Adakah Pemandu Takut Dengan Saman Lalu Lintas?

Diterbitkan: Selasa, 29 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemandu yang ingkar terhadap undang-undang lalu lintas sudah tentu biasa dengan perkataan 'saman trafik'.

Kenapa perlu pihak berkuasa mengeluarkan saman itu terhadap mereka yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Jawapannya cukup mudah.

Menurut Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), saman dan denda kesalahan lalu lintas mempunyai peranan sendiri.

"Ia untuk memastikan pemanduan teratur dan berhemah. Satu lagi objektifnya ialah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya".

STATISTIK Pemandu yang melanggar peraturan boleh dikenakan saman atau denda oleh polis, pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan warden trafik pihak berkuasa tempatan.

Tanpa saman terhadap pesalah lalu lintas, sudah tentu angka kemalangan di seluruh negara akan meningkat dan ini boleh dibuktikan melalui statistik.

Menurut polis dan JKJR, terdapat 6,218 kemalangan maut pada tahun 2009, yang paling tinggi dalam masa sembilan tahun dari tahun 2000.

Bagi tahun 2000, terdapat 5,440 kemalangan maut diikuti jumlah l5,230 bagi tahun 2001.

Bagi tahun 2002 pula, jumlah kemalangan ialah 5,378 diikuti dengan 5,634 bagi 2003, 5,674 (2004), 5,604 (2005), 5,711 (2006), 5,672(2007) dan 5,952 (2008).

Bagi mereka yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya, jumlah untuk tahun 2009 merupakan yang paling tinggi iaitu 6,745. Selain tahun 2009, rata-rata angka kematian disebabkan kemalangan jalan raya adalah tinggi dari tahun 2000 hingga 2008.

Bagi tahun 2000, jumlah kematian ialah 6,035 diikuti 5,854 bagi tahun selepasnya. Pada tahun 5,891 (2002), 6,286 (2003), 6,228 (2004), 6,188 (2005), 6,287 (2006), 6,282 (2007) dan 6,527 pada 2008.

Bagi tahun 2009, Johor mencatat jumlah kematian paling tinggi dalam kemalangan iaitu 1,060 diikuti Selangor (976), Perak (829), Kedah (550), Pahang (512), Kelantan (453), Pulau Pinang (395), Negeri Sembilan (377), Terengganu (348), Sabah (345), Sarawak (332), Melaka (248), Kuala Lumpur (230) dan Perlis (90).

SAMAN Menurut aktivis sosial Fatimah Mansur, sesetengah pemandu Malaysia tidak peduli jika mereka dikenakan denda bagi kesalahan jalan raya.

"Kadang kala, pemandu kenderaan tidak hirau jika mereka melanggar had laju dan juga melakukan kesalahan lalu lintas yang lain. Mereka tidak kisah sama ada kena saman atau memandu dengan membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.

"Bagi yang lain pula, apalah RM30 atau lebih untuk bayar saman lalu lintas jika mereka boleh membelanjakan lebih daripada RM200 bila makan di restoran eksklusif," kata beliau.

Menurut Fatimah, sikap pemandu juga merupakan faktor yang penting.

"Sesetengah mereka yang dikenakan saman lalu lintas sanggup tunggu hingga ke hari erakhir untuk menyelesaikan saman mereka walaupun mereka punya masa dan wang untuk menjelaskannya lebih awal," kata beliau.

OPS SIKAP Pihak polis menjalankan sebanyak 15 'Ops Sikap' di antara tahun 2001 dan 2008.

(Ops Sikap ialah operasi keselamatan trafik yang dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia bagi menjamin keselamatan jalan raya di seluruh negara pada musim perayaan seperti Aidilfitri, Deepavali, Hari Krismas dan Tahun Baru Cina).

Dalam Ops Sikap 1 yang dijalankan dari 9 Disember hingga 23 Disember 2001, terdapat 9,014 kemalangan dengan 155 kematian. Dalam setiap Ops Sikap yang selanjutnya angka kematian tidak pernah turun dari tahap 150 kecuali pada Ops Sikap XIV (operasi khas) yang mana kematian cuma 22.

Dalam Ops Sikap II (5 Februari-19 Februari 2002) terdapat 183 kematian.

Dalam operasi Ops Sikap selanjutnya yang dijalankan pada musim perayaan dari hujung 2002 hingga awal Januari 2008 (Ops Sikap III hingga Ops Sikap XV), jumlah kematian dalam kemalangan masing-masing 253, 153, 207, 169, 173, 161, 211, 205, 213, 192, 202, 22 dan 192. KENAPA LEBIH BANYAK KEMALANGAN Menurut polis, insiden kemalangan semasa 'balik kampung' di musim perayaan lebih tinggi.

"Dengan itu, maka tinggilah juga risiko terjadinya kemalangan jalan raya," kata seorang pegawai polis trafik.

Menurut statistik JKJR dan polis, jumlah kemalangan jalan raya paling tinggi di jalan persekutuan dan bandaran.

"Hanya 20 peratus mereka yang mati ialah yang dalam kumpulan 'balik kampung' di musim perayaan. Selebihnya merupakan penduduk tempatan di kawasan masing-masing," katanya.

Kenapa sedemikian?

"Biasanya penduduk setempat seperti di kampung-kampung tidak mengamalkan ciri-ciri keselamatan terutama penunggang dan pembonceng motosikal.

"Anda pasti akan terlihat mereka menaiki motosikal tanpa topi keledar dan anak-anak kecil serta wanita berusia menunggang motosikal. Sudah tentu mereka tidak mempunyai lesen.

"Dulu, jika mereka langgar lampu isyarat merah, mereka tidak akan langgar sesiapa tapi bila kenderaan mula banyak balik kampung, sudah tentu akan terjadi kemalangan jika pemandu masih gagal menghormati undang-undang jalan raya," tambah beliau. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Isnin, 14 Ogos 2017 12:30 PM

“Mira Filzah Lemah Lembut” - Zizan Razak

Kolumnis

iklan

Iklan