suria

Ayam Masak Kicap Jadi Menu Pilihan

PUTRAJAYA: Sesiapa juga terutama pelajar Malaysia yang berada di perantauan jika diajukan soalan mengenai menu pilihan tidak akan lari daripada memberi jawapan masakan tempatan yang pelbagai dan mewakili ramai kaum.

Begitu jugalah dengan Nazirul Afham Idris, 22, pelajar tahun empat Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik di Keio University, Tokyo, Jepun dan rakan-rakannya menyatakan menu pilihan mereka ialah ayam masak kicap.

Ada beberapa sebab menu itu menjadi pilihan beliau dan rakan-rakannya di Jepun.

Pertamanya, masakan itu paling senang untuk dimasak dan menjadi menu pilihan setiap kali mempunyai masa terluang.

Keduanya, harga ayam lebih murah berbanding ikan iaitu kira-kira 450 yen sekilogram (RM15) berbanding harga ikan, 1,000 yen (RM35) dan harga daging 1,200 yen (RM42), kata Nazirul yang mula belajar memasak sebaik sahaja berada di negara orang.

Yang menarik lagi ialah ayam dibeli secara 'on-line' atau di kedai yang menjual makanan halal berdekatan dengan rumah mereka.

Nazirul, yang mempelajari masakan itu daripada ibunya, berkata jika dibeli secara 'on-line', mereka akan membuat pesanan daripada peruncit berbangsa Pakistan yang akan menghantarnya ke rumah.

TINJAU KEHIDUPAN HARIAN

Selain masakan itu, katanya dia turut memasak pelbagai jenis masakan lain seperti ayam atau daging black pepper, ayam atau daging paprik, tomyam, ayam atau daging goreng kunyit, sup ayam, ayam masak merah dan sebagainya.

"Kalau bagi saya, masak apa yang mampu saya masak dan apa yang bagi saya sedap. Sekali sekala akan cuba juga benda baru," katanya.

Jika makan di luar pula, katanya makanan Jepun yang menjadi pilihan ialah tendon (nasi putih dengan beberapa jenis lauk seperti udang, terung, labu), atau udon/soba (jenis mee) atau sushi.

Lawatan kerja Yayasan Pelajaran Mara (YPM) ke Tokyo, Jepun baru-baru ini, memberi peluang kepada pemberita yang mengikuti rombongan itu meninjau kehidupan seharian pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di negara matahari terbit itu.

Lawatan YPM selama enam hari baru-baru ini adalah sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu dan bagi memantau program Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (HELP) III yang dikendalikannya.

Rombongan yang singgah ke rumah pelajar itu mendapat sambutan mesra oleh keempat-empat pelajar tajaan YPM iaitu Wan Mohd Aizuddin Wan Mohammad dan Nazirul Afham Idris, Abul Hasan Johari Ahmad Tajudin, 23, pelajar Sarjana Integrated System Design dan Siti Musliha Ajmal Mokhtar, 21, pelajar tahun tiga Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di universiti yang sama.

SINGGAH RUMAH

Mereka adalah antara lapan pelajar Malaysia tajaan YPM yang melanjutkan pengajian di universiti itu.

Mereka bukan sahaja ramah dan mesra tetapi kefasihan mereka berbahasa Jepun juga sangat mengagumkan. Ini kerana keperluan untuk fasih dalam bahasa asing itu adalah penting sebagai asas sebelum melanjutkan pengajian di bumi sakura itu.

Kediaman yang disinggahi itu merupakan rumah sewa Wan Mohd Aizuddin dan Nazirul, masing-masing berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan Bandar Baru Bangi, Selangor yang memasuki tahun kedua berada di negara itu manakala Abul, memasuki tahun ketiga.

Mereka adalah antara pelajar tajaan YPM di bawah program HELP III, program yang dilaksanakan selama tiga tahun di Universiti Industri Selangor (Unisel), dan dua tahun di 15 universiti terpilih di Jepun.

Rumah dua bilik dengan keluasan kira-kira 650 kaki persegi itu sangat ringkas tetapi selesa untuk didiami dengan kadar sewa 70,000 yen (RM2,500) sebulan.

Ia terletak berdekatan dengan pusat pengajian mereka iaitu kira-kira 50 meter dan mereka hanya berjalan kaki untuk ke kampus.

Bagaimanapun, Abul yang berasal dari Kuala Lumpur itu tinggal agak berjauhan daripada pusat pengajian dan menggunakan basikal menjadi pilihan untuk dia berulang-alik, iaitu kira-kira 10 minit daripada rumah.

Di Jepun, berbasikal adalah antara kaedah pengangkutan utama yang digunakan oleh rakyat negara itu untuk berulang-alik sama ada ke pejabat, universiti, sekolah, pasar dan pusat beli-belah yang lebih jimat dan mengelakkan kesesakan.

PENGALAMAN PERTAMA DI NEGARA ORANG

Siti Musliha pula ketika ditemubual pemberita agak sedih berikutan dia bersama empat pelajar perempuan yang lain baru kali pertama menjejakkan kaki di negara itu yang tiba Mac lalu, berbanding tiga rakannya yang lain itu.

Dia yang berasal dari Melaka mengakui masih rindukan kampung halaman dan perasaan itu cuba dikikis setiap hari dalam usaha untuk mencapai kejayaan.

Katanya bekalan makanan seperti serunding dan sardin turut dibawa yang menjadi pengubat rindu kepada keluarga.

Dalam usaha untuk menyesuaikan diri, Siti Musliha berkata dia dan rakan-rakannya sentiasa mendapatkan tunjuk ajar dan nasihat daripada senior mereka itu yang telah mempunyai pengalaman berada di negara tersebut.

SASARAN YPM

Bercakap kepada pemberita Malaysia, Pengerusi YPM Datuk Dr Rosli Mat Hassan berkata kunjungan ke universiti-universiti di Jepun akan dilakukan bagi memantau perkembangan pelajar yang berada di bawah tajaan yayasan itu.

Selain bagi tujuan memberi bimbingan dan nasihat, pihak YPM turut memantau pencapaian pelajar bagi memastikan mereka tidak mempunyai masalah dari segi pembelajaran.

Dr Rosli berkata, masalah-masalah seperti kejutan budaya, tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik turut dialami oleh para pelajar tetapi ia akan segera diatasi oleh pihak YPM.

Setakat ini, YPM berpuas hati dengan pretasi para pelajar dan tujuan menghantar penuntut Malaysia melanjutkan pengajian di Jepun bukan sahaja bagi menimba ilmu tetapi sebagai proses terbaik membangunkan modal insan yang lebih berdaya saing dan bersahsiah tinggi.

Katanya Jepun menjadi lokasi pilihan kerana penduduknya masih mengekalkan budaya murni masyarakat timur seperti berdisiplin, menghormati ketua, jujur, berdikari, mementingkan kebersihan dan cintai negara.

"Kita mahukan pelajar yang cemerlang tanpa mengenepikan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

"Graduan dari universiti di Jepun adalah di kalangan mereka yang berketrampilan dan berdikari selain memiliki semangat untuk terus maju," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain