Tak Kenal Maka Tak Cinta

Diterbitkan: Rabu, 4 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: “Orang kata kalau banyak kali orang sebut, ia akan menjadi satu doa,” kata Indah bila ditanya kenapa beliau memilih nama itu.

Han Xiao, seperti pelajar Fakulti Beijing Foreign Studies di Universiti Beijing memang digalakkan memilih satu nama Melayu dan beliau memilih nama "Indah".

Beliau tertarik dengan Bahasa Melayu pun ialah kerana keindahan bahasa ini. "Kali pertama dengar Bahasa Melayu memang saya tertarik, irama dan lenggok bahasanya sangat lembut, manis dan sedap didengar,” katanya.

Dan daripada keindahan bahasa ini Indah terus terpikat, bukan sahaja untuk mendalami Bahasa Melayu selama empat tahun di Beijing, dan memperoleh Sarjana Muda dalam bidang Kesusasteraan Melayu, tetapi terus mendalami ilmu bahasa dan sosio budaya Melayu di peringkat Sarjana.

Tahun lepas beliau menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Malaya dan menerima ijazahnya pada majlis konvokesyen semalam (Selasa). Buat masa ini beliau sedang meneruskan pengajiaan di peringkat PhD. Indah bermula dengan mempelajari huruf asas dalam Bahasa Melayu dan bertuah kerana beliau tiada masalah menyebut “rrr” , berbanding rakan Cinanya seramai 20 orang dari seluruh China.

Tenaga pengajar mereka juga ialah warga China dengan dibantu beberapa pensyarah asing dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kini jabatan itu mempunyai kerusi Bahasa Melayu yang dipegang Prof Dr Awang Sariyan.

JATUH CINTA

“Pepatah Melayu menyatakan 'tak kenal maka tak cinta' dan saya sudah lama jatuh cinta dengan Bahasa Melayu, mendalami sosio budaya dan dunia Melayu dan mahu menjadi pensyarah Bahasa Melayu di Universiti Beijing,” kata anak tunggal berusia 26 tahun ini.

Beliau meninggalkan ibu bapa yang memberikan sokongan padu dan galakan kepadanya untuk mendalami bahasa di Malaysia dan masyarakat yang memang asing bagi mereka.

“Pemikiran ibu bapa saya memang terbuka. Mereka tahu anak mereka, dalam mempelajari bahasa asing akan turut mendalami budaya dan agama asing itu. Tetapi mereka tahu saya belajar.

“Secara sedikit demi sedikit saya ajar juga mereka ayat-ayat mudah Bahasa Melayu. Sampai ibu boleh jawab 'Indah tidak ada di rumah” jika ada pensyarah telefon Indah di rumah,” katanya menceritakan mengenai bapanya, seorang pegawai polis berusia 53 tahun dan ibunya, pegawai kebajikan berusia 50 tahun.

Indah juga ada sebab kenapa bertukar daripada mempelajari Bahasa Melayu di peringkat sarjana muda kepada lebih fokus terhadap bidang sosio budaya Melayu dan kekeluargaan di peringkat sarjana dan PhD.

“Saya tertarik ketika mengikuti kelas di Akademi Pengajian Melayu terhadap isu keluarga Melayu apabila membaca beberapa rencana Prof Datuk Dr Yaacob Harun yang banyak menyentuh kajiannya terhadap masyarakat Melayu. Beliau pakar tentang bidang kekeluargaan Melayu, tentang perkahwinan orang Melayu, keadaan Melayu di bandar dan masalah sosio budaya Melayu,” katanya.

KAJIAN TESIS

“Dulu sebelum sampai ke sini saya mengenali orang Melayu melalui buku teks. Mereka sopan santun dan beradab dan berpegang pada agama dan menjaga betul adab Melayu. Bila sampai di sini memang kebanyakan macam itu tetapi yang menyedihkan ialah golongan remaja dan saya rasa kajian tentang ini sangat diperlukan," katanya.

Kajian tesis Sarjana beliau mendapati keluarga Melayu berpendapatan rendah di bandar mengalami banyak perubahan nilai sosial dari segala aspek akibat dilanda arus perbandaran dan pemodenan, terutama aspek fungsi keluarga dan peranan anggota keluarga.

Perubahan nilai sosial keluarga di bandar ini mengakibatkan anak-anak remaja daripada keluarga berpendapatan rendah menjadi mangsa pelbagai gejala sosial yang negatif, katanya.

“Kajian ini menunjukkan bahawa perubahan nilai sosial keluarga Melayu bandar dalam era globalisasi ini telah mempengaruhi perkembangan anak-anak remaja dan menyumbang kepada peningkatan masalah sosial golongan ini. Ini termasuk melepak, merokok, menjadi mat rempit, mak nyah dan pengkid dan mengamalkan pergaulan bebas,” jelas Indah.

Bagi Indah, perubahan peranan ibu daripada memberi fokus sepenuhnya terhadap tumbesaran anak-anak kepada sibuk dengan kerjaya di luar rumah demi memenuhi tuntutan ekonomi, menyebabkan perasaan dan perkembangan anak-anak kurang mendapat perhatian.

Kajian tesis yang menarik ini, turut mendapat perhatian Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang kebetulan menerima kunjungan hormat Prof Dr Awang Sariyan dan Prof Wu Zong Yu yang berpengalaman 40 tahun mengajar warga China, Bahasa Melayu.

Indah yang turut serta dalam pertemuan itu, telah ditanya Dr Rais mengenai tesis beliau itu, dan berminat untuk melihat salinannya. Dr Rais mencadangkan kajian itu dibukukan.

TIDAK KECEWA

Indah tidak menganggap apa yang ditemui sepanjang kajian ini, menidakkan kekagumannya terhadap bahasa dan budaya Melayu.

“Apa yang berlaku terhadap golongan remaja Melayu dalam proses perbandaran ini turut berlaku di China akibat pengaruh dunia Barat dalam negara membangun sehinggakan mereka terikut-ikut dengan fenomena serupa, cara berpakaian, makanan, percakapan dan paling teruk tingkah laku yang menyebabkan mereka bersekedudukan dan melakukan seks sebelum nikah,” katanya.

Kalau di Barat remaja mengandung boleh diterima, di Malaysia dengan agama Islam yang melarang semua ini atau di China, yang masih sebuah negara Timur, keterlanjuran ini adalah memalukan dan disebabkan itu ada yang mengambil jalan singkat untuk membuang bayi, katanya.

Indah tidak kecewa dengan penemuan tesisnya yang berbeza daripada hasil pembacaannya yang pelbagai mengenai bahasa dan masyarakat Melayu terutama dalam tahun 50-an dan 60-an, tetapi sedih dengan perubahaan ke arah yang negatif ini.

“Saya orang Timur, dan sebagai orang Timur, saya tiada niat atau prasangka buruk semasa menjalankan kajian ini. Malaysia dan China bagi saya sama saja dan diharapkan kajian ini dapat membantu pihak yang mahu membaiki keadaan dan menolong mengatasi masalah sosio remaja ini.

"Saya ramai kawan Melayu dan sayang bangsa ini. Saya mahu menolong melalui cara ini,” katanya.

TIADA PRASANGKA

Indah juga menerima hakikat bahawa dalam mendalami kajiannya mengenai orang dan budaya Melayu, beliau tidak boleh mengasingkan budaya dan agama Islam sebagai cara hidup.

“Penyelia saya, Prof Wan Abdul Kadir Wan Yusuf berpesan, kalau Indah hendak kaji budaya orang Melayu, Indah mesti tahu tentang asal usul agama Islam, mesti ada ilmu pengetahuan mengenai agama Islam, sebab-sebab orang Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan.

“Bagi saya, sebagai pelajar Bahasa Melayu, saya mesti faham satu perkara, iaitu akujanji untuk mengkaji budaya orang lain dan menghormati agama serta cara hidup mereka, kerana kalau kita berprasangka, maka kajian yang dijalankan tidak akan menjadi objektif,” katanya optimis.

Dalam pada itu, selama di sini, Indah tidak pula meninggalkan langsung bahasa Mandarin kerana beliau kini menjadi tenaga pengajar Bahasa Mandarin bagi program kerjasama Kongzi Institute for the Teaching of Chinese Language China dengan Universiti Malaya.

Program yang bermula November tahun lepas itu memberi penekanan kepada Mandarin sebagai bahasa percakapan dengan modul pertama pembelajaran selama 40 jam dalam tempoh lapan minggu. Ia terbuka kepada orang ramai yang berminat mempelajari bahasa Mandarin. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 21 Julai 2017 3:00 PM

Nadzmi Adhwa Bolot Semua 'Job'

Jumaat, 21 Julai 2017 11:09 AM

Lagak Lelaki Ini Seperti…

Jumaat, 21 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: iR Radzi - Cinta Terakhir

Khamis, 20 Julai 2017 3:30 PM

Luahan Ezlynn Beraya Tanpa Zuriat

Khamis, 20 Julai 2017 12:30 PM

Diana Muntah, Mabuk Teruk - Zamarul

Rabu, 19 Julai 2017 5:00 PM

Sauk Jangan Tak Sauk...

Rabu, 19 Julai 2017 3:27 PM

Beraksi 'Ghairah'? OK Je Kalau...

Rabu, 19 Julai 2017 1:20 PM

Ulat Buku Naik Superbike

Kolumnis

iklan

Iklan