suria

Beli Cara Online Tingkatkan Permintaan Hantar Pos

BARU 17 bulan Datuk Syed Faisal Albar menerajui Pos Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif tetapi cabaran yang harus didepani sudah tersedia menanti.

Bukan satu rahsia lagi bagaimana agensi perkhidmatan pos di seluruh dunia mengalami penurunan dari segi penggunaan mel konvensional sejak kemunculan mel dalam dunia siber iaitu emel.

Ditambah dengan kenaikan harga minyak, serta juga kadar inflasi yang semakin meningkat dan keperluan meruncing bagi kenaikan gaji pekerja pos, Pos Malaysia nampaknya perlu melakukan sesuatu agar agensi ini masih boleh 'bernafas'.

Bagaimanapun Syed Faisal bersyukur kerana selepas 18 tahun, iaitu satu masa yang agak lama, kerajaan bersetuju dengan kenaikan caj perkhidmatan pos.

Dalam satu temu bual dengan Bernama, Syed Faisal menceritakan bagaiman Pos Malaysia akan menggunakan kenaikan tarf itu bagi menyelesaikan beberapa masalah yang meruncing selain memperbaik perkhidmatannya.

PERKHIDMATAN KURIER DALAM ERA SIBER

Pos Malaysia mempunyai tiga cabang perniagaan iaitu mel biasa, perkhidmatan kurier (PosLaju) dan juga 'runcit' merangkumi transaksi dilakukan di kaunter. Ketika penggunaan mel konvensional semakin menurun di seluruh dunia, permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran bungkusan semakin meningkat disebabkan popularnya membeli barangan secara online.

Industri kurier ialah antara penyumbang ekonomi terbesar di Malaysia, memberikan pendapatan sebanyak RM1.8 bilion setahun di mana PosLaju menguasai 27 peratus daripada industri kurier tempatan.

"Jika penggunaan kemudahan jalur lebar jadi lebih meluas, ini akan menyuburkan lagi transaksi beli barang secara online. Industri ini memang besar di Amerika Syarikat.

"Perkembangan perkhidmatan kurier memang bertaut rapat dengan membeli secara online", kata beliau.

Menurut Syed Faisal walaupun beli secara online sudah mula bertapak di Malaysia, masih terdapat beberapa isu yang menghalang ramai daripada menggunakannya.

Antaranya ialah pembayaran melalui Internet yang tidak begitu diyakini dan juga terdapat kes di mana barang yang dipesan dan dibayar gagal dihantar oleh penjual atau pembekal.

Bagi menggalakkan lagi ramai rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan online Internet, Syed Faisal berkata Pos Malaysia akan membina portal online khas bagi perkhidmatan itu.

"Kami sedang mengkaji apa-apa barang atau produk yang sesuai dibeli melalui Internet. Kelebihan bagi kami ialah kami sudah bertapak dalam perkhidmatan menghantar barang.

"Satu lagi kelebihan ialah kami boleh menggunakan kemudahan yang sedia ada seperti sistem 'Track and Trace' (pencarian). Kemudahan ini membolehkan pengirim bungkusan, melalui satu nombor pencarian yang diberikan kepada pengirim, mengetahui di mana bungkusan mereka pada ketika itu".

PosLaju juga mempunyai jaringan fasiliti dalam bentuk pejabat pos di seluruh negara.

Menurut Syed Faisal, sudah banyak perkhidmatan pos di seluruh dunia menggunakan portal membeli secara online, menggunakan kepercayaan konsumer terhadap jenama perkhidmatan mereka.

"Contohnya konsumer akan berasa lebih selamat jika mereka memesan telefon Blackberry secara online melalui Pos Malaysia berbanding menggunakan portal yang mereka tidak menaruh keyakinan."

Menurut Syed Faisal, portal online akan membawa perniagaan dari satu pasaran di mana konsumer mahukan membeli secara online, kepada Pos Malaysia.

"Pos Malaysia memang dikenali sebagai perniagaan berbentuk fizikal tetapi ini (perniagaan melalui portal) akan membantu kami memasuki satu pasaran yang tidak kita hiraukan selama ini," kata beliau.

Pos Malaysia juga sedang mengkaji menggunakan cara pembayaran yang lebih selamat sebagai alternatif terhadap beli secara online, iaitu tunai dalam penghantaran produk.

Bila ditanya sama ada Pos Malaysia akan bekerjasama dengan portal peruncit mega seperti Amazon.com dan eBay, Syed Faisal berkata Pos Malaysia percaya adalah baik baginya memberi fokus terhadap pasaran tempatan yang berasaskan konsumer.

Kata beliau Pos Malaysia merancang kerjasama dengan rangkaian hipermarket bagi memudahkan mereka (hipermarket) mempromosi produk mereka di dalam portal itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain