Inkontinens Bukan Tanda Penyakit Tua

Diterbitkan: Jumaat, 9 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lee, 41, tidak pernah mengerti kenapa dia begitu 'terasa' perlu membuang air kecil dengan begitu kerap.

Sama ada ketika memandu ke tempat kerja atau ketika bersama keluarga semasa membeli-belah dan bersenam di gimnasium, wanita ini tetap dihantui perasaan perlunya 'melegakan' pundi kencingnya.

"Kadang-kadang rasanya lebih banyak masa digunakan untuk ke tandas dari masa yang diguna untuk bersenam," kata beliau.

Ibu kepada seorang anak, Rohaiza, 29, pula menceritakan pengalaman beliau mengenai masalah yang sama.

"Bila berada di kompleks membeli-belah, datang stres bila terasa nak buang air kecil dan terpaksa menunggu giliran di belakang beberapa orang yang lain (untuk masuk tandas)".

Rohaiza mula perasan perubahan pada dirinya selepas satu tahun melahirkan anak bila beliau mengalami 'rasa ingin buang air kecil' setiap kali bersin atau batuk. Rohaiza mendapati beliau tidak boleh 'tahan' (kencingnya) seperti masa-masa yang lampau.

Ada beberapa kali beliau tidak sempat sampai ke tandas dan berlakulah 'insiden' yang tidak diingini.

"Masalah yang saya alami telah menggugat keyakinan diri saya. Dulu saya gemar bersosial tetapi kini nak keluar makan malam dengan rakan-rakan pun saya khuatir. Apakah akan terjadi bila saya tidak sempat sampai ke tandas dan terbuang air kecil di khalayak ramai"?

Bagi J. Perez, 36, beliau sudah lupa bila kali terakhir beliau dapat tidur lena pada waktu malam.

"Saya akan terjaga dua atau tiga kali dalam satu malam kerana nak buang air kecil. Lepas saya meluru ke tandas di tengah malam, memang sukar bagi saya kembali melelapkan mata. Kerana itu saya akan jadi terlampau penat dan letih pada esoknya," kata beliau.

Lee, Rohaiza dan Perez adalah mereka yang mengalami tanda-tanda pundi kencing terlampau aktif (OAB) atau dikenali juga sebagai inkontinens urinari. Masalah ini dikatakan mengganggu setiap satu daripada enam orang dewasa.

Masalah ini juga kerap diberi diagnosa yang tidak tepat.

Ramai yang mengalami OAB, terutamanya wanita, tidak mahu mendapatkan rawatan walaupun masalah ini mengganggu kehidupan harian mereka. Ini kerana ada yang menganggap bahawa inkontinens adalah sebahagian daripada proses penuaan dan tidak perlu rawatan.

AB BOLEH DIRAWAT

"OAB atau inkontinens urinari bukanlah satu penyakit tua. Ianya adalah satu masalah perubatan dan boleh dirawat", kata Presiden Persatuan Urologi Malaysia Datuk Dr Rohan Malek.

Menurut beliau, ramai wanita yang mengalami masalah ini enggan menjalani pemeriksaan dan tidak mengetahui adanya kaedah yang boleh merawat masalah tersebut.

"Faktor utama yang membuatkan mereka enggan datang untuk pemeriksaan adalah mungkin kerana malu menceritakan tentang masalah itu kepada doktor.

"Ramai juga yang berpendapat ianya adalah sebahagian proses penuaan atau mungkin kesan sampingan selepas melahirkan anak. Mereka rasa tidak perlu berbuat apa-apa dan rasa tidak boleh berbuat apa-apa (bagi merawatnya)", kata Dr Rohan yang merupakan Pakar Urologi Hospital Selayang.

Statistik dari kajian terhadap wanita yang dijalankan di 11 buah negara menunjukkan prevalens OAB adalah 53.1 peratus. Majoritinya adalah mereka yang berumur 29-59 tahun.

Di Malaysia, OAB dialami 11-22 peratus daripada jumlah penduduk. Melahirkan anak adalah risiko utama tetapi OAB juga boleh disebabkan oleh faktor lain.

Menurut Dr Rohan terdapat beberapa kaedah bagi merawat OAB termasuk fisioterapi dan perubatan. Hanya beberapa kes sahaja yang memerlukan pembedahan.

"Rawatan OAB mampu dijalankan dan jarang sekali kita perlu melakukan pembedahan terhadap pesakit OAB," kata Dr Rohan.

JENIS INKONTINENS

Jenis inkontinens yang prevalen adalah dari jenis 'terdesak' dan stres.

Dr Rohan berkata inkontinens stres disebabkan lemah otot pelvik yang disebabkan kelahiran anak dan obesiti.

"Inkontinens stres boleh menyebabkan kebocoran kencing ketika bersin atau batuk. Kadangkala ada juga kes inkontinens terdesak bila mereka tidak boleh tahan kencing sebelum tiba ke tandas," kata beliau.

Rawatan meliputi fisioterapi dan mengenalpasti masalah bersangkutan. Senaman otot pelvik juga boleh membantu.

Pesakit yang gemuk juga boleh mengurangkan berat badan manakala mereka yang menghidapi asma serta batuk perlulah mendapatkan rawatan terlebih dahulu.

Sementara itu, mereka yang mengalami inkontinens terdesak terpaksa berkejar ke tandas beberapa kali dalam satu hari.

"Tanda-tanda OAB adalah buang air kecil lebih dari lapan kali satu hari dan tidak boleh tahan bila tiba masanya," kata Dr Rohan.

"Pesakit juga akan mengalami 'nocturia', iaitu kerap bangun kencing waktu malam."

Ini boleh mengganggu tidur pesakit dan mereka akan rasa amat keletihan pada keesokan hari.

Ada juga pesakit terpaksa pakai lampin dan terpaksa meninggalkan aktiviti fizikal seperti bersukan. Ini akan mengganggu keyakinan diri dan akan membawa kepada kemurungan.

Walaupun ada kes yang boleh dirawat dengan antibiotik, pesakit perlulah berjumpa doktor bagi memastikan tiada masalah lain yang tersembunyi.

"Ada kalanya tanda-tanda yang sama seperti masalah OAB dicetuskan penyakit lain antaranya diabetis, angin ahmar, kanser pundi kencing atau batu karang. Ini boleh dikenalpasti melalui ujian air kencing sebab itulah penting bagi menjalani pemeriksaan serta saringan perubatan."

Rawatan meliputi senaman otot pundi atau ubat anti-kolinergik.

KEMENTERIAN LANCAR KEMPEN OAB

Di Malaysia masalah OAB dan aspek berbangkit masih lagi tidak diketahui ramai, kata Dr Rohan.

"Kempen terakhir yang kami jalankan adalah pada tahun 2001 yang merangkumi dua hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang. Di Malaysia tidak ada statistik yang sebenar tentang OAB jadi agak sukar untuk mengetahui sejauh mana atau setakat mana masalah itu telah menjangkau".

Katanya lagi, ramai wanita lebih gemar berjumpa pakar ginekologi atau doktor umum manakala selebihnya tidak mahu mengakui bahawa ia merupakan satu masalah yang boleh dirawat.

Dalam usaha untuk menyedarkan masalah OAB dan inkontinens urinari bagi wanita, Persatuan Urologi Malaysia bersama Kementerian Kesihatan serta hospital awam yang terpilih menjalankan Kempen Inkontinens Urinari Dalam Wanita di seluruh negara yang bermula pada 26 Jun lepas.

Kempen tersebut yang menawarkan saringan kesihatan percuma bagi wanita juga diadakan di Hospital Umum Sarawak, Kuching pada 3 dan 4 Julai lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan