suria

Pengurusan Sisa Pepejal Strategi Kurangkan Emisi Karbon

MENYEDARI kesan perubahan iklim kepada dunia, Malaysia menetapkan sasaran mengurangkan emisi karbon dioksida (CO2) kepada 40 peratus menjelang 2020 berbanding pelepasan CO2 pada 2005.

Komitmen secara sukarela itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen akhir tahun lepas, tertakluk kepada bantuan daripada negara-negara maju.

Ia dilihat langkah positif negara bergerak ke arah ekonomi karbon-rendah.

Ini kerana Malaysia sedar perubahan iklim dan pemanasan global secara tidak langsung memberikan kesan kepada survival ekonomi Malaysia selaku negara membangun.

Perubahan cuaca tidak menentu seperti taburan hujan, ribut petir dan hakisan di beberapa lokasi di pesisiran pantai di negara ini tentunya akan menjejaskan aktiviti ekonomi di kawasan terbabit.

Dengan kata lain, negara tidak mempunyai pilihan kecuali mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, termasuk CO2, bagi membendung kesan perubahan iklim dan pemanasan global.

1GREEN MALAYSIA

Timbalan Setiausaha Bahagian Konservasi Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr Gary W.Theseira, berkata dalam konteks ini kerajaan mengenal pasti tiga strategi utama bagi mengurangkan emisi karbon menjelang 2020.

"Satu daripada strategi itu ialah pengurusan sisa pepejal," katanya dalam pembentangan mengenai komitmen Malaysia dalam pengurangan gas rumah hijau itu pada persidangan dan pameran Pengurusan Sisa 2010 di ibu negara, baru-baru ini.

Persidangan dan Pameran bertemakan "1Green Malaysia" itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai alam sekitar, Environmental Management and Research Association of Malaysia (ENSEARCH).

Mengulas mengenai strategi pengurusan sisa pepejal, Dr Theseira berkata kerajaan menetapkan sasaran kitar semula kepada 22 peratus menjelang 2020 berbanding kadar kitar semula negara yang berada pada tahap lima peratus ketika ini.

Selain itu melalui pembinaan lebih banyak tapak pelupusan sanitari, kerajaan juga menetapkan sasaran 75 peratus gas Metana (CH4) yang dihasilkan di tapak pelupusan, diserap dan dijana sebagai tenaga elektrik.

CH4 ialah antara gas rumah hijau, selain CO2, yang mengancam lapisan ozon dan menyebabkan kesan pemanasan global dengan sebahagian besarnya dihasilkan melalui proses pereputan sampah dalam tempoh tertentu.

TENAGA ELEKTRIK

Berbanding tapak pelupusan biasa yang beroperasi secara pembuangan terbuka dengan risiko bau, penyakit dan pencemaran alam sekitar, tapak pelupusan sanitari mempunyai sistem paip menyerap CH4 sebelum ditukarkan kepada tenaga elektrik.

Dr Theseira berkata selain strategi pengurusan sisa pepejal, dua strategi bagi mengurangkan emisi karbon ialah meningkatkan kecekapan tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharui.

Menjelang 2020, permintaan tenaga elektrik negara dijangka mencecah 20,000 Megawatt dan untuk itu kerajaan menetapkan sasaran meningkatkan kecekapan tenaga kepada tiga peratus berbanding kecekapan sekarang.

Beliau berkata peningkatan kecekapan tenaga dijangka memindahkan sembilan juta tan CO2 manakala tenaga boleh diperbaharui dijangka mengurangkan 11 juta tan CO2 dan pengurusan sisa pepejal pula akan mengurangkan sebanyak 10 juta tan.

"Keseluruhan tiga sektor itu akan mengurangkan 30 juta tan CO2," katanya.

Seorang lagi panelis pada persidangan itu yang juga pakar dalam pengurusan sisa pepejal daripada Universiti Malaya, Prof Dr P.Agumuthu berkata pengurusan sisa pepejal perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Ini kerana 11 hingga 12 peratus daripada pengeluaran CH4 di peringkat global berpunca daripada tapak pelupusan yang tidak diuruskan dengan baik.

Dr Agumuthu berkata pengurusan sisa pepejal juga dikenal pasti sebagai antara tiga penyebab utama penyusutan kualiti alam sekitar dalam kebanyakan negara Asia termasuk Malaysia.

SAMPAH

Beliau berkata dalam konteks Malaysia, 90 peratus sampah yang dihasilkan di negara ini dilupuskan di 290 tapak pelupusan sampah dengan sebahagian kecilnya ialah tapak pelupusan sanitari yang mesra alam.

Daripada jumlah itu, hanya 176 tapak pelupusan masih aktif.

Sebelum ini, pakar pengurusan sisa pepejal daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Ir Dr Hassan Basri menyifatkan pengurusan sisa pepejal negara "kritikal untuk jangka panjang" ekoran hanya tujuh daripada 290 tapak pelupusan sampah ialah tapak pelupusan sanitari.

Ini bermakna kurang 2.5 peratus daripada keseluruhan tapak pelupusan sisa diuruskan dengan baik dengan selebihnya beroperasi secara pembuangan terbuka dengan risiko pencemaran air dan udara.

Pencemaran air dikaitkan dengan air larut resapan (lechate) ke dalam sumber air bawah tanah manakala pencemaran udara disebabkan pembebasan CH4 yang terhasil daripada proses pereputan sampah.

Pakar dan aktivis alam sekitar pula menyifatkan kerancakan ekonomi juga menyebakan persaingan guna tanah yang tinggi, sekaligus menyebabkan pembinaan tapak pelupusan sampah baru sebagai proses yang rumit.

Hal ini juga selari dengan peningkatan populasi yang semakin meningkat.

Dalam konteks ini, Dr Agumuthu berkata semua pihak termasuk kerajaan tidak mempunyai pilihan selain memandang serius terhadap pengurusan sisa pepejal bagi menentukan kelangsungan alam sekitar dan ekonomi negara.

Beliau berkata langkah terbaik ialah mengurangkan jumlah sisa yang dihasilkan dengan menggunakan amalan hijau seperti kitar semula dan pengasingan sampah di punca selain kerajaan terus menambah baik infrastruktur yang ada.

"Ini kerana pengurusan sisa pepejal mempunyai potensi mengurangkan sehingga 20 peratus pengeluaran gas rumah hijau di peringkat global," katanya dan menambah sudah tiba masanya Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dikuatkuasakan bagi memastikan pengurusan sisa pepejal negara lebih efisyen. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain