suria

Memastikan Kesinambungan Warisan

DALAM membuktikan tumpuan terhadap warisan pusaka tidak menjadi penghalang kepada idea baru, Jabatan Warisan Negara (JWN) berusaha sedaya upaya untuk membolehkan pusaka negara kekal dinamik bagi generasi akan datang.

Sehubungan itu, JWN mengorak langkah mengatur 36 program utama untuk sepanjang tahun ini, yang merangkumi program kesedaran hinggalah aktiviti arkeologi, dalam membawa penghargaan yang lebih lagi terhadap warisan pusaka.

CETUS SIKAP INGIN TAHU

Menurut Pesuruhjaya Warisan Profesor Emeritus, Datuk Zuraina Majid, JWN mahu menawan intipati sifat dan identiti negara menerusi kesedaran.

"Kita mahu rakyat Malaysia kekal sebagai warga berbudaya dan menghargai pencapaian manusia dengan peralihan masa tidak kira ia dalam seni, sukan, muzik dan yang lain. Dengan memahami kaitan antara perkara-perkara silam, kami mahu menimbulkan kesedaran akan asal-usul mereka. Mencetuskan rasa bangga terhadap warisan merupakan satu-satunya cara bagi orang ramai mengekalkan warisan."

Beliau menambah kata program-program yang dianjur oleh JWN adalah selaras dengan tiga keperluan yang menjadi tumpuan - memperkasa warisan 1Malaysia, mematuhi Akta 645 dan menjadikan warisan satu budaya.

"Antara aktiviti berkala yang kami atur termasuk aktiviti kebudayaan, permainan tradisional, dan jejak warisan merdeka bagi pelajar, guru dan yang lain," katanya.

Memandangkan maklumat balas positif yang diterima bagi program-program tersebut, kini terdapat 20 Kelab Warisan di sekolah-sekolah seluruh negara. Bagi kumpulan usia lebih tua, anggota Kelab Warisan bertemu setiap dua minggu di struktur tertua yang masih wujud sehingga hari ini iaitu Bangunan Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, di sini.

PROJEK IMPAK TINGGI

Bersama satu senarai projek-projek yang menarik perhatian, tahun 2010 menandakan satu lagi tempoh menarik bagi JWN dengan Zuraina memperincikan projek-projek impak tinggi jabatan itu.

"Antaranya pembinaan Kompleks Bandar Melaka melalui kerja-kerja pemulihan Bastion Middelburg dan kerja-kerja ekskavasi di sekitar kawasan itu. Ia adalah sebahagian daripada dinding pertahanan yang dibina oleh penjajah Portugis," katanya.

Dinding itu dibina di lokasi asal kota Portugis dan strukturnya dilanjutkan oleh Belanda kira-kira tahun 1660 bagi meningkatkan keselamatan di Kota Melaka, pelabuhan dan Sungai Melaka.

Selain itu, Galeri Kota Melaka akan digunakan secara kreatif untuk menyampaikan warisan sejarah bandar ini.

"Satu lagi projek berimpak tinggi ialah pemuliharan satu daripada warisan perubatan yang tidak diketahui ramai, iaitu Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh, Selangor. Kami mahu mewarta penempatan kusta sebagai sebuah Tapak Warisan Kebangsaan dan cadangan pembangunan penempatan itu termasuk pusat hortikultur, sebuah galeri warisan dan sebuah perkampungan seni dan budaya.

"Kami juga berharap dapat dicalonkan bersama-sama Filipina dan Taiwan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO."

Tapak-tapak lain yang turut dicadangkan bagi pencalonan Warisan Dunia (Berhubung Perlindungan Warisan Budaya dan Semulajadi Dunia 1972) ialah Lembah Lenggong pada 2011 dan Taman Negara (Pahang, Terengganu, Kelantan).

Pencalonan Warisan Dunia bagi Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Nyata 2003 termasuk Dondang Sayang, Sewang, Bangsawan dan Jo'oh.

Lagipun, juadah-juadah Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri, jadi tidaklah menghairankan warisan masakan negara diperkenalkan kepada dunia. Makanan warisan Malaysia turut dihidangkan di bandar-bandar raya utama dunia seperti New York, London dan Sydney.

Galeri Melayu Pulau Pinang juga merupakan satu lagi projek berimpak tinggi yang dirancang untuk tahun ini.

KHAZANAH ARKEOLOGI

Beberapa penemuan signifikan arkeologi di negara menyebabkan JWN terdorong untuk mencari lebih banyak lagi.

Kerja-kerja ekskavasi di Lembah Lenggong di Perak, yang membawa kepada penemuan 'Perak Man', telah berjalan selama 20 tahun tetapi tempat ini masih belum mendedahkan kesemua rahsianya.

"Kami buat masa ini menjalankan kerja-kerja ekskavasi di Bukit Bunuh di Lenggong, satu tapak baru Palaeolitik yang ditemui pada 2002. Kawasan ini berusia lebih 1.86 juta tahun, yang dianggap sebagai tapak Palaeolitik tertua di Asia Tenggara. Terdapat 8 projek penting yang dijalankan di lokasi ini, dan ia membawa impak besar kepada rantau. Kami berharap tapak ini dapat diiktiraf sebagai Warisan Dunia pada 2011," kata Zuraina.

Satu lagi tapak arkeologi yang signifikan ialah Sungai Batu di Lembah Bujang, Kedah.

Zuraina menjelaskan lebih daripada 90 tapak telah dikenalpasti dan digali di Sungai Batu, dan buat masa ini jabatan itu masih menjalankan kerja-kerja ekskavasi di 10 tapak.

Ekskavasi juga dijalankan di Semporna, Sabah di mana penemuan menunjukkan kewujudan penempatan purba manusia di wilayah Semporna seawal tempoh Palaeolithik hingga Neolitik, Logam serta permulaan sejarah.

Penentuan tarikh menggunakan 'Radiocarbon' menunjukkan beberapa daripada tapak ini berusia lebih 10,000 tahun sebelum Masehi hingga 1280 Masehi.

"Kerja-kerja arkeologi dijalankan untuk memulihara tapak-tapak ini di samping menjana data baru dan mengedarkannya untuk menimbulkan kesedaran."

Zuraina menambah kata, Malaysia sebenarnya begitu bernasib baik kerana menjadi sebuah negara yang mempunyai beberapa penemuan arkeologi penting.

ARAH MASA DEPAN

Dunia kini mengiktiraf Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu, Melaka dan Georgetown dan Mak Yong (disenarikan sebagai Karya Agung Lisan dan Tidak Ketara Umat Manusia) dan Batu Bersurat Terengganu (Daftar Antarabangsa Memori Dunia).

Tetapi JWN masih tidak mahu duduk berpuas hati setakat itu.

Buat masa ini, JWN berada di peringkat pemantapan (2009-2011), menumpukan kepada keperluan untuk meningkatkan kepakaran dalam bidang warisan melalui latihan dan seminar.

"Masih terdapat jurang luas dalam kepakaran yang terdapat dalam negara ini.

"Kita memerlukan lebih ramai arkitek, jurutera dan kakitangan berkualiti untuk bertugas dengan jabatan ini. Lagipun, kita perlu lakukan lebih banyak latihan dalaman supaya mereka lebih mahir dalam kerja mereka."

Peringkat pemantapan ini juga membabitkan penubuhan sebuah galeri warisan maya untuk menetapkan standard pemuliharaan bagi arkeologi dan warisan tidak ketara yang mengandungi sebuah manual, Prosedur Operasi Standard dan Piagam.

Jabatan juga mempunyai cita-cita besar dalam tempoh beberapa tahun ini, berinspirasi untuk menganggotai Jawatankuasa Warisan Dunia dan untuk mempunyai Galeri Warisan Sedunia.

SETIAP ORANG BERPERANAN

Memori paling kuat yang kita miliki mengenai identiti budaya adalah yang berkisar di sekeliling kejiranan, lagu yang diminati semasa zaman kanak-kanak, ataupun masakan enak yang disediakan nenek dalam majlis khas.

Tetapi berapa ramai daripada kita yang menghargai kaitannya dengan sejarah silam? Zuraina menjelaskan bahawa warisan di negara ini masih mempunyai harapan besar untuk dikekalkan kerana beliau melihat sendiri perubahan persepsi orang ramai terhadap hal ini.

"Kini, umum semakin sedar hingga tidak sukar untuk meningkatkan minat bagi pemuliharaan warisan berbanding sebelum ini. Anda boleh lihat dari akhbar akan bagaimana mereka mengambil berat dan bersuara lantang di samping usaha oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Orang ramai menyedari kepelbagaian sejarah serta asal-usul yang memperkayakan kita. Dan itu tidak menghalang kita daripada mengamalkan identiti sebagai warga Malaysia."

Zuraina menjelaskan lanjut bahawa terdapat minat baru dalam pemuliharaan warisan di kalangan golongan muda. Minat ini didorong oleh capaian yang lebih luas kepada maklumat akan penemuan terbaru arkelogi atau berita warisan.

"Kami menyaksikan ramai yang meminta JWN supaya mengisytiharkan Menara Berkembar Petronas sebagai warisan negara khasnya kerana aspek teknologi dan sejarah di sebalik bangunan itu. Umum kini mahu melihat lebih banyak tapak warisan, dan ini pastinya menjadi petunjuk harapan."

Apabila ditanya sama ada Zuraina boleh dianggap sebagai 'Indiana Jones' Malaysia, Pesuruhjaya ini dengan gelak ketawa menolak anggapan itu.

"Warisan kekal dalam minda orang ramai seperti mana juga pada bangunan. Kita bertanggungjawab dalam melindungi khazanah kita. Kita semua boleh jadi Indiana Jones." - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain