suria

Inap Desa Mengkuang Titi Gamit Pelancong

Rombongan Homestay Mengkuang Titi termasuk wakil media tidak melepaskan peluang merakamkan saat manis di Mengkuang Dam, Pulau Pinang, anjuran RM Travel & Tours Sdn Bhd dan Perda dengan kerjasama KTMB. Program di bawah projek Rail Tourism Kementerian Pelancongan ini membawa wakil media dan ejen pelancongan berkampung selama tiga hari dua malam di Homestay Mengkuang Titi. - Foto BERNAMA
Rombongan Homestay Mengkuang Titi termasuk wakil media tidak melepaskan peluang merakamkan saat manis di Mengkuang Dam, Pulau Pinang, anjuran RM Travel & Tours Sdn Bhd dan Perda dengan kerjasama KTMB. Program di bawah projek Rail Tourism Kementerian Pelancongan ini membawa wakil media dan ejen pelancongan berkampung selama tiga hari dua malam di Homestay Mengkuang Titi. - Foto BERNAMA
Rombongan Homestay Mengkuang Titi termasuk wakil media tidak melepaskan peluang merakamkan saat manis di Mengkuang Dam, Pulau Pinang, anjuran RM Travel & Tours Sdn Bhd dan Perda dengan kerjasama KTMB. Program di bawah projek Rail Tourism Kementerian Pelancongan ini membawa wakil media dan ejen pelancongan berkampung selama tiga hari dua malam di Homestay Mengkuang Titi. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai penduduk tempatan beranggapan program percutian 'homestay' atau inap desa hanya untuk pelancong luar negara, walhal hakikat ini tidak benar.

Sebenarnya percutian inap desa ini turut membuka pintu luas kepada pelancong domestik sebagai pendedahan kepada generasi ketika ini yang lebih mengenali budaya luar berbanding kemewahan warisan masyarakat tempatan.

Lagipun, sekali-sekala menukar perancangan percutian anda dengan program sebegini, bukankah lebih menyeronokkan berbanding penginapan di hotel?

Persepsi sesetengah orang "Ala, kalau percutian berbentuk homestay ni lebih baik aku bercuti di kampung nenek aku aje," adalah silap sama sekali.

Setiap kampung mempunyai keunikan tersendiri dan sebagai rakyat tempatan rasanya tidak salah sekiranya mengambil kesempatan yang ada menyusuri suasana itu menerusi percutian inap desa.

KESERONOKAN MENAIKI KERETA API

Baru-baru ini, penulis berpeluang merasai sendiri keasyikan dan keseronokan percutian sebegitu anjuran RM Travel & Tours Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Program itu, di bawah projek Rail Tourism Kementerian Pelancongan, menyaksikan sekumpulan wakil media dan ejen pelancongan dibawa berkampung selama tiga hari dua malam di sebuah daerah yang mempunyai pelbagai produk pelancongan.

Kumpulan itu dibawa "mengembara" dari stesen KL Sentral dengan perkhidmatan Senandung Utara ke stesen Butterworth, sebagai platform untuk menuju destinasi utama "Homestay Mengkuang Titi" di Pulau Pinang.

Sudah lama rasanya kaki ini tidak menjengah perkhidmatan kereta api sebagai pilihan ke mana-mana destinasi luar dari ibu kota.

Kalau diimbau kembali, kali terakhir memori menaiki kereta api ialah sewaktu zaman belajar dan pengalaman terbaru ini memberi lembaran menarik buat penulis apabila melihat dan merasai sendiri pelbagai perubahan yang dilakukan KTMB untuk menambah baik perkhidmatan.

Sambil dikelilingi pohon menghijau, pakej percutian selesa ini memberi peluang menikmati satu kepuasan maksimum dan merasai pengalaman dilonjak dan dibuai sekali sekala apabila menempuh perjalanan tidak rata di kawasan Bukit Berapit serta melintasi keindahan Tasik Merah.

Dengan kelajuan dalam lingkungan 110km sejam, perjalanan ke stesen Butterworth mengambil masa lebih enam jam.

Biarpun agak letih, ketibaan kumpulan ini disambut meriah oleh pengusaha inap desa dan penduduk kampung Mengkuang Titi dengan alunan irama paluan kompang, rebana ubi, gendang silat, bunga manggar, sirih junjung dan tidak lupa juga tradisi utama, sambutan bunga telur.

Bagaikan meraikan kedatangan pengantin dan inilah keunikan yang dijanjikan apabila percutian inap desa menjadi pilihan.

RAHSIA TERURAI

Mengkuang Titi, perkampungan pelancongan terulung terletak kira-kira 25km dari Butterworth dan 32km dari Georgetown, Pulau Pinang dan mula didatangi tetamu dari merata dunia apabila program inap desa diperkenal pada 1997.

Kini, sudah 13 tahun berlalu dan ia banyak membantu penduduk kampung menambah pendapatan sampingan.

Sudah tentu, ramai tertanya-tanya apakah keunikan yang ditawarkan di Mengkuang Titi ini.

Mungkin, ada seribu satu rahsia lain yang terselindung di sebalik keindahan kampung ini dan kunjungan wakil media ke situ berpeluang merungkai keunikan ini apabila diberi kesempatan bermalam di rumah ibu dan bapa angkat masing-masing.

Sejak hari pertama tiba di Mengkuang Titi, pelbagai makanan dihidangkan - kari ikan bawal, sambal belacan, ayam goreng kampung berempah ditambah pula dengan pelbagai ulaman - membawa kepada pengalaman menyeronokkan tinggal di desa.

MESRA

Kami turut dibawa melawat industri kampung seperti membuat kuih bahulu, bedak sejuk, aktiviti memetik buah kelapa, kebun getah dan buah-buahan, ladang kelapa sawit dan juga mendapatkan rawatan refleksologi.

Biarpun begitu, tidak lengkap gayanya jika tidak melihat akitiviti menganyam tikar kerana ia ada kaitan dengan nama kampung ini, Mengkuang Titi.

Menurut koordinator program Homestay Mengkuang Titi Rohaizat Othman, kampung itu dinamakan "Mengkuang" kerana sebelum ini kawasan itu dipenuhi dengan pokok mengkuang, yang daunnya menjadi bahan asas membuat tikar.

"Mengkuang Titi dibahagikan kepada beberapa zon iaitu zon A, B dan C. Jadi, setiap zon mempunyai daya tarikan masing-masing.

"Contohnya Zon A mempunyai sebuah rumah tradisional, memang kalau pelancong luar negara terutamanya akan menginap di rumah itu. Di zon B, kita ada perusahaan sate dan ladang getah manakala zon C, ada sungai dan dusun buah-buahan," katanya.

Hari terakhir di Mengkuang Titi membawa kumpulan pelawat ke Muzium Perang yang terletak di Bukit Batu Maung, Pulau Pinang.

Bukan sahaja kagum melihat kubu bawah tanah di situ yang dibina pihak British pada 1930, dan digunakan untuk berlindung daripada serangan udara Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, malah kehadiran pengunjung disambut dengan letupan meriam seolah-olah mereka berada di medan perang.

Menurut Pengarah Muzium Johari Shafie, kubu itu juga berperanan sebagai tempat menyimpan senjata dan peluru.

Kubu itu menerima kunjungan menggalakkan sama ada pelancong luar negara mahupun tempatan dengan tahun lepas sahaja 123,600 pengunjung melawat tempat itu, katanya.

Selain merasai pengalaman ketika Perang Dunia Kedua, pengunjung juga berpeluang mencuba pelbagai aktiviti seperti melawat muzium pada waktu malam, bermain paintball dan paling menarik menyertai "permainan perang".

MEMPERKASA INAP DESA

Mengkuang Titi, bukanlah satu-satunya perkampungan Melayu di Pulau Pinang yang terlibat dengan program percutian berkonsepkan inap desa. Menurut Pengurus Besar Perda Datuk Azmi Lateh, ketika ini terdapat lapan lagi perkampungan di Pulau Pinang yang menawarkan percutian inap desa Teluk Bahang, Sungai Semilang Juru, Jalan Bharu, Pulau Betong, Sungai Chenaam, Sungai Setar, Sungai Duri dan Pulau Aman yang dibantu daripada segi promosi oleh Perda di dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata industri inap desa yang menumpukan kepada adat resam, budaya dan cara hidup masyarakat luar bandar mempunyai potensi besar dan tidak memerlukan pelaburan yang tinggi.

"Industri ini perlu dibangunkan dengan lebih agresif," katanya ketika melancarkan promosi e-pemasaran homestay di Felda Tinggi.

E-pemasaran homestay yang dilancarkan Disember tahun lepas membolehkan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu mengikuti program inap desa membuat tempahan secara terus melalui telefon 3G tanpa melalui orang tengah.

Muhyiddin berkata e-pemasaran homestay mencapai lebih 14 juta pelanggan berpotensi, manakala portal rasminya iaitu www.go2homestay.com diakses lebih daripada 4,900 pengguna.

Industri inap desa mencatatkan kemasukan 23.65 juta pelancong pada tahun lepas yang menjana pendapatan keseluruhan RM53 bilion. - BERNAMA

Artikel Lain