Abad Islam: Mitos Atau Realiti

Diterbitkan: Khamis, 27 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tokoh intelektual Islam Prof Dr Ali Al'Amin Mazrui mempunyai beberapa alasan mengapa abad Islam perlu dikira dan diklasifikasikan dari tahun 1950-an hingga 2050-an.

Alasan pertama, katanya, ialah kerana separuh daripada penduduk dunia Islam boleh dikatakan berada di bawah pemerintahan asing atau bukan Islam dalam sebahagian besar separuh pertama abad ke-20.

Ini termasuk wilayah dunia Islam yang pada hari ini dianggap sebagai empat penumpuan dunia Islam terbesar - Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan penduduk Islam di India.

Malaysia, Burma, separuh daripada dunia Arab dan hampir keseluruhan Afrika kulit hitam turut berada di bawah pemerintahan penjajah dalam tempoh itu.

Begitu juga halnya dengan Pakistan, yang ditubuhkan pada 1947 dan merupakan sebuah negara yang begitu besar sehingga meliputi Bangladesh ketika itu sebelum keluasannya berkurangan setelah kedua-duanya menjadi negara berasingan.

Dalam masa yang sama, kata Prof Dr Ali, sistem beraja turut menjadi amalan di dunia Islam, dengan separuh daripada negara berkenaan diperintah Sultan, Raja dan Amir.

Bagi orang Melayu, Sultan membentuk pemerintahan raja berperlembagaan, tetapi dalam dunia Islam di Timur Tengah, sistem berajanya dilanda beberapa gerakan revolusi yang bermula di Mesir pada 1952, di Iraq pada 1958 dan di Libya pada 1969.

Tetapi revolusi antiraja paling berpengaruh berlaku di Iran pada 1969 dan gerakan itu juga merupakan revolusi Islam yang membantu melonjakkan negara berkenaan ke arah mencapai status global.

KUASA POLITIK DAN EKONOMI

Bagaimanapun, ahli akademik itu berkata selepas begitu banyak berlakunya pergolakan anti setiaraja di Asia Barat, sistem beraja masih banyak diamalkan di di dunia Islam berbanding tamadun lain, seperti yang dapat dilihat di Arab Saudi, Brunei, Jordan, Maghribi, Oman, Emiriyah Arab Bersatu, Nigeria dan Malaysia.

Profesor Dr Ali, Pengarah Institute of Global Cultural Studies dari State University New York, Amerika Syarikat yang terkenal kerana sumbangan beliau terhadap perkembangan ilmu dan kesarjanaan Islam, membentangkan fakta ini ketika menyampaikan syarahan bertajuk 'Abad Islam: Mitos atau Realiti (Pencarian Tonggak Kebijaksanaan Moden) dalam edisi sulung siri Syarahan Perdana Putrajaya (SPP), baru-baru ini.

SPP ialah cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjemput sarjana, ahli akademik dan tokoh individu untuk memberi syarahan, berkongsi ilmu, idea dan inovasi dengan hadirin.

Orang Islam di Asia Selatan, kata Prof Dr Ali, berada jauh di hadapan dalam memberikan kuasa politik kepada wanita.

Beliau memberi contoh Benazir Bhutto yang merintis jalan sebagai wanita Islam pertama menjadi ketua kerajaan dalam sejarah moden. Bangladesh pula melahirkan dua wanita sebagai Perdana Menteri selama dua dekad dan merupakan satu-satunya negara yang mempunyai ketua kerajaan dan pembangkang wanita dalam satu masa.

Indonesia, negara yang mempunyai paling ramai penduduk Islam di dunia juga pernah dipimpin wanita untuk suatu ketika apabila Megawati Sukarnoputri menduduki kerusi presiden republik itu.

Katanya dunia Islam mencapai tahap ekonomi luar biasa pada separuh kedua abad ke-20 kerana mereka dikurniakan kekayaan petroleum. Arab Saudi dan Iraq misalnya, adalah negara yang mempunyai rizab minyak terbesar dunia, manakala dua pertiga daripada seluruh negara Islam merupakan anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (Opec).

EMPAYAR AMERIKA

Daripada pemerhatian beliau, seluruh Afrika, Asia dan kebanyakan negara Arab secara nominalnya bebas daripada penjajahan gaya lama pada penghujung abad ke-20, tetapi timbul pula fenomena baharu di bawah empayar yang berbeza bentuknya iaitu Amerika Syarikat yang berusaha memperkukuh kestabilan global mengikut acuannya.

Profesor Dr Ali mentafsirkan sejarah perhubungan antara dunia Islam dengan Barat sebagai satu peralihan yang menimbulkan huru-hara sejak runtuhnya Empayar Uthmaniyah selepas Perang Dunia Pertama hinggalah kepada kebangkitan Empayar Amerika selepas berakhirnya Perang Dingin.

Kebangkitan empayar Amerika, katanya, mengekploitasi pemecahan dunia Arab dan umat Islam juga berdepan dengan bahana tamatnya pemerintahan Khalifah Islam yang menjadikan mereka semakin terasing.

Dalam menghadapi ketidakseimbangan antarabangsa dan hegemoni Amerika yang baharu ini, Profesor Dr Ali mencadangkan agar seluruh umat manusia mewujudkan Etika Global baharu yang menetapkan satu kriteria merentas tamadun tentang betul atau salahnya sesuatu perkara atau tindakan.

TUJUH TONGGAK

Dalam syarahan itu, Profesor Dr Ali mencadangkan agar 'The Seven Pillars of Wisdom" yang digariskan T.E .Lawrence (Lawrence of Arabia) pada tahun 1926 dalam karyanya, digantikan dengan Tujuh Tonggak Kebijaksanaan yang baharu bagi digunakan dalam keseluruhan abad Islam. (Prod Dr Ali menganggap Lawrence, anggota tentera British, sebagai penyumbang kepada keruntuhan empayar Uthmaniyyah, "orang asing di dunia Arab" yang menjadi simbol bagaimana orang asing dalam kelompok kita boleh mengubah haluan sejarah kita).

Tonggak pertama kebijaksanaan yang ditekankan beliau ialah toleransi - sikap bertolak ansur dan meminimumkan keganasan.

Namun demikian, beliau juga melontarkan persoalan adakah umat Islam dalam abad Islam ini mudah terdedah kepada konflik?

Siapakah yang mewujudkan rangkaian antara keganasan dan Islam yang bersifat politik?

Sesetengah budaya, kata beliau, sememangnya sejak azali lagi tidak boleh bertolak ansur, ada pula yang berubah sikap menjadi tidak boleh bertolak ansur dan ada juga yang dipaksa supaya jangan bertolak ansur.

Berapa banyakkah keganasan di dunia Islam yang lahir secara semula jadi dan berapa banyak pulakah keganaan yang dipaksakan ke atas orang Islam? Bolehkah dunia Islam membebaskan diri daripada segala macam konflik yang mereka hadapi lalu menjadi model yang baik bagi seluruh masyarakat dunia dunia? soal beliau.

Tonggak kebijaksanaan kedua yang ditegaskan Prof Dr Ali ialah mengoptimumkan kesejahteraan ekonomi penduduk.

Dalam hal ini, beliau bertanya apakah tahap egalitarian yang wujud dalam budaya umat Islam dan orang Melayu dan sama ada Malaysia, misalnya, menangani cabaran berbilang kaum yang wujud dalam kalangan rakyatnya dengan menekankan peri pentingnya sikap saling menghormati.

SAMA RATA

Ketika barat pada kurun ke-20 mengembangkan konsep negara kebajikan, orang Melayu lebih dulu membangunkan konsep kebajikan kampung. Jauh sebelum sosialisme kebajikan bermula di Britain, orang Melayu sudah membangunkan sistem de facto tanggungjawab bersama terhadap anak yatim, mereka yang tidak berdaya, kalangan orang tua dan yang memerlukan.

Tonggak kebijaksanaan ketiga bagi beliau ialah pencarian terhadap keadilan sosial. Ia merupakan satu perjuangan bagi mengurangkan ketaksamaan etnik dan keseimbangan yang berpaksikan sifat perikemanusiaan.

Ini kerana, daripada segi keganasan politik prejudis kaum dan diskriminasi, "dunia Islam dipenuhi manusia yang banyak dosa dilakukan terhadap mereka daripada mereka berbuat dosa."

Keempat ialah kesamarataan gender asas dan yang menariknya, Prof Dr Ali menekankan bagaimana umat Islam di Asia melayani kaum wanita.

Di sesetengah negara Islam, wanita mendapat lebih banyak hak pengupayaan berbanding wanita di Amerika Syarikat dan dunia Islam telah membuktikan keterbukaan mereka dengan melahirkan ketua kerajaan wanita.

Tonggak kelima yang disaran Profesor Dr Ali ialah pencarian terhadap keseimbangan ekologi dan perlindungan bumi daripada eksploitasi dan kemusnahan melampau.

Gerakan hijau yang berlaku beberapa dekad kebelakangan ini turut dicetuskan oleh estetika pemeliharaan. Konsep spesies terancam merangkumi perbuatan memelihara biodiversiti yang berteraskan kepercayaan bahawa dunia yang kurang mempunyai spesies haiwan dan jenis tumbuh-tumbuhan adalah dunia yang kurang keindahannya.

Umat Islam memilih hijau sebagai warna Islam sebahagiannya kerana hijau melambangkan kedamaian dan pada pertengahan abad ke-20, warna hijau digunakan oleh gerakan alam sekitar yang berasa bertanggungjawab untuk memelihara bukit-bukau serta lembah dan lurah, katanya.

PENCARIAN ILMU

Mengenai tonggak kebijaksanaan keenam iaitu dialog dan kerjasama antara agama, Prof Dr Ali menarik perhatian bahawa Asia secara keseluruhannya ialah ibu kepada semua agama utama dunia - Hindu, Buddha, Confucius, Yahudi, Kristian dan Islam.

Dalam hubungan antara penganut Kristian dan orang Islam di Asia pula, kedua-duanya bertambah dari segi bilangan penganut dan pengaruh.

Namun bolehkah kedua-duanya hidup bersama-sama dengan aman? Orang Kristian dan Islam terbahagi di Asia dan Afrika hanya jika mereka terlebih dahulu memperkukuh perbezaan etnik dan bahasa masing-masing, katanya.

Kegigihan memburu kebijaksanaan yang lebih hebat, dipilih Prof Dr Ali sebagai tonggak ketujuh berasaskan hakikat bahawa wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad ialah mengenai pencarian ilmu iaitu perkataan Iqra (Bacalah).

Umat Islam, katanya, bersifat amat kreatif apabila bersedia mempelajari matematik dari India, falsafah dari Yunani Kuno, seni bina dari Parsi, sains dari Yahudi dan perundangan dari Rom.

Rasullulah menyeru umat Islam supaya menuntut ilmu hingga ke negeri Cina dan kebijaksaaan baginda itu terserlah apabila China muncul sebagai sebuah negara hebat.

Dalam hal ini, Prof Dr Ali menggambarkan kemungkinan akan muncul gabungan antara negara Islam dengan negara yang mewarisi ajaran Confucias itu pada penghujung abad ke-20.

Beliau menegaskan bahawa kebijaksanaan bermula apabila kita memahami diri kita sendiri dan kebijaksanaan menjadi matang apabila kita berhasrat mencapai standard manusia yang lebih tinggi.

Katanya lagi, standard kemanusiaan sebenarnya dapat dilihat melalui cara kita melayan orang asing dalam kelompok kita.

"Marilah kita berbuat demikian melalui bimbingan Tujuh Tonggak itu. Seperti yang diuar-uarkan oleh buku perumpamaan kepada dunia 2000 tahun dahulu, `Kebijaksanaan telah membina sebuah rumah; ia telah mengukir tujuh tonggaknya'.

Dalam cara moden kita sendiri, marilah kita memberi respons kepada perkara yang sangat penting itu," katanya.

Bagaimana, kata sarjana itu, perspektif terhadap ketujuh-tujuh tonggak kebijaksanaan baharu ini perlulah bertindak balas terhadap kepelbagaian yng wujud dalam kalangan umat Islam itu sendiri serta antara umat Islam dan masyarakat lain.

Beliau bagaimanapun berkata dalam hal ini, terdapat juga bayang-bayang Pan Amerika dan persoalannya ialah ke manakah arah tuju Empayar Amerika selepas ini.

Beliau meramalkan bahawa Amerika lama kelamaan akan dijinakkan oleh Islam apabila abad Islam membuka tirai dekad selebihnya menuju ke arah tahun 2050. Daripada ketegangan yang wujud antara Amerika dan dunia Islam, sebuah tamadun yang lebih bersifat kemanusiaan akhirnya akan muncul juga. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan