkan masyarakat luar bandar daripada kepompong kemiskinan.

"Kebanyakan peneroka FELDA datangnya dari perkampungan terpencil di luar bandar yang sebelum ini hidup serba miskin dan melarat. Tidak pernah mereka bayangkan suatu hari nanti pendapatan mereka boleh menjangkau sehingga RM4,000 sebulan, jauh lebih baik berbanding pendapatan anak-anak mereka yang keluar dari pusat pengajian tinggi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bapa Mohd Khusairi menyertai FELDA Sungai Behrang pada 1968 dan pada masa itu taraf hidup tidak banyak berubah namun ada kerja dan matlamat yang perlu dicapai.

Selepas tujuh tahun apabila getah mengeluarkan hasil, kehidupan warga peneroka yang hanya bergantung kepada barang makanan yang didapatkan dari kedai syarikat, mula meningkat.

KEHIDUPAN BERUBAH

"Sebelum menjadi peneroka, mereka tinggal di kampung tradisi yang ada sebahagian mereka hanya menumpang di rumah saudara-mara dan ada juga yang tiada rumah sendiri. Apabila menyertai FELDA mereka diberikan tanah suku ekar dan sebuah rumah satu bilik dengan tandas di luar rumah.

"Tapi kini perubahan fizikal rumah warga peneroka dapat kita saksikan kerana hasil ladang dan pentadbiran cekap FELDA. Hari ini kebanyakan rumah peneroka lebih besar dan lebih selesa. Ada sesetengah peneroka juga mampu membina rumah banglo hasil berjimat cermat," katanya.

Mohd Khusairi, graduan Psikologi dan Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1986 berkata bergantung kepada harga komoditi, pendapatan peneroka kini antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan.

Dalam aspek pendidikan, beliau berkata FELDA menyediakan skim tuisyen percuma kepada anak-anak peneroka di sekolah rendah dan menengah serta memberi RM500 kepada mereka yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan RM1,000 bagi Ijazah Sarjana Muda di mana-mana institut pengajian tinggi.

Generasi baru FELDA juga didedahkan kepada pelbagai kursus kemahiran yang berkaitan termasuk penyelenggaraan pesawat.

TINGKAT SOSIO-EKONOMI

Transformasi sosio ekonomi ini jelas dilihat di semua rancangan tanah FELDA.

"Di peringkat awal kehidupan mereka, mungkin ada di antara generasi FELDA yang malu hendak mengaku sebagai anak peneroka FELDA, tetapi hari ini rata-rata mereka berbangga.

"Anak generasi FELDA hari ini dapat melihat sendiri bagaimana perkembangan taraf sosio-ekonomi ibu bapa dan keluarga mereka. Daripada tinggal di pondok buruk di perkampungan tradisi, berpindah ke rumah FELDA di rancangan tanah dan hari ini rumah berkenaan melalui proses baik pulih atau dibina baru menjadi banglo mewah," katanya.

Kini terdapat 10 buah rancangan tanah FELDA berhampiran -- tiga di Trolak, lima di Besout, masing-masing satu di FELDA Sungai Behrang dan FELDA Sungai Klah dengan bilangan keseluruhan penduduk kira-kira 40,000 orang.

DULU DAN SEKARANG

Abdul Razak Din, 46, anak peneroka dari FELDA Lasah di Sungai Siput mengakui akan keperitan hidup yang dilalui arwah bapanya ketika mula-mula memasuki rancangan tanah itu pada sekitar 70-an.

"Dulu pendapatan ayah sebulan hanya RM69.60 sebelum tiba hasil ladang getah bagi menyara enam anak yang bersekolah. Sekarang masyarakat peneroka boleh meraih pendapatan minimum RM3,000 sebulan dan ada sesetangah kawasan FELDA yang tanahnya agak subur, peneroka boleh memperoleh pendapatan hampir RM8,000 bagi hasil 4.4 hektar tanah," katanya.

Abdul Razak yang kini memegang jawatan Editor akhbar Utusan Malaysia di ibu negara berkata warga peneroka kini rata-rata memiliki motosikal dan kereta sendiri malah ada yang pergi menoreh getah membawa kereta, bukan lagi basikal seperti satu ketika dulu.

Menyentuh aspek pendidikan, Abdul Razak yang memiliki Ijazah Sarjana Komunikasi (Kewartawanan Ekonomi) dari Universiti Putra Malaysia berkata banyak saluran dan bantuan yang disediakan untuk generasi muda FELDA melanjutkan pengajian mereka.

"Anak peneroka yang mendapat 4A dihantar belajar di sekolah terbaik di seluruh negara. Bagi yang tidak cemerlang pula FELDA tetap menyediakan bantuan pendidikan dan menyediakan saluran supaya mereka meneruskan pelajaran. Malah saya turut menerima biasiswa FELDA semasa belajar di universiti," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) Dr Kamari Kasan pula berkata kehidupan warga peneroka dan generasi baru FELDA kini jauh berbeza dan di luar jangkaan sebenarnya.

"Asalnya hanya mahu membasmi kemiskinan dan tidak pernah terbayang rumah besar yang begitu selesa dan memiliki kereta sendiri," katanya.

PROSES TRANSFORMASI

Dr Kamari, pemegang PhD dari United Kingdom, ialah anak peneroka FELDA Cahaya Baru, Masai Johor yang turut mengharungi onak dan duri hidup bersama-sama FELDA apabila arwah bapanya menyertai FELDA pada tahun 1969.

Beliau berkata kehidupan warga peneroka ketika itu bertukar daripada di bawah paras kemiskinan kepada golongan pertengahan dan kini merupakan era untuk FELDA melahirkan generasi baru bergelar jutawan.

"Anak-anak peneroka yang berjaya perlu dikumpulkan dan digerakkan untuk melahirkan lebih banyak jutawan.

"Generasi baru ini tidak perlu hanya menjadi golongan peneroka di rancangan tanah sendiri, mereka perlu keluar meneroka sumber dan sektor perniagaan dan perladangan baru di luar negara," katanya.

Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) Tan Sri Rozali Ismail yang juga merupakan generasi baru FELDA Gedangsa, Hulu Selangor menyifatkan FELDA berjaya membantu anak peneroka mencapai pendidikan pada tahap tertinggi namun, ia tidak seharusnya terhenti di situ.

"Dalam pendidikan kita telah berjaya tetapi kita mahu berjaya lagi. Kita mahu mewujudkan juga sebuah intitut pendidikan bertaraf universiti khas untuk anak-anak warga FELDA. Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kita sudah ada. Oleh itu kita perlu satu tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu taklimat di FELDA Gunung Besout 1 di Sungkai baru-baru ini.

Rozali dilihat sebagai generasi baru FELDA yang paling berjaya dan beliau menyedari kepentingan tranformasi berterusan untuk masyarakat peneroka. GWGF sedang berusaha merangka cadangan ke arah itu.

"Pelan tranformasi ini ialah bagaimana kita mahu melihat FELDA pada tahun 2020, seiring dengan transformasi ekonomi negara dan bagi 20 hingga 30 tahun akan datang," katanya.

Pewaris masyarakat peneroka perlu pastikan usaha gigih tanpa mengenal kepayahan dan dugaan generasi awal seperti yang dipaparkan di dalam filem 'Bilut' tidak sia-sia!. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan