'Lengkahkan' Projek Air Di Selangor Akan Meningkatkan Kos?

Diterbitkan: Jumaat, 30 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Adakah Selangor akan menghadapi catuan air pada tahun 2014 jika negeri itu masih melengahkan projek penyaluran air dari Pahang? Kerajaan negeri Selangor menafikan kemungkinan catuan ini berlaku dan mengatakan negeri itu mempunyai cukup bekalan air sehingga tahun 2019.

Bagaimana kerajaan Selangor boleh memberi kesimpulan sedemikian menimbulkan tandatanya.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) S. Piarapakaran, walaupun perkiraan secara 'mendatar' dibuat, ia adalah nyata kapasiti air di Selangor kini pun tidak mencukupi.

WECAM tidak pasti atas dasar apakah yang mereka ambil kira dalam mencapai kesimpulan itu. Kerajaan Selangor perlu menyatakan kaedah perkiraan mereka kepada umum supaya analisis dapat dibuat.

Kata beliau ini penting kerana Kuala Lumpur dan Putrajaya bergantung sepenuhnya pada Selangor untuk bekalan air. Keputusan melengahkan projek itu mungkin mendatangkan mudarat kepada semua pihak.

PERANGKAAN SAMAR Menurut Piarapakaran, angka yang digunakan kerajaan Selangor bagi perkiraan mereka tentang simpanan air di negeri itu juga agak 'samar'.

Setelah mengkaji kaedah jangkaan keperluan air oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam Kajian Bekalan Air Negara 20002050, beliau mendapati jangkaan kenaikan keperluan air diasaskan kepada perkiraan kriteria normal.

Malangnya, kajian tidak mengambil kira kesan el-Nino dan la-Nina atau bekalan air mentah. Ini juga bermakna model digunakan tidak merangkumi kemungkinan senario yang terburuk.

Selain itu, pihak berkuasa Selangor juga menganggarkan kenaikan keperluan bekalan air berdasarkan unjuran mereka sendiri, kata beliau.

Dalam usahanya mencari gambaran yang lebih tepat, WECAM melakukan unjuran berdasarkan nilai keperluan yang dikeluarkan Syabas baru-baru ini.

Keperluan dari 1 Jun 2010 hingga 11 Julai 2010 ialah 4,086 juta liter sehari (MLD).

Dengan nilai sebagai rujukan, ia membuat anggaran mudah sebagai perbandingan.

Piarapakaran berkata jika pengguna dapat mengehadkan kenaikan penggunaan air kepada hanya satu peratus setahun, unjuran 4,431 MLD kapasiti rawatan hanya boleh bertahan sehingga tahun 2018 seperti yang diperkatakan kerajaan Selangor.

Tetapi kenaikan keperluan adalah lebih tinggi. Satu perbandingan mudah bagi tahun 2007 dan 2008 menunjukkan kenaikan keperluan ialah 3.48 peratus.

Walaupun peningkatan dalam keperluan hanya dua peratus bagi satu tahun, kapasiti bekalan sekarang hanya boleh bertahan ehingga tahun 2014.

"Kalaulah kenaikan lebih dari angka itu, maka kita akan menghadapi krisis bekalan air pada tahap yang lebih cepat.

Pentingnya Bekalan Air Mentah

Kata Piarapakaran lagi, keperluan terhadap air yang dirawat bagi pelanggan dan sektor domestik, industri, komersil serta juga institusi semakin meningkat setiap tahun dan ia satu situasi yang memerlukan perhatian segera di Selangor.

Tetapi kapasiti rawatan di loji rawatan air adalah terhad. Maknanya jika tiada bekalan air mentah, maka tiadalah kerja rawatan yang dapat dijalankan.

Jadi isu utama yang kita hadapi di Selangor adalah kewujudan bekalan air mentah untuk dirawat. Jadi, projek penyaluran bekalan air mentah dari Pahang ke Selangor dilihat sebagai jalan penyelesaian.

Kapasiti rawatan air semasa adalah 4,326 MLD.

Dengan kerja pembaikan serta kemudahan di loji rawatan Lapangan terbang antarabangsa, kapasiti ini boleh ditingkatkan kepada 4,431 MLD pada tahun 2012.

Tetapi ini mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi bekalan yang semakin meningkat pada tahun 2014," kata Piarapakaran lagi.

Perkiraan Tidak Tepat

Piarapakaran juga menyatakan isu di Lembah Klang bukan hanya pada kenaikan penggunaan air tetapi juga pada pertambahan populasi.

Katanya, kajian EPU tidak termasuk kehadiran pekerja asing sebagai kriteria di dalam unjuran populasi sedangkan mereka juga pengguna air.

Kajian EPU tidak menyentuh pertambahan penduduk bukan warganegara yang juga merupakan satu lagi isu.

Di samping itu, Air Bukan Hasil (NRW) dalam kiraan EPU adalah rendah dan perkiraan itu menganggarkan NRW semakin rendah dari tahun 2010.

Menurut Piaparakaran, penstrukturan semula industri air di Selangor menunjukkan NRW tidak akan berkurangan berdasarkan apa yang dirancang.

SPAN perlu mengeluarkan statistik tentang ini. Jika perbezaannya besar, kita akan dibendung masalah lain dan ini akan mempercepat lagi krisis air", beliau memberi amaran.

Kelewatan Akan Tingkatkan Kos

Dalam memberi alasan kenapa negeri itu tidak mahu terburu-buru melaksanakan projek berkenaan, kerajaan Selangor menyatakan langkah sedemikian akan meningkatkan kos projek yang kini sudah bertambah daripada RM2 bilion kepada RM8 bilion.

Saya bukan pakar ekonomi, kata Piarapakaran, tetapi bila bercakap dalam situasi normal pun, melengahkan projek akan mengakibatkan kenaikan kos kerana kos bahan dan juga pembinaan meningkat dengan masa.

Bagi menangkis tuduhan yang tidak tepat, pelaksanaan projek itu perlulah telus dan kaedah perolehan yang betul perlu digunakan.

Ini bermakna kita perlu banyak ketelusan dalam tuntutan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak.

"Jika tidak diperiksa butiran, kebenaran mungkin tidak diketahui. Kalau bekalan air sememangnya tidak mencukupi, maka pihak mana yang perlu menjalankan langkah selanjutnya bagi menangani masalah ini?," katanya.

Katanya WECAM telah berulang kali memberi peringatan bahawa krisis air di Malaysia bukanlah disebabkan cuaca.

Ia (krisis air) adalah disebabkan manusia, kerana kegagalan dalam merancang.

Kata beliau WECAM menggesa supaya dalam merekabentuk loji rawatan air, takungan simpanan perlu dimasukkan di dalam perancangan. Ini sebagai persediaan bila keadaan terdesak dan kritikal seperti pada musim kemarau kerana ketika itu bekalan air mentah memang kurang.

"Tidak boleh ada defisit dalam kapasiti. Kita sepatutnya mempunyai bekalan simpanan jika mahu mengharungi krisis air, kata beliau.

Pengerusi Eksekutif Syabas Tan Sri Rozali Ismail dilaporkan sebagai berkata bahawa pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak boleh dilengahkan lagi.

Beliau berkata pada masa ini bekalan air di Selangor masih tidak stabil dan boleh berkurangan sekiranya berlaku pencemaran sungai atau ketiadaan hujan yang berterusan.

"Kita tidak boleh menunggu sehingga tahun 2014 untuk bertindak kerana Syabas telah menghantar laporan kajian dan penyelidikan kepada kerajaan Selangor dan persekutuan setiap tahun tentang perkara ini," katanya pada majlis pelancaran Kempen Bekalan Air Bersih Untuk Semua baru-baru ini.

Rozali turut mencadangkan pembaikan dalam belakan air di Selangor untuk mengelak kemungkinan krisis air berulang.

"Dalam isu air ini, yang paling penting ialah kita ketepikan isu politik atau kepentingan peribadi kerana paling diutamakan ialah untuk masalah diselesaikan segera dan kami berharap kerajaan Selangor akan menimbangkan untuk menyelesaikan isu air secepat mungkin," katanya.

Kerja di bawah projek pemindahan air itu bermula pada April. Sebaik siap pada tahun 2014, projek itu akan menyalurkan 1,890 juta liter air mentah sehari dari Sungai Semantan di Pahang ke Loji Rawatan di Hulu Langat, Selangor.

Air mentah akan disalurkan melalui terowong sepanjang 44.6 km yang mempunyai garis pusat 5.2 m dengan menggunakan arus graviti ke loji rawatan itu.

Terowong itu, dikorek merentasi Banjaran Titiwangsa, akan menjadi terowong saluran air yang paling panjang dan terbesar di Asia Tenggara dan ke-enam terbesar di dunia.

Penyaluran air ke Selangor pada 10 sen setiap satu meter padu dijangka akan mendatangkan pendapatan sebanyak RM70 juta setahun bagi kerajaan negeri Pahang.

Kadar ini akan dikaji semula setiap lima tahun oleh kedua-dua negeri. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan