suria

Penggiat Makyung Sedia Bereksplorasi

BANYAK elemen kebudayaan dan kesenian masyarakat yang diperturunkan dari generasi ke generasi, kian berubah malah terus pupus oleh perubahan nilai, norma dan cara kehidupan masyarakat.

Tidak terkecuali menerima tamparan itu ialah kesenian Makyung dari Kelantan.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) sedang giat berusaha untuk memelihara warisan budaya ini dengan menggalakkan penyertaan aktif daripada generasi muda.

Selain itu, Ketua Pengarah Datuk Norliza Rofli, menjelas lebih lanjut lagi mengenai usaha untuk memastikan kelangsungan Makyung.

"Kita perlu mencari jalan untuk menjadikan Makyung relevan hari ini dan terus mekar pada hari-hari seterusnya. Kita mahu kesenian tradisi ini hidup kekal dan berterusan dan para penggiatnya boleh 'cari makan' hasil daripada kepakaran mereka dalam kesenian ini", kata Norliza.

Beliau berkata demikian pada Seminar Eksplorasi Makyung 2010 baru-baru ini yang objektifnya untuk mencari pembaharuan dalam persembahan Makyung dalam pelbagai aspek seperti pementasan, skrip, koreografi, disiplin pemain Makyung, teknikal, bahasa dan tempoh masa persembahan.

SURVIVAL PEMAIN MAKYUNG

Persoalannya, bolehkah mereka mengubah dan berubah jika ingin terus kekal?

Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik UiTM, Prof. Dr Hatta Azad Khan sewaktu membincangkan kertas kerjanya bertajuk 'Eksplorasi dan Lestari Seni Makyung' berpendapat sungguhpun permainan seni tradisi seperti wayang kulit dan Makyung masih digemari di Kelantan, realitinya para seniman teater tradisional ini sentiasa menghadapi masalah kewangan.

"Mereka ada keluarga yang hendak disara. Dengan pendapatan yang tidak menentu, mereka tidak boleh 'survive' dengan hanya semata-mata menjadi seniman rakyat," tambahnya.

Menurut Prof Hatta, para penuntut universiti yang menjalankan kajian mengenai seni ini berhadapan dengan keluh kesah yang memilukan, yang antaranya masyarakat tidak berminat, para penggiat yang sudah lanjut usia dan tiada kumpulan pelapis.

Paling utama ialah tiada sebarang inovasi atau idea kreativiti baru dalam struktur persembahan, tiada sebarang pembaharuan dari aspek penggunaan teknologi bunyi dan pencahayaan, tiada kumpulan pengurusan yang memahami kaedah perancangan, dan akhir sekali persembahan yang dibuat adalah untuk tontonan golongan penonton yang sama.

"Atau adakah kerana seni yang mereka amalkan itu rendah nilainya dan masyarakat moden hari ini merasa 'malu' menjadi sebahagian daripada penontonnya?

"Transformasi tidak bermakna berubah secara total. Format dan konvensinya dikekalkan dengan gaya dan teknik penyampaian yang ditambahbaik. Dan boleh mencontohi Jepun dengan pembinaan sebuah panggung nasional khusus untuk Makyung," jelas Prof Hatta.

Kurang bersetuju dengan pendapat yang menyalahkan bentuk hiburan lain apabila teater tradisional tidak mendapat sambutan, Prof Hatta berpendapat dalam dunia moden hari ini, apa sahaja yang memerlukan kehadiran penonton atau pengguna yang membeli atau membayar, itu adalah produk yang memerlukan strategi pemasaran. Lebih tepat lagi produk tersebut memerlukan iklan dan promosi serta suntikan dana sama ada dari pihak kerajaan mahupun NGO.

"Kuala Lumpur telah lama diwar-warkan sebagai kota budaya. Sudah sampai waktunya ia cuba menandingi Jepun (Tokyo) dan Korea (Seoul). Jabatan juga harus memainkan peranan menasihati kementerian dan agensi-agensi berkaitan bidang seni seperti Istana Budaya dan Aswara agar memberikan tumpuan memartabatkan kesenian tinggi dan bukan budaya popular," sarannya kemudian.

CUBAAN EKSPLORASI

Bagi yang belum mengenali Makyung, di dalam pementasannya, setiap dialog pemain watak merangkumi cerita, perwatakan, latar tempat dan latar masa. Jika tumpuan penonton hilang seketika, maka hilanglah penghayatan cerita yang sedang dipersembahkan. Malah bahasa yang digunakan mungkin kurang difahami oleh penonton yang tidak menguasai dialek Kelantan.

Tambahan pula, persembahan asal Makyung tidak menggunakan set atau 'scenery' tetapi menggunakan prop seperti rotan berai yang dipegang pakyung dan parang yang dipegang oleh peran.

Kaedah eksplorasi yang dicadangkan oleh pembentang Zulkifli Ab. Rashid atau Zulrashid ialah dengan menambahkan peranan sinografi di dalam persembahan Makyung.

Beliau yang pernah menggalas tugas-tugas utama di dalam persembahan di Istana Budaya seperti Pengarah Artistik, Pereka Cahaya dan Pengurus Pentas berpendapat dengan menggunakan teknik-teknik sinografi yang berkesan seperti rekaan set, props, cahaya, audio, multimedia dan kesan-kesan khas yang lain, dapat memberi kesan yang lebih mendalam malah membantu penonton yang kurang menguasai dialek Kelantan memahami cerita yang disampaikan.

PENANDA ARAS

Mungkin ada yang tidak yakin bahawa Makyung boleh dipentaskan dalam rupa yang berbeza. Namun, percubaan yang dilakukan oleh The Actors Studio di bawah sokongan serta kerjasama JKKN menerbitkan Makyung Titis Sakti (MTS) pada tahun lepas boleh dijadikan penanda aras yang baik untuk masa depan Makyung.

MTS adalah sebuah pementasan Makyung dengan menggunakan sebuah naskhah baru karya bersama Norzizi Zulkifli dan Nan Megat yang berinspirasikan dari naskhah A Midsummer's Night's Dream (MSND) oleh William Shakespeare.

Selain dibarisi pelakon muda berbakat besar, ia turut disokong oleh tenaga produksi kreatif sebagai pereka set, pengarah muzik, koreografer, pereka tatacahaya dan pereka kostum. Hasilnya, MTS 'full house' selama lima malam pementasannya dan ditonton oleh khalayak berbilang bangsa.

Bagaimana ia boleh berjaya? Menurut Norzizi, pengadaptasian naskhah Shakespeare kepada MTS dilakukan kerana merasakan banyak elemen di dalam skripnya yang mempunyai persamaan dengan watak-watak Makyung.

"Cerita Makyung banyak berkisar tentang cerita-cerita raja. Ditambah pula dengan watak supernatural seperti dewa-dewa dan cerita Makyung yang lazimnya mempunyai unsur-unsur magis. Jadi, sebagai pengarah, saya kira naskhah ini sesuai dipersembahkan dalam bentuk Makyung," jelasnya.

Menurut Norzizi, proses adaptasi MSND kepada MTS membolehkan watak-watak dalam karya Shakespeare muncul sebagai watak-watak seperti yang terdapat dalam persembahan Makyung iaitu watak pemerintah sebagai Pakyung, heronya sebagai Pakyung Muda, permaisuri sebagai Makyung, heroinnya sebagai Puteri Makyung.

Manakala orang suruhan raja atau pelawak dijadikan watak peran tua dan peran muda, dayang-dayang yang terdiri daripada gadis-gadis manja sebagai penari dan pengiring Makyung atau puteri Makyung dan watak supernatural jahat sebagai jin dan supernatural baik sebagai alim ulama dari kayangan.

Bagi mengekalkan falsafah Makyung, gerak tari dikekalkan sepenuhnya sewaktu tarian mengadap rebab. Norzizi masih mengekalkan peralatan muzik asal Makyung tetapi ditambah dengan peralatan muzik moden seperti keyboard, percussion dan chime. Juga terdapat lagu baru yang dicipta pengarah muzik bagi disesuaikan dengan pementasan.

Pihaknya turut memberi penekanan dan penambahan kepada kostum pelakon-pelakonnya dengan penataan cahaya yang membantu menaikkan lagi mood persembahan. Kejayaan tersebut mungkin boleh dijadikan permulaan kepada perubahan di dalam pementasan Makyung.

"Pada saya Makyung boleh muncul dalam pelbagai cara, sama ada yang asli mahupun yang terkini. Tidak bermakna kesenian itu akan rosak oleh eksplorasi baru yang dilakukan kerana evolusi pasti akan berlaku terhadap sesuatu bentuk kesenian.

Selain teks cerita, bahasanya juga boleh dipelbagaikan dan dikembangkan kepada bahasa Melayu dan Inggeris. Malah terpulang kepada produksi untuk mengekalkan lagunya dalam bahasa asal atau diubah.

Malahan, wataknya juga boleh divariasikan misalnya pemain kanak-kanak untuk Makyung seperti Bawang Putih Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup, Cinderella atau Snow White," jelas Norzizi yang kini mengambil inisiatif dengan membuka kelas Makyung bagi kanak-kanak dan dewasa pada setiap Ahad bagi mencari pelapis Makyung.

TIDAK SEKADAR DI ATAS KERTAS

Berasaskan pembentangan dan perbincangan pada seminar tersebut, satu resolusi telah dipersetujui bagi membangunkan Makyung.

Sembilan resolusi itu menyentuh sudut kandungan cerita atau 'repetoire' diperkayakan dengan mengekalkan struktur persembahan Makyung asal. Selain meneroka secara maksimum penggunaan teknologi pe ntas masa kini berkaitan bunyi, pencahayaan, kesan khas dan skrin.

Bagi mengangkat lagi nilai Makyung, usaha diperlukan untuk mewujudkan ruang dan panggung khusus bagi persembahan Makyung setanding dengan prasarana antarabangsa. Ditambah penggunaan secara komprehensif dan meluas kaedah pemasaran pengiklanan dan promosi terkini.

Makyung juga memerlukan pembangunan khalayak dan penonton yang lebih luas terutama generasi muda dengan penambahbaikan Makyung dan meningkatkan apresiasi. Selain melahirkan lebih ramai modal insan dalam kesenian ini melalui latihan, kursus dan pembelajaran secara formal dan informal.

Paling penting, Makyung perlu didokumentasi dan diterbitkan dengan cara mengusahakan rakaman audio visual berterusan terhadap pakar Makyung dan genre Makyung bagi pemuliharaan kesenian tersebut.

Resolusi turut menyenaraikan usaha mempelbagaikan saluran Makyung dalam genre kesenian yang berbeza seperti filem dan video. Juga menjadikan Makyung sebagai satu produk industri kreatif bagi memberi nilai ekonomi.

Sebagaimana yang diharapkan oleh Ketua Pengarah JKKN, iaitu untuk melihat kelangsungan Makyung, diharapkan resolusi ini tidak sekadar di atas kertas. Jika UNESCO boleh mengangkat Makyung sebagai warisan dunia, Malaysia terlebih dahulu perlu mengangkat Makyung Kelantan sebagai Warisan Nasional dan tidak pupus sebagaimana pupusnya Makyung Kedah dan Makyung Perlis. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain