Pelestarian Khazanah Alam Di Royal Belum Ada Cabaran

Diterbitkan: Selasa, 15 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GERIK: Keletihan menyusuri tasik Temenggor hampir dua jam dengan menaiki bot dari jeti awam di Pulau Banding sebelum tiba di Sungai Kejar, sebuah kawasan pedalaman terakhir di Taman Negeri Royal Belum tidak terasa kerana terbuai dengan keasyikan menatap keindahan dan kehijauan khazanah tidak ternilai itu.

Kebingitan enjin bot memecah keheningan Royal Belum dan ketenangan tasik Temenggor nyata membuak-buakkan lagi keinginan kira-kira 100 peserta 'Ekspedisi Royal Belum Bersama Media' baru-baru ini bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menyingkap 'syurga alam yang tersembunyi' di sebalik nama gah Royal Belum yang diwartakan sebagai taman negeri pada 3 Mei 2007.

Royal Belum, yang mempunyai keluasan 117,500 hektar, adalah satu daripada dua komponen kompleks rimba Belum seluas 300,000 hektar atau lima kali ganda saiz negara jiran Singapura, yang turut terletaknya Hutan Simpan Temenggor.

Pulau Banding dengan keluasan 217 hektar yang menjadi perhentian utama sebelum memasuki Royal Belum itu wujud selepas kawasan berkenaan ditenggelami air untuk projek Empangan Temenggor pada tahun 70-an yang mewujudkan Tasik Temenggor, tasik buatan terbesar di Perak dengan keluasan permukaan meliputi 15,200 hektar.

Kawasan hutan Royal Belum sebenarnya juga adalah kawasan perlindungan kepada 14 hidupan terancam seperti Harimau Malaya, Beruang Matahari, Badak Sumbu Sumatra, gajah dan tapir.

TERUS JADI TARIKAN

Royal Belum bukan sahaja gah pada nama malahan pada khazanah tidak ternilai yang ada padanya seperti 10 lokasi bunga Rafflesia pelbagai spesies, kawasan tumpuan 10 spesies burung enggang dan 12 lokasi sira yang merupakan kawasan garam nutrien yang sering dikunjungi hidupan liar selain menjadi tumpuan untuk 'jungle trekking', memancing serta berkhemah.

Pengurus Taman Negeri, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) Iylia Ainuddin berkata Royal Belum terus mendapat tempat di hati para pencinta alam semula jadi dan penggemar aktiviti berkenaannya walaupun pihaknya tidak mengadakan promosi eko-pelancongan ke Royal Belum secara besar-besaran serta tambahan pula kemasukan ke kawasan Royal Belum perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa.

"Pada tahun 2008, Royal Belum merekodkan 6,736 pelancong dalam dan luar negara, pada 2009 pula jumlah itu merosot kepada 5,387 dan tahun ini setakat April lepas sebanyak 3,117 pelancong. Kita yakin untuk mencapai rekod kehadiran pelancong hingga 8,000 pada tahun ini dengan penawaran produk yang disediakan beserta dengan pelbagai kemudahan," katanya.

Bagaimanapun, disebabkan Royal Belum terus menjadi tarikan, pihaknya merasakan kem pelancongan yang baru perlu diadakan khususnya di Sungai Kenarong dan Sungai Semelians dengan anggaran kos RM500,000.

Iylia berkata, pihaknya merancang untuk menyediakan aktiviti lain seperti mendaki gunung yang sesuai di Royal Belum seperti gunung Hulu Titi Basah, Ulu Laho, Ulu Kebeng, Ulu Keleng dan Hulu Merah.

SANTUARI IKAN, RAFFLESIA

Bagi memberi perlindungan dan mengelak kepupusan ikan air tawar khususnya Kelah, Temoleh dan Tengas, yang tambahan pula mempunyai nilai tinggi di pasaran, Perbadanan Taman Negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan Perak memilih dua sungai iaitu Sungai Papan dan Sungai Ruok yang mempunyai air terjun sebagai santuari ikan berkenaan.

Lebih uniknya, apabila berada di santuari ikan ini selain melihat anak-anak ikan berenang dalam air yang jernih, pengalaman 'bermanja' dengan ikan-ikan itu dengan membiarkan kaki yang direndam dalam air yang dingin 'diurut' seolah-olah berada dalam sebuah spa, sekaligus menghilangkan kepenatan akibat perjalanan mendaki bukit.

Iylia berkata santuari ikan berkenaan adalah sejajar dengan konsep pembangunan pelancongan Royal Belum iaitu mewujudkan aktiviti pendidikan serta latihan yang menjurus ke arah konservasi selain menjadikan taman negeri ini sebagai kawasan pemuliharaan kepelbagaian biologi.

Istimewanya Royal Belum, yang berusia lebih 130 juta tahun, juga ialah para pelancong alam semula jadi berpeluang menikmati keindahan bunga Pakma atau Rafflesia jika kena pada waktu ia mula kembang, katanya.

Di celah-celah lebih 3,000 spesies flora, 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 ikan hidup di sini, Iylia berkata sekurang-kurangnya terdapat 10 lokasi menjadi habitat spesies Rafflesia yang hidup subur di sini dan antara yang sering menjadi tarikan ialah Rafflesia Kerrii (sebesar 95cm), Rafflesia Cantleyi (44cm) dan Rafflesia Azlanii (35 cm) yang mengambil sempena nama Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Khazanah lain ialah burung Enggang atau Kenyalang yang selama ini hanya sering dikaitkan dengan negeri Sarawak namun bagi peminat burung berkenaan, Royal Belum merupakan kawasan yang wajib dilawati bagi tujuan itu.

Difahamkan 10 spesies burung Enggang yang ada di Malaysia boleh didapati di sini serta dua daripada spesies itu hanya boleh didapati di Royal Belum.

CEROBOH ROYAL BELUM

Semasa ekspedisi itu, Zambry yang melahirkan kebimbangan terhadap kegiatan pemburuan haram dan pengambilan kayu gaharu di Royal Belum yang agak berleluasa, meminta kerjasama Tabung Perlindungan Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia) dan Persatuan Pencinta Alam (MNS) dalam menangani masalah itu.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri secara sendirian tidak mampu menangani masalah pencerobohan itu memandangkan keluasan Royal Belum terlalu besar selain turut bersempadan dengan Thailand di bahagian utaranya.

Iylia berkata, kebanyakan pemburu haram menceroboh kawasan Royal Belum melalui kawasan lebuh raya.

"Terdapat beberapa laluan haram yang dikenalpasti melalui pemerhatian pihak renjer Royal Belum dan maklumat orang ramai antaranya WWF, penduduk tempatan dan pemandu pelancong," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata terdapat beberapa kekurangan dan masalah yang menyukarkan penguatkuasaan yang antaranya kekurangan khidmat renjer kerana pada masa ini pihak taman negeri hanya mempunyai dua renjer dengan dibantu enam pemandu bot.

"Selain itu elaun masuk hutan disekat. Ini kerana, peruntukan yang diterima adalah rendah. Unit Taman Negeri tidak dapat membuat pantauan dan penguatkuasaan melalui pejabat di Gerik. Pantauan dan penyelenggaraan di dalam Royal Belum perlu kerap dilakukan terutama hari minggu dan cuti umum," katanya.

Oleh yang demikian Menteri Besar segera memberi maklumbalas bahawa kerajaan negeri akan menambah bilangan renjer di Taman Negeri Royal Belum daripada dua sekarang kepada empat manakala pembantu renjer daripada tiga kepada enam selain sedia menimbangkan permohonan Perbadanan Taman Negeri bagi tambahan peruntukan dalam bajet tahun depan.

PEMBANGUNAN UNTUK ORANG ASLI

Menyedari kepentingan masyarakat Orang Asli yang telah lama mendiami kompleks rimba Belum, pembangunan Royal Belum untuk eko-pelancongan sewajarnya tidak boleh dipisahkan dengan mereka yang terlalu menyanjungi semangat hutan itu sendiri.

Pembangunan untuk meletakkan Royal Belum di peta eko-pelancongan dunia semestinya seiring dengan pembangunan masyarakat Orang Asli terutama dalam aspek pendidikan, kesihatan dan sosio-ekonomi mereka yang telah sekian lama mendiami kawasan itu.

"Kerajaan negeri serius untuk bangunkan masyarakat Orang Asli. Langkah komprehensif dilakukan antaranya usaha pembasmian kemiskinan. Masyarakat Orang Asli di kawasan Royal Belum ini juga merupakan sebahagian daripada Royal Belum," ujar Zambry dalam sidang media selepas melawat perkampungan Orang Asli Sungai Kejar di Royal Belum semasa ekspedisi itu.

Beliau tidak mahu aspek tradisi, budaya dan cara hidup masyarakat Orang Asli dilihat sebagai 'kemunduran' mereka.

Pengurus Rancangan Pengumpulan Semula Orang Asli Abu Othman Abdul Karim berkata terdapat 1,300 orang dari suku kaum Jahai mendiami daerah Hulu Perak.

"Mereka bergantung kepada sumber hutan ini (Royal Belum) untuk hidup dan jarang keluar kerana kos pengangkutan yang tinggi iaitu hampir RM100 untuk minyak dan bot. Kadang-kadang mereka keluar untuk menjual hasil hutan seperti madu, produk herba serta kayu gaharu selain mendapatkan barangan keperluan," katanya.

Terdapat kira-kira 80 keluarga daro suku kaum Jahai mendiami Royal Belum terutama Kampung Sangkoi, Sungai Kejar Hulu dan Sungai Kejar Hilir.

EKSPLOITASIKAN ORANG ASLI

Pemimpin suku kaum Jahai di Kampung Orang Asli Sungai Kejar, Radi a/l Langsat berpendapat pokok gaharu dan ikan sungai terutama kelah adalah hak mereka.

"Gaharu, ikan, air dan hutan ini hak kita dan kita berhak menjualnya kepada sesiapa," katanya.

Penghulu Orang Asli di Kampung Semelor, Samad a/l Jeraum pula meminta supaya kerajaan negeri tidak meminggirkan mereka dalam pembangunan Royal Belum kerana apa sahaja yang dirancang memerlukan kerjasama erat dengan masyarakat Orang Asli yang telah lama mendiami Royal Belum.

"Apa yang penting ialah Orang Asli sangat menyanjungi alam ini dan jangan cuba mahu ceroboh. Kita juga mahu kerajaan giatkan usaha membangunkan anak-anak Orang Asli dari segi pendidikan dan kesihatan," katanya.

Beliau juga tidak menafikan ada Orang Asli yang dieksploitasikan oleh orang tengah bagi mendapatkan hasil hutan yang terkandung di dalam Royal Belum dan mempunyai nilai yang tinggi di pasaran seperti kayu gaharu dan ikan kelah.

Ekspedisi dua hari itu mendedahkan para peserta mengenai warisan Royal Belum dan satu daripada pemiliknya, Orang Asli. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan