suria

Kolam Air Panas Masin Kunak Tarikan Pelancong

KUNAK: Kalau ada yang bercerita mengenai kawasan rekreasi air panas, mungkin kita menganggap itu perkara biasa kerana lokasi seperti itu memang terdapat banyak di negara ini.

Antara kolam air panas yang terkenal di Sabah ialah 'Hot Spring' di Ranau yang kini menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara setiap bulan.

Bagaimanapun, pernahkah anda mendengar kawasan air panas air masin? Bunyinya mungkin agak pelik namun kawasan air panas air masin itu benar-benar wujud di Kunak.

Kolam air panas berkenaan terletak di atas kawasan tanah tinggi di ladang Sime Darby di Tingkayu pada paras ketinggian kira-kira 650 kaki (218 meter) dari paras laut.

Kawasan berkenaan terletak kira-kira 60 km dari pekan Kunak.

Belum Dibangunkan

Walaupun kawasan air panas di Tingkayu itu belum dibangunkan namun pemilik ladang berkenaan telah mengorek dua buah kolam dengan ukuran diameter 2.0-3.0 meter bagi menakung air panas masin yang keluar dari perut bumi.

Satu daripada kolam air masin berkenaan berair jernih manakala yang satu lagi agak keruh.

Aliran air panas yang keluar dari perut bumi di kolam air masin ini agak perlahan berbanding dengan buakan air di kolam berair keruh yang kuat sehingga mengeluarkan bunyi seperti air sedang mendidih.

Selain dua kolam berkenaan, terdapat banyak lagi mata air panas di merata-rata tempat di atas tanah tinggi itu menyebabkan kawasan brkenaan lembab terutama sekali di laluan dakian untuk ke kolam berkenaan.

Menurut penduduk setempat, jenis pokok yang tumbuh di sekitar kawasan berkenaan juga dikatakan dari spesies pokok yang biasanya dijumpai di kawasan tepi laut. Namun belum dapat dipastikan kebenaran dakwaan itu dan apa sebenarnya spesies pokok berkenaan.

Pemburu

Mengikut kata seorang penduduk tempatan, Abdul Kusin Husin, 39, kawasan berkenaan dijumpai pada tahun 1970-an oleh pakciknya, seorang pemburu dan pekerja kayu balak bernama Sarail Panglima Ombit.

Selain bukit berkenaan yang sudah diterokai, sebuah lagi bukit berhampiran juga mempunyai mata air panas masin di merata-rata tempat namun belum disentuh, jelas beliau.

Seorang lagi penduduk dari Kampung Langas, Endem Suliman, 81, pula mengaitkan kewujudan kawasan air panas masin dan pokok yang tumbuh di sekitarnya itu dengan sebuah lagenda dua gergasi yang saling berbalas balingan.

Gergasi dari kawasan bukit itu dikatakan membaling gergasi di Pulau Timbun Mata dengan rumpun buluh (atau tamiang dalam bahasa tempatan) yang diikat dengan akar tuba lalu gergasi di Pulau Timbun Mata pula membalas balingan itu dengan membaling kayu bakau (atau tangar dalam bahasa tempatan).

Sebab itulah, kata Endim, kawasan air panas berkenaan menjadi masin dengan kawasan sekelilingnya ditumbuhi pokok-pokok yang cuma biasa didapati hidup di kawasan berhampiran laut manakala Pulau Timbun Mata pula dijumpai banyak pokok buluh dan akar tuba.

Kajibumi Ahli Kajibumi Kanan Jabatan Mineral dan Geosains Sabah, Fredolin Javino pula menganggap kewujudan kawasan air panas berkenaan merupakan satu keunikan bagi kawasan Kunak kerana kolam sedemikian jarang ditemui di Sabah.

"Setakat yang saya tahu, kalau di Sabah ini, cuma Kunak sahaja yang ada kawasan air panas masin seperti itu. Kalau air panas berkenaan masin, bermakna ia mengandungi kandungan garam yang tinggi seperti sodium (natrium).

"Bagaimanapun untuk mengetahui secara pasti kandungan kimia dalam air panas masin berkenaan kita perlu ambil sampel air di situ untuk membolehkan ujian makmal dijalankan," katanya.

Menurut beliau, air yang keluar di atas bukit berkenaan mungkin datang dari kawasan lebih tinggi dan menjadi masin selepas air berkenaan melalui pelbagai batuan mineral yang terdapat dalam perut bumi.

Air dari kawasan lebih tinggi itu pula katanya mungkin menjadi panas selepas melalui batu-batu dalam perut bumi di kawasan Kunak yang sememangnya masih berusia muda serta bersuhu tinggi.

Kajian Saintifik

Apapun, katanya, untuk kepastian, kajian saintifik perlu dilakukan untuk memahami semua fenomena yang berlaku di kawasan air panas masin berkenaan termasuk mengenal pasti jenis garam yang terdapat di dalamnya.

Fredolin turut menasihatkan pengunjung supaya tidak sewenang-wenang memasukan air panas masin berkenaan ke mulut untuk menguji kemasinannnya bagi mengelak kejadian tidak diingini. "Kita khuatir kemungkinan air panas masin berkenaan juga mengandungi kandungan kimia yang lain seperti raksa dan arsenik yang tinggi dan beracun," katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kunak Datuk Nilwan Kabang berkata kawasan air panas masin berkenaan cuma satu daripada banyak lokasi menarik di kawasan tersebut.

Menurut Nilwan, kawasan lain yang menarik di Kunak ialah kawasan air panas di Sungang, kolam lumpur gunung berapi di ladang Binuang, Gua Baturong di Tingkayu dan terowong Jepun yang dikatakan sepanjang lapan kilometer di Mostyn.

Kesemua khazanah unik di Kunak termasuk Gua Baturong iaitu sebuah gua batu kapur, amat berpotensi menjadi daya tarikan pelancong, kata Nilwan mengakhiri perbualan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain