suria

Gula: Sesal Kemudian Tidak Berguna

KUALA LUMPUR: Zairul (bukan nama sebenar) berusia lewat 20-an. Sukan kegemarannya ialah bola sepak. Jika dulu dia tangkas berlari di padang bola, kini dia hanya boleh berpuas hati dengan menjadi penonton.

Tubuh badannya yang dahulu sasa kian hari kian menjadi lemah. Semuanya angkara penyakit yang sedang menular di dalam dirinya. Dalam usia yang muda, Zairul menghidap diabetes atau kencing manis.

Namun anak muda ini masih bernasib baik kerana ginjalnya belum rosak.

Bagaimanapun, dia kini perlu mengambil preskripsi ubat di samping mengawal ketat pemakanannya di samping melakukan senaman.

Apabila doktor mengesahkan penyakitnya, Zairul hanya terbayangkan nasihat dan teguran ibunya ketika dia meneguk minuman berkabonat yang menjadi minuman hariannya.

Dia terkedu apabila diberitahu amalan mengambil minuman berkabonat itu mungkin punca dia kini menghidapi diabetes.

Apa tidaknya, setiap botol minuman berkabonat dianggarkan mengandungi antara 11 hingga 12 sudu teh gula!

Zairul sepatutnya lebih berhati-hati dalam pengambilan gula kerana ayahnya meninggal dunia kerana diabetes.

FAKTOR KETURUNAN

Diabetes ternyata berkait rapat dengan faktor keturunan.

Seseorang yang mempunyai 'genes' untuk diabetes, pengambilan gula, pertambahan berat badan serta amalan gaya hidup yang tidak cergas akan mendapati dirinya menghidap diabetes pada usia muda.

Demikian menurut Prof Datuk Dr Ikram Shah Ismail, Presiden Persatuan Diabetes Malaysia (PDM).

Beliau turut memberitahu bahawa perkembangan semasa menunjukkan remaja belasan tahun menghidapi diabetes orang dewasa iaitu Jenis 2 (disebabkan badan tidak menggunakan insulin secara berkesan).

"Kita juga mempunyai keadaan di mana tidak ada sesiapa di dalam keluarga yang menghidapi diabetes tetapi ini tidak bermakna tidak ada genes diabetes di dalam keluarga itu.

"Kemungkinannya generasi terdahulu mempunyai amalan gaya hidup yang lebih sihat jadi diabetes tidak muncul semasa kehidupan mereka tetapi mungkin terjadi jika mereka hidup lebih lama.

"Dalam generasi kita, diabetes muncul lebih awal kerana gaya hidup kita yang tidak sihat," jelas beliau.

SEMAKIN BURUK

Bercakap seterusnya mengenai diabetes, Dr Ikram yang juga Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya memberitahu bahawa keadaan penyakit itu di Malaysia semakin buruk.

Katanya Kementerian Kesihatan yang menjalankan tinjauan mortaliti dan morbiditi setiap 10 tahun mendapati kenaikan daripada 6.3 peratus pada 1986 kepada 8.2 peratus pada 1996.

"Pada masa itu, kami menjangkakan kadar itu akan melebihi 10 peratus menjelang 2020 apabila kita mencapai status negara maju.

"Malang sekali, apabila tinjauan yang dibuat pada 2006 menunjukkan kita sudah mencapai kadar 14.9 peratus.

"Kalau mengambil kira diabetes, kita telah melampaui sasaran negara maju 15 tahun lebih awal," kata Dr Ikram.

Perkara yang paling membimbangkan, kata beliau, sekitar 5.4 peratus daripada penghidap diabetes tidak tahu mereka mempunyai penyakit itu.

Tegasnya Bukan sahaja kadar mereka yang menghidap diabetes semakin meningkat dengan pantasnya, tahap kawalan penyakit itu juga lemah.

"Lebih daripada 70 peratus pesakit diabetes mempunyai kawalan penyakit yang lemah yang akan menjurus kepada komplikasi diabetes termasuk penyakit jantung dan angin ahmar," katanya.

KESAN GULA

Dr Ikram yang juga Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya menasihatkan rakyat negara ini supaya berhati-hati terhadap pengambilan gula yang berlebihan.

Menurutnya, sesetengah pihak menyamakan gula sebagai "racun" kerana kesannya terhadap tubuh badan manusia.

"Banyak kajian yang dijalankan sejak 20 tahun lalu secara konklusifnya menunjukkan kerosakan kepada tubuh badan kita akibat diabetes sebagai kesan langsung gula di dalam darah.

"Ini termasuk kerosakan kepada saluran darah di dalam mata, ginjal, jantung, otak dan sebagainya," jelas beliau.

Dr Ikram menjelaskan bahawa kajian turut mendapati sekiranya paras gula darah diturunkan kepada paras biasa, ia boleh mengelakkan berlakunya komplikasi diabetes.

Justeru, katanya, paras gula darah yang tinggi merosakkan tubuh badan manusia dan mengurangkannya akan melindungi tubuh badan.

LAGI BAHAYA

Dalam menjelaskan lagi bahaya pengambilan gula pasir halus, Dr Ikram berkata risikonya lebih tinggi kepada penghidap diabetes.

Mereka yang menghidap diabetes, katanya, tidak mempunyai insulin yang mencukupi dan tidak boleh mengendalikan gula dengan baik.

"Selepas gula pasir halus diambil, paras gula darah akan meningkat tinggi dan ini berlaku amat cepat dan untuk paras gula darah ini turun semula akan mengambil masa yang lama.

"Ketika gula darah berada pada paras yang tinggi, ia merosakkan tubuh badan kita. Maka itulah sebabnya mengapa mereka yang menghidap diabetes juga dinasihatkan supaya menjauhi pengambilan gula pasir halus," kata Dr Ikram.

Rakyat Malaysia sememangnya mengambil gula yang amat berlebihan, demikian kata Presiden PDM ini.

Katanya gula ditambah kepada minuman seperti teh tarik, kopi serta minuman lain di samping di dalam kuih-muih dan kek.

JADI KEBIASAAN

Mengambil gula adalah lebih kepada kebiasaan daripada keperluan.

Ini hakikat yang ingin dikongsi Dr Ikram.

Menurut beliau apa yang berlaku ini juga ada kaitan dengan budaya masyarakat negara ini.

"Kanak-kanak sering dihadiahkan dengan gula-gula apabila mereka berkelakuan baik," katanya.

Sebenarnya, kata Dr Ikram, manusia tidak memerlukan gula di dalam diet atau pemakanan mereka.

Menurut beliau, karbohidrat seperti kanji dan gula kompleks dipecahkan kepada gula mudah (simple sugar) di dalam tubuh badan manusia.

Karbohidrat kompleks seperti nasi, ubi kayu adalah lebih baik kerana ia diserap secara perlahan-lahan dan tidak mencapai paras tinggi berbanding gula pasir halus.

PENTING DIDIKAN

Presiden PDM ini mengakui sukar untuk membendung pengambilan gula dalam kalangan rakyat negara ini memandangkan ia berkait rapat dengan budaya dan kebiasaan.

Pihak kerajaan, katanya, cuba mengawal penghisapan rokok dengan menaikkan cukai ke atas rokok dan sekiranya perkara yang sama dibuat terhadap gula, ia akan mencetuskan kesan politik.

Justeru, Dr Ikram berpendapat orang ramai perlu terus dididik tentang bahaya mengambil gula berlebihan serta makanan berlemak.

"Di sinilah letaknya peranan persatuan bukan kerajaan seperti Persatuan Diabetes Malaysia.

"Persatuan kami mempunyai keahlian yang meluas di seluruh negara dan berada dalam kedudukan yang amat baik untuk menyebarkan pendidikan diabetes ini secara besar-besaran," kata Dr Ikram.

PAKAR PEMAKANAN

Sementara itu, Kementerian Kesihatan baru-baru ini dilaporkan akan menempatkan 300 pakar pemakanan di klinik kesihatan kerajaan.

Ini bertujuan bagi memberi kaunseling kepada 43 peratus rakyat Malaysia yang berdepan dengan masalaah kegemukan dan obesiti.

Buat permulaan 51 orang pakar pemakanan dilaporkan akan ditempatkan di klinik kesihatan terpilih termasuk klinik 1Malaysia pada tahun ini.

Mengapa seseorang itu menjadi gemuk atau obes? Ada pihak yang mendakwa ia kerana makan berlebihan terutama makanan yang mengandungi kalori, lemak dan gula.

Semua ini membawa mudarat penyakit berisiko tinggi seperti serangan jantung, diabetes, strok dan darah tinggi.

Justeru, fikir-fikirkanlah. Apakah anda mahu kekal 'hidup untuk makan' atau 'makan untuk hidup'! Pilihan sebenarnya terletak di tangan anda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain