suria

Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia Dapat Pujian

KUALA LUMPUR: Dr John Tomaro, Pengarah Program, Kesihatan Aga Khan Foundation (AKF), agensi di bawah Aga Khan Development Network (AKDN) pernah menjejakkan kaki ke Malaysia.

Beliau berkunjung ke negara ini pada 2006 dengan beberapa orang pegawai Kementerian Kesihatan Tajikistan untuk mempelajari sistem penjagaan kesihatan Malaysia.

April lepas, Dr Tomaro kembali semula ke Malaysia dan kali ini mengetuai misi bersama teknikal dari Kementerian Kesihatan Syria.

Matlamatnya ialah untuk mengkaji Program Perubatan Keluarga Malaysia dan mengkaji komponen sistem kesihatan Malaysia serta model pelaksanaan penjagaan kesihatan.

Kumpulan ini mengumpul maklumat yang mungkin dapat meningkatkan pelaksanaan perkhidmatan kesihatan di negara lain, terutama di Asia Barat dan Asia Tengah.

SETINGGI PUJIAN

Dalam wawancara dengan Bernama di akhir lawatan empat hari, Dr Tomaro tidak putus-putus memuji sistem penjagaan kesihatan Malaysia.

"Kami ke sini kerana, seperti Syria, Malaysia ialah negara berpendapatan pertengahan. Malaysia juga cemerlang dalam menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan untuk penduduknya.

"Akses ini, daripada pemerhatian dan taklimat yang diberikan meliputi semua peringkat, daripada hospital komuniti kepada hospital universiti," kata Dr Tomaro.

Beliau sebelum itu menjelaskan perwakilan Syria berminat mengetahui lebih lanjut mengenai program perubatan keluarga di Malaysia serta fungsi sistem kesihatan daerah kerana ia mahu memperkukuh elemen sistem kesihatan Syria.

Menurut Dr Tomaro, kebanyakan negara di mana AKDB beroperasi ialah negara yang secara umumnya rakyat mereka berpendapatan rendah, termasuk India, Pakistan, Tajikistan dan Afghanistan.

"Daripada perspektif AKDN, membawa delegasi Syria ke Malaysia lebih bermanfaat daripada membawa mereka ke negara-negara di mana kami beroperasi.

"Memangkan sistem dan amalan yang baik di Malaysia, AKDN berminat sekiranya pihak kami dapat memainkan peranan dalam penjalinan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Syria dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Sistem penjagaan kesihatan Malaysia ialah contoh pelaksanaan penjagaan yang begitu teratur mengandungi beberapa elemen yang boleh diguna pakai oleh negara-negara lain," kata Dr Tomaro.

Bertugas di ibu pejabat AKF di Geneva, Switzerland, Dr Tomaro dan rakan sejawatannya dalam AKDN berganding bahu dengan Kementerian Kesihatan Syria untuk membangunkan sistem penjagaan kesihatan Syria terutama di Daerah Salamieh, Jajahan Hama.

KOMITMEN MENDALAM

Menurut Dr Tomaro, kunjungan ke klinik kesihatan di Sabak Bernam dan Hulu Langat ialah antara acara penting lawatan ke Malaysia.

Beliau menyifatkan klinik-klinik itu sebagai 'menakjubkan'.

"Kami bermula di klinik peringkat paling rendah di Sabak Bernam dan berpeluang melihat apa yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan dan kerajaan Malaysia untuk rakyatnya.

"Kami membuat beberapa pengamatan dalam catatan bertulis yang kami tinggalkan di setiap klinik. Paling penting ialah penjagaan kesihatan di Malaysia amat menyeluruh dan rakyat negara ini dapat mengaksesnya dengan mudah.

"Sistem ini menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada penjagaan kesihatan asas untuk ibu dan anak kepada penjagaan penyembuhan untuk pesakit luar di samping pelbagai kemudahan lain.

"Ia juga menawarkan program pemulihan fizikal, perkhidmatan kesihatan mental dan program untuk merawat penyakit berjangkit," jelas Dr Tomaro.

Beliau berkata perkhidmatan yang disediakan di klinik-klinik kesihatan disusun serta dilaksanakan menurut garis panduan serta protokol yang jelas.

"Dalam sistem kesihatan Malaysia, petugas dan pesakit mengikut garis panduan rawatan. Pesakit diberi rawatan dan petugas melengkapkan borang data yang disalurkan ke lokasi pusat. Data dianalisis dan hasilnya dimaklumkan ke klinik dan digunakan untuk memperbaiki penyampaian maklumat dan penjagaan," kata Dr Tomaro.

Beliau juga membuat komen bahawa petugas klinik kelihatan begitu berdedikasi dan amat maklum tentang dasar dan prosedur kementerian.

"Jururawat kesihatan komuniti atau pakar perubatan keluarga boleh menceritakan bagaimana dasar disusun dan memberikan ringkasan tanggungjawab pegawai kesihatan serta pelanggan. Nampaknya semua orang diberi taklimat yang cukup baik.

"Satu-satunya rungutan yang kami dengar apabila kami melihat kepada penilaian jaminan kualiti ialah masa menunggu. Pelanggan tidak berapa gembira kerana terpaksa menunggu begitu lama untuk mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan umum. Bagaimanapun, tidak ada rungutan tentang kualiti penjagaan atau kemahiran petugas kementerian. Komunikasi antara petugas dan pelanggan dinilai sebagai amat baik.

"Pelanggan melaporkan mereka merasa dihormati dan petugas tahu akan tugas masing-masing. Semuanya ini ialah penunjuk penting sistem kesihatan yang berfungsi dengan baik," tambahnya.

BUAT PERBANDINGAN

Perkhidmatan yang amat mendapat pujian Dr Tomaro ialah penjagaan ibu mengandung dan selepas bersalin yang disediakan untuk ibu dan bayi mereka.

Beliau menyifatkannya sistem itu dibangunkan dengan begitu baik sekali berbanding sesetengah negara di mana AKDN beroperasi.

"Wanita mengandung yang mendapatkan perkhidmatan ini diberi satu kad atau buku kecil di mana catatan akan dibuat mengenai keadaannya sewaktu dia mengandung, bersalin dan selepas bersalin.

"Keadaan wanita yang mengandung ini akan dipantau rapi dan dia mempunyai pilihan di mana dia mahu bersalin. Lawatan ke klinik selepas bersalin juga dipantau.

"Bila si ibu datang ke klinik dengan bayinya, kedua-duanya akan dilayani pada masa yang sama. Program perkhidmatan ini pada pengamatan saya ternyata hebat," kata Dr Tomaro.

Menurut beliau, penjagaan selepas bersalin sering diabaikan dalam sistem kesihatan di negara-negara lain. Dalam sesetengah sistem, katanya, si ibu akan hanya mendapat rawatan apabila mereka membawa bayi yang sakit ke klinik. Penjagaan ibu selepas bersalin bukan satu perkara rutin.

Dr Tomaro turut menyatakan kehairanannya melihat begitu ramai para suami menemani isteri masing-masing di klinik kesihatan dan menyifatkan keadaan itu amat "menggalakkan", setidak-tidaknya bagi diri beliau.

Beliau juga merasa kagum dengan kemudahan yang dipanggil "rumah menunggu sebelum bersalin" yang terdapat di Malaysia, untuk komuniti yang terletak jauh dari klinik kesihatan yang menawarkan perkhidmatan ibu bersalin.

Rumah berkenaan memastikan wanita mengandung mempunyai akses kepada penjagaan yang sepatutnya bila sampai masa mereka untuk bersalin.

Cuma yang menjadi kekecewaan beliau ialah tidak ada data bagaimana kemudahan itu menyumbang kepada pengurangan kadar kematian sebelum dan selepas bersalin.

"Saya diberitahu rumah menunggu sebelum bersalin ini mempunyai kesan besar dalam mengurangkan nisbah kematian sebelum dan selepas bersalin.

"Bagaimanapun, pihak kementerian masih belum mengkaji dan mendokumenkan perkara ini. Langkah ini penting untuk menyakinkan negara-negara lain untuk mengaplikasi apa yang Malaysia telah buat," katanya.

Dr Tomaro memberitahu bahawa AKDN memperkenal kemudahan yang sama untuk wanita hamil di Afghanistan dan berharap dapat mencapai hasil yang baik seperti yang dicapai di Malaysia.

WANITA DAN KANAK-KANAK

Menurut Dr Tomaro, AKDN mempunyai komitmen yang tinggi dalam menangani keperluan kesihatan dan pembangunan ibu, bayi dan kanak-kanak.

"Wanita dan kanak-kanak paling mudah terdedah kepada bahaya dalam mana-mana masyarakat. Program yang menjaga kepentingan ibu dan anak-anak kecil mereka menyumbang kepada peningkatan dalam kesihatan menyeluruh penduduk," kata beliau.

Di samping merasa kagum dengan kemudahan dan perkhidmatan yang terdapat di klinik kesihatan yang dikunjunginya, beliau turut terpegun melihat begitu ramainya pelanggan yang datang.

Keadaan itu, katanya amat jauh berbanding dengan klinik kesihatan awam di kebanyakan negara.

"Di kebanyakan negara, memang tidak ada bayaran untuk kemudahan kesihatan awam seperti di Malaysia. Cuma, tak ada petugas, farmasi dan boleh dikatakan tiada perkhidmatan. Klinik kesihatan awam tak lebih daripada sebuah bangunan kosong," katanya.

PERKHIDMATAN KESIHATAN AWAM DAN SWASTA

Dengan membuat perkiraan matematik mudah, Dr Tomaro menganggarkan kerajaan Malaysia membelanjakan sekitar AS$75 seorang setahun untuk perkhidmatan kesihatan.

"Macam mana kami mendapat angka ini? Kami hanya membahagikan jumlah bajet kesihatan, kalau saya tak silap kira-kira RM27 bilion, dengan jumlah penduduk. Malaysia membelanjakan lebih berbanding negara-negara lain yang boleh melabur lebih banyak lagi.

"Tahap komitmen kewangan ini menunjukkan kerajaan Malaysia serius tentang kesihatan penduduknya. Ini penunjuk yang amat bermakna," katanya.

Dr Tomaro turut membuat komen mereka yang menggunakan kemudahan kesihatan awam boleh mendapatkan semua bentuk rawatan yang diperlukan termasuk farmasi, dengan hanya membayar RM1.

Dalam memuji sistem yang menyediakan perkhidmatan yang meluas dengan bayaran hanya RM1, Dr Tomaro secara peribadi berpendapat amalan itu tidak boleh terus-menerus dilaksanakan.

Ini, katanya, kerana kenaikan tinggi kos untuk peralatan perkhidmatan dan teknologi perubatan.

Beliau juga dimaklumkan sesetengah hospital universiti awam di Malaysia telah memperkenalkan wad dan perkhidmatan persendirian di mana pelanggan perlu membayar lebih untuk mendapatkan perkhidmatan.

Menurut Dr Tomaro, pegawai-pegawai Kementerian Syria menunjukkan minat terhadap pendekatan itu dan ingin menentukan sama ada sistem berkenaan boleh diperkenal di Syria.

Setidak-tidaknya, beliau berkata pendekatan itu boleh meringankan beban berat yang ditanggung oleh hospital kerajaan.

"Pada masa ini," tambah beliau, "nampaknya untuk setiap pesakit di hospital swasta di Malaysia, mungkin ada 15 pesakit di hospital kerajaan. Ini beban yang amat besar ke atas sistem kesihatan awam."

Dr Tomaro berpendapat satu cabaran yang dihadapi Malaysia dan banyak negara lain ialah untuk mencari cara baru bagi membiayai penjagaan kesihatan dan dalam masa yang sama mendapatkan sektor swasta memainkan peranan lebih aktif dalam melindungi kesihatan penduduk.

AKTIVITI AKDN

AKDN melaksanakan beberapa program kesihatan di Asia Tengah dan Asia Selatan serta Afrika Timur di samping mengendalikan 325 kemudahan kesihatan termasuk sembilan hospital.

Program ini dibangun dan diuruskan oleh Aga Khan Health Services dan Aga Khan University, kedua-duanya anggota institusi AKDN.

Insitusi-institusi ini dianggap mengendalikan satu daripada sistem penjagaan kesihatan swasta (bukan untuk keuntungan) paling menyeluruh di dunia sedang membangun.

Kedua-dua institusi ini menyediakan penjagaan kesihatan utama serta penyembuhan di negara-negara termasuk Afghanistan, India, Kenya, Pakistan, dan Tanzania.

Sebagai tambahan, pihak berkenaan juga menawarkan bantuan teknikal kepada sistem kesihatan kerajaan di Syria, Tajikistan dan negara-negara lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain