suria

Pelarian: Kehidupan Penuh Ketidaktentuan

KUALA LUMPUR: Berada jauh di negara asing dan berdepan dengan masa depan yang tidak menentu, pelarian di Malaysia terpaksa bergelut dengan pelbagai cabaran untuk kelangsungan hidup.

"Mereka amat rajin, buat pelbagai jenis kerja dan mengambil apa sahaja peluang kerja yang datang kepada mereka. Ini menjadikan mereka calon terbaik untuk program penempatan semula," Alan Vernon, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bukit Petaling, di sini baru-baru ini.

"Idea yang baik untuk membenarkan mereka bekerja secara sah. Ini menjimatkan wang memandangkan mereka sudah ada di negara ini. Pelarian mahu memberi sumbangan kepada negara ini dan membantu masyarakat di sini kerana mereka mempunyai tempat untuk tinggal.

"Bagaimanapun, mereka tidak mendapat peluang itu kerana mereka tidak boleh bekerja secara sah dan buat masa ini mereka tidak boleh mendapat permit kerja," katanya mengulas sesetengah cadangan supaya membenarkan pelarian di Malaysia bekerja.

PELUANG EKONOMI

Dasar yang lebih baik, jelas Vernon, ialah dengan memindahkan pelarian di negara ini ke tempat lain supaya tidak bertumpu di satu-satu tempat sahaja.

"Sebahagian besar pelarian berada di Kuala Lumpur. Kami mahu sekali memindahkan mereka dan cara terbaik ialah peluang bekerja secara sah. Mereka boleh bekerja di sektor perladangan, pengilangan dan pembinaan.

Menurut beliau, sesetengah pelarian mempunyai kemahiran yang amat baik serta jitu, dan begitu berguna sekali untuk majikan Malaysia.

Kawalan serta peraturan yang lebih baik terhadap keadaan pelarian, katanya terutama sekali dalam isu penggajian, akan mengelakkan berlakunya eksploitasi.

"Kita perlu bermula hari ini. Kita lihat sama ada kita boleh mencari jalan untuk menjadikan pelarian lebih berdikari dari segi pekerjaan supaya mereka tidak menjadi beban di mana ini akan hanya mencetuskan masalah sosial.

"Sekiranya ada pekerjaan mereka tidak akan terlibat dalam kegiatan haram. Pelarian telah menjejaskan Malaysia di masa lampau dan ia masih berlaku sehingga ke hari ini. Jumlah pelarian mungkin bertambah dan berkurangan tetapi lebih elok jika ada dasar dan sistem untuk menangani isu ini secara yang boleh dijangkakan dan menguruskannya dengan lebih teratur," kata Vernon.

ANAK-ANAK DIUTAMAKAN

Terdapat kira-kira 19,000 pelarian kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang berdaftar dengan UNHCR.

Seramai 10,600 daripada kanak-kanak itu dalam usia bersekolah. Bagaimanapun dianggarkan kurang daripada separuh kanak-kanak pelarian yang sepatutnya menghadiri sekolah tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan sebarang bentuk pendidikan.

"Kanak-kanak perlu diberi pendidikan. Sekiranya mereka tidak mendapat pendidikan, ini akan merosakkan masa depan mereka dan boleh mencetuskan masalah sosial di kemudian hari.

"Kerajaan Malaysia telah menyatakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membantu untuk menyediakan pendidikan bagi anak-anak pelarian . Ini satu perkara yang baik," kata Vernon.

Bagaimanapun, beliau memberitahu Bernama pihak NGO berkenaan menghadapi kesulitan kewangan serta sumber lain dalam menyediakan pendidikan yang diperlukan bagi anak-anak pelarian.

Oleh yang demikian, katanya komuniti pelarian sendiri mengambil daya usaha untuk mengatur program pendidikan untuk anak-anak mereka.

"Usaha kami lebih terarah untuk anak-anak berusia bagi sekolah rendah.

"Anak-anak yang tidak mendapat peluang pendidikan nescaya akan bergelut dengan masa depan yang lebih sukar dan akan menjadi masalah sosial.

"Jadi kami lebih suka mereka dididik supaya boleh menyumbang kepada komuniti mereka dan apabila mereka pulang ke negara mereka, bolehlah mereka menyumbang kepada masyarakat mereka. Ini juga sumbangan positif Malaysia kepada Myanmar, sebagai contoh," jelas Vernon.

BUAT BANYAK LAGI

UNHCR berharap dapat bekerja lebih rapat lagi dengan kerajaan, NGO serta orang awam untuk memperbaiki kualiti dan peluang pendidikan bagi komuniti pelarian di negara ini.

"Memang ramai yang melakukan banyak perkara dan saya berpendapat dalam keadaan sekarang saya rasa setiap orang akan bersetuju bahawa dalam apa juga keadaan, kanak-kanak tidak harus menjadi mangsa.

"Mereka tidak memilih untuk datang ke Malaysia. Memang benar ibu bapa mereka yang membuat pilihan itu bukan anak-anak mereka, jadi saya kira kita perlu bekerjasama untuk memperbaiki keadaan untuk mereka.

"Dalam hal ini, semua ada peranan, baik kerajaan, NGO, sukarelawan dan juga Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Vernon dengan menambah, pelarian juga mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya.

INISIATIF UNHCR

Dari segi pendidikan untuk anak-anak, UNHCR telah membuat kemajuan dengan menarik lebih ramai kanak-kanak menghadiri sekolah. Daripada kira-kira 2,500 orang pada 2008, angka itu kini meningkat kepada sekitar 4,700.

UNHCR juga bekerja dengan rakan kongsi NGOnya untuk melatih tenaga pendidik dan sehingga kini berjaya melatih lebih 120 orang guru.

Agensi PBB ini juga menyediakan buku dan alat tulis serta bekalan sekolah yang lain di samping mendapatkan sokongan sukarelawan untuk sekolah.

"Semua ini adalah usaha untuk mewujudkan satu bentuk sistem sekolah bagi komuniti pelarian.

"Mereka tidak boleh pergi ke sekolah kerajaan dan kalau pun dibenarkan di mana saya fikir sesetengahnya mungkin mahu pergi, ramai yang lain mungkin tidak kerana masalah bahasa serta isu anak-anak yang sudah tercicir sekian lama," jelas Vernon seraya berkata cabaran yang masih perlu diatasi ialah mencari satu program pendidikan yang sesuai untuk komuniti pelarian yang pelbagai etnik.

SEKOLAH KECIL

Terdapat kira-kira 60 buah sekolah komuniti pelarian yang diusahakan beberapa kumpulan pelarian di samping yang diuruskan UNHCR dan NGO.

Majoriti sekolah ini terletak bertaburan di sekitar Kuala Lumpur di mana terdapat komuniti pelarian.

Pelarian ini, menurut Vernon, enggan berpindah ke tempat lain kerana pelbagai halangan termasuk masalah kewangan dan pengangkutan.

"Sekolah pun bukanlah sekolah dalam erti yang sebenarnya. Sering kali ia hanyalah ruang pangsapuri, tetapi sekurang-kurangnya ada aktiviti pembelajaran.

"Mengenai sukatan pelajaran, kita cuba menggunakan sukatan pelajaran Malaysia tetapi mereka juga diajar pengajian kebudayaan dalam jangkaan mereka akan pulang ke negara asal.

"Pelajar juga belajar bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Subjek lain yang diajar ialah matematik, sains, sejarah dan pengajian sosial," katanya.

BANTU UNTUK MENOLONG DIRI SENDIRI

UNHCR mempunyai pasukan untuk memperkasa komuniti pelarian supaya mereka mempunyai jawatankuasa kepimpinan yang boleh menjaga kebaikan komuniti masing-masing.

"Kita cuba bekerja dengan semua dan cuba menggalakkan mereka sebanyak mungkin tetapi saya perlu realistik dalam hal ini. Ada kumpulan yang lebih baik dari kumpulan yang lain.

"Ada kumpulan yang mudah membentuk kumpulan dan menjaga kepentingan mereka sementara yang lainnya terpaksa berhempas-pulas untuk berbuat demikian. Ada kumpulan yang memberi ruang untuk kaum wanita menyertai kepimpinan, ada yang tidak berapa bersetuju," kata Vernon.

Beliau turut mengulas publisiti negatif mengenai pelarian yang disifatkan jumlahnya sebagai kecil.

"Kumpulan pelarian ini tidak mahu mencari susah kerana mereka tahu keadaan mereka yang serba-serbi payah dan mereka tidak boleh mendapat bantuan kerajaan mereka.

"Mereka juga tahu mereka hanya boleh mengadu kepada UNHCR dan pihak berkuasa Malaysia. Hidup mereka sudahlah susah dan mereka tahu risiko jika terlibat dalam kegiatan yang bukan-bukan.

"Jadi memang tidak ramai pelarian yang membuat kesalahan dan di negara ini ramai kaum pendatang dan ini sudah pasti mengundang banyak masalah sosial," katanya.

TIDAK KEBAL UNDANG-UNDANG

Menurut Vernon UNHCR sentiasa berusaha untuk memastikan pelarian tidak terlibat dalam apa juga kesalahan.

Pekerja pembangunan komuniti UNHCR serta yang lain sering kali keluar untuk bercakap dengan pelarian dan menggalakkan mereka supaya mematuhi undang-undang.

"Pelarian tidak kebal undang-undang. Jika mereka melanggar undang-undang mereka boleh ditangkap dan dibicarakan seperti orang lain.

"Mempunyai kad UNHCR bukan boleh melindungi mereka. Pelarian mesti patuh kepada undang-undang dan perlu sedar kehadiran mereka di negara ini tidak boleh diambil ringan.

"Mereka seakan tetamu di negara ini dan perlu berkelakuan sebagai tetamu. Jangan bertindak yang boleh menyebabkan rakyat Malaysia merasa terancam dan tidak gembira dengan kehadiran mereka," kata Vernon. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bendang Garam Di Pattani

Artikel Lain