COPD Bakal Jadi Pembunuh Ketiga Terbesar

Diterbitkan: Ahad, 30 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AWAS perokok! Berhentilah daripada terus membakar duit dan paru-paru anda.

Anda mungkin tidak berasa apa-apa, tetapi jika bukan sekarang, akan datang, 10 atau 20 tahun dari sekarang, anda mungkin menambah senarai pesakit sekatan pulmonari kronik atau COPD.

Ketika itu, anda mungkin kehilangan upaya dan kualiti hidup akan terjejas. Ketika badan masih sihat, berjalan 10 meter hanya mengambil beberapa saat, tetapi ketika diserang COPD, jarak 10 meter itu mungkin menjadi jarak terpanjang untuk dihabiskan dalam hidup anda!

Ini diakui sendiri oleh penghidap COPD, Shahrom Zainal Abidin, 72, yang mula bersahabat dengan rokok ketika berada di tingkatan dua lagi. Sejak itu tiada hari dilaluinya tanpa rokok sehinggalah usianya mencecah 40 tahun,

Tiada amaran atau tanda. Sedar-sedar, Shahrom sering mengalami sesak nafas dan mudah penat. Dia kemudian disahkan menghidap asma dan batuk yang teruk menyebabkan dia mengurangkan rokok.

Puas mencuba meninggalkan tabiat merokok, akhirnya Shahrom berjaya. Namun ketika itu pada 2007, dia didiagnos menghidap COPD dan dirujuk kepada Institut Perubatan Respiratori (IPR).

Keluar masuk hospital adalah perkara biasa ditambah kualiti hidupnya turut terjejas. Shahrom mengakui bukan sahaja dirinya, malah keluarganya turut menerima kesan daripada penyakitnya. Sesekali perasaan murung dan resah menghantui dirinya.

Malah, tidur malamnya bukan lagi diulit mimpi, tetapi sering diganggu dengan batuk yang berpanjangan.

Keadaannya sangat tidak selesa terutama ketika dia membuat kerja berat. Batuknya berpanjangan dengan pengeluaran kahak serta sesak nafas menyebabkan banyak kerja tertangguh.

Kini, Shahrom menjadi 'pengunjung tetap' di IPR dan diletakkan di bawah seliaan Datin Dr Aziah Ahmad Mahayiddin.

Walaupun percakapannya kadang-kadang sukar difahami akibat kesan COPD, namun penderitaannya dapat dikawal dengan bantuan "oxygen concentrator."

PENYAKIT JANGKA PANJANG

Menurut Dr Aziah yang juga Pengarah IPR, COPD atau batuk perokok ialah sejenis penyakit jangka panjang dan boleh mengancam nyawa orang dewasa yang melebihi usia 40 tahun.

"Ia boleh terjadi tanpa sebarang tanda sehingga kerosakan yang teruk pada paru-paru.

"Jika dirujuk ke hospital, doktor mungkin akan mengatakan batuk yang berpanjangan itu ialah batuk rokok," jelas beliau.

Kebanyakan kes COPD terbentuk selepas pendedahan berpanjangan kepada jelaga paru-paru yang merosakkan paru-paru dan saluran udara, terutama sekali paip, curut dan lain-lain asap tembakau. Bahkan, asap pasif turut menyakitkan paru-paru dan menyebabkan COPD.

Selain mengganggu tidur, pesakit juga akan mengalami sesak nafas walaupun hanya melakukan kerja harian seperti berjalan dan mendaki tangga. Saluran pernafasan perlahan-lahan menjadi sempit dan akhirnya menimbulkan rasa penat kerana setiap nafas yang ditarik memerlukan paru-paru bekerja kuat.

Pesakit lazimnya dikenal pasti melalui diagnosis dengan mengesan sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal, x-ray dan memeriksa fungsi paru-paru.

"Cara paling berkesan untuk mengatasinya ialah dengan menghentikan tabiat merokok. Ada kes yang menunjukkan seorang pesakit yang berhenti merokok sejak berbelas tahun yang lalu. Walaupun menjalani gaya hidup yang aktif, COPD tetap menyerang. Penyakit ini tidak ada penawar tetapi mudah diurus dengan penggunaan oxygen concentrator," terang Dr Aziah.

Selain masalah kepenatan dan pernafasan yang sukar, COPD boleh menyebabkan komplikasi fizikal seperti jangkitan paru-paru yang kerap, kegagalan sistem pernafasan, lemah jantung dan pengurangan berat badan.

LAKUKAN UJIAN

Bagi perokok, tidak perlu menunggu sehingga tanda-tanda COPD muncul, sebaliknya langkah pencegahan awal dengan melakukan ujian fungsi paru-paru ialah langkah pertama yang perlu diambil.

Bagi mengesan penyakit ini, ujian yang sangat penting dan senang dijalankan ialah ujian fungsi paru-paru menggunakan mesin spirometri.

Ujian ini mudah tanpa perlu suntikan atau ujian darah. Pesakit hanya perlu menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus keluar semua udara melalui satu tiub yang dipasang kepada mesin spirometer.

Ujian yang mengira kandungan udara di dalam paru-paru ini dapat mengesan penyakit COPD dan juga bagi menentukan tahap penyakit itu sama ada di peringkat sederhana, teruk dan sangat teruk.

Anggaran terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2007, seramai 210 juta individu menderita akibat COPD dan 3 juta lagi meninggal dunia kerana COPD pada 2005.

Ia membunuh lebih banyak nyawa berbanding HIV/AIDS. Menjelang 2030, WHO menjangkakan bahawa COPD akan menjadi penyebab kematian ketiga terbesar di dunia.

Kejadian COPD dijangka meningkat seiring dengan unjuran penggunaan tembakau. Di Malaysia, dijangkakan bahawa 50 peratus kaum lelaki merokok, manakala perokok wanita ialah 20 peratus daripada lebih 1 bilion penduduk dunia yang merokok.

Walaupun penyakit ini tidak boleh disembuhkan, tetapi COPD boleh dirawat secara berkesan. Doktor boleh membantu mereka yang hidup dengan COPD untuk memperbaik gejalanya dan memperlambat kerosakan pada paru-paru.

Ini membolehkan pesakit berasa lega malah mengizinkan mereka hidup aktif.

Bersempena dengan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 pada 31 Mei, WHO menjadikan sambutan tahun ini untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai akan bahaya penggunaan tembakau.

Ia turut melihat amalan perniagaan syarikat tembakau dan apa yang boleh dilakukan WHO untuk melawan gejala tembakau.

Malah WHO juga ingin mengajak masyarakat di seluruh dunia memikirkan apa yang boleh dilakukan bagi menuntut hak mereka ke atas kesihatan, hidup sihat dan melindungi generasi masa depan. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan