suria

Berkongsi Masakan Malaysia Dengan Masyarakat Dunia

KUALA LUMPUR: Masakan dari Malaysia merupakan antara hidangan di dunia yang mencerminkan pelbagai budaya. Selain mempamerkan wujudnya masyarakat majmuk di negara ini, masakan Malaysia juga merupakan satu persembahan 'kulinari' yang unik.

Kepelbagaian masakan Malaysia tidak pernah menghampakan cita rasa siapa sahaja sehinggakan pelancong dari negara asing mengangkat ibu jari dan memberi pujian.

Pelawat dari luar negara pasti terpukau dengan pelbagai hidangan serta juadah yang enak menanti mereka sama ada di meja bufet di hotel-hotel lima bintang atau dihidangkan dengan cara bersahaja di gerai-gerai pasar malam di seluruh negara.

Menyedari masakan Malaysia mempunyai 'daya tarikan' terhadap pelancong asing, kerajaan Malaysia melancarkan Program Dapur Malaysia (Malaysia Kitchen) pada tahun 2006 bagi mempromosi negara melalui restoran-restoran Malaysia di seberang laut.

Pada tahun 2009, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengambil alih pengendalian serta promosi program itu dan menganjurkan aktiviti pengiklanan serta promosi yang meluas di London dan juga New York.

KEMPEN DAPUR MALAYSIA

Pada April 2010, Matrade melancarkan Kempen Dapur Malaysia Global yang merupakan promosi intensif mengandungi dua komponen utama iaitu portal Dapur Malaysia dan juga satu skim pakej pembiayaan restoran oleh EXIM Bank.

"Portal Dapur Malaysia menyediakan maklumat terperinci mengenai restoran Malaysia di luar negara manakala kemudahan pembiayaan EXIM Bank Malaysia menyediakan pembiayaan modal bagi pemilik restoran Malaysia mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara di bawah Program Dapur Malaysia Global", CEO Matrade Noharuddin Nordin memberitahu Bernama.

Menurut Noharuddin, persijilan Halal bagi restoran Malaysia di luar negara merupakan aspek sukarela. Sijil Halal boleh memberi kelebihan bagi restoran yang dikunjungi pelanggan Islam tetapi mungkin tidak berapa sesuai jika pelanggannya terdiri daripada mereka yang bukan Islam.

"Terpulang pada pemilik restoran menentukannya," kata beliau.

PROMOSI MASAKAN MALAYSIA DI NEW YORK

Sehingga baru-baru ini, tidak banyak terdapat hidangan Malaysia yang boleh dikatakan sebagai yang asli serta enak di New York.

Usaha Matrade mempromosi masakan serta restoran Malaysia di New York membuka tirai dengan 'persembahan' empat jenis hidangan makan tengah hari disediakan chef terkenal Zakary Pelaccio yang dibantu chef Malaysia iaitu Hasni Ghazali, Erik Cheah dan Kathy Wong dari Pusat Kulinari Antarabangsa New York.

Ini kemudian diikuti dengan Minggu Restoran Malaysia dari 14-20 Jun dimana restoran-restoran Malaysia di New York yang menyertai acara ini mempersembahkan masakan dari Malaysia sebagai hidangan istimewa bagi pelanggan mereka.

Pertandingan Memasak Makanan Malaysia merupakan acara kemuncak minggu itu. Kempen Dapur Malaysia 2010 di New York berakhir dengan acara 'Trak Makanan Malaysia' di mana sebuah gerabak akan mengelilingi Manhattan sambil menawarkan sajian Malaysia dari restoran-restoran Malaysia tempatan serta juga restoran yang berorientasikan masakan Malaysia.

JURUCAKAP DAPUR MALAYSIA 2010

Matrade juga melantik Chef Pelaccio, tuan punya rangkaian restoran Fatty Crab and Fatty Cue di New York sebagai jurucakap bagi Kempen Dapur Malaysia 2010 di New York.

"Peranan saya ialah mempromosi masakan Malaysia di restoran saya serta juga di restoran Malaysia yang lain di Amerika Syarikat selain menggalakkan masyarakat New York berkunjung ke Malaysia bagi mengalami sendiri kepelbagaian masakan serta budaya," kata Pelaccio.

Mempunyai pengalaman setahun bersama Restoran Seri Melayu di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, Pelaccio menyediakan hidangan kegemaran ramai dari Malaysia seperti nasi lemak, nasi ulam, rendang, ikan bakar, kangkung belacan, asam laksa serta ketam berlada dan banyak lagi di restoran-restoran beliau.

Menurut Pelaccio, pengalaman kulinari di Malaysia telah menarik minat pelanggan restorannya di mana hidangan 'Fatty Chili Crab' (ketam masak lemak berlada) begitu popular dalam kalangan masyarakat New York.

"Kempen Dapur Malaysia merupakan saluran terbaik bagi memperkenal masakan Malaysia kepada masyarakat Amerika tetapi saya terpaksa membuat sedikit perubahan bagi menyesuaikannya dengan cita rasa tempatan," kata Pelaccio.

RAMUAN

Pelaccio agak kerap mengunjungi Malaysia bagi mencari ramuan seperti rempah ratus, kicap dan juga belacan yang sememangnya sukar didapati di New York selain mencuba resepi baru yang boleh dibawa pulang.

"Saya sedang mencari pembekal tempatan (New York) yang boleh membekalkan kicap manis dan belacan kerana dua bahan ini memang saya sentiasa gunakan di restoran tetapi memang sukar didapati di sana," beliau memberitahu Bernama.

Pelaccio mengenal pasti seorang pembekal yang boleh memenuhi keperluannya dan juga dari segi kawalan kualiti serta pembungkusan.

"Setelah semua aspek diselesaikan, barulah saya boleh mengharapkan bekalan yang tidak putus bagi restoran saya dan mungkin mencipta satu pasaran 'niche' untuk cita rasa Malaysia dalam kalangan pelanggan saya," tambah beliau.

SELURUH DUNIA

Sehingga kini, terdapat 465 restoran Malaysia di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Indonesia, Kanada, New Zealand, Hong Kong, Jerman dan Belanda serta negara lain yang menyertai Program Promosi Dapur Malaysia.

Sudah tentunya program promosi yang menyeluruh yang dijalankan bersama kemudahan pakej pembiayaan serta sokongan restoran Malaysia di seluruh dunia akan memasyhurkan lagi Malaysia di mata dunia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain