'Missy' Dulu, 'Misi' Sekarang

Diterbitkan: Isnin, 10 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sudah banyak yang diperkata tentang kerjaya seorang jururawat tetapi mungkin ramai tidak tahu kenapa seorang jururawat secara umumnya dipanggil atau dikenali sebagai 'Misi' oleh orang ramai?

"Tidak siapa yang betul-betul tahu dari mana asalnya panggilan itu dalam profesion kejururawatan tempatan atau kenapa jururawat dikenali sebagai 'Misi'," menurut seorang pesara jururawat, Anne Frances.

Bagi Frances, di Malaysia panggilan 'Misi' terhadap seorang jururawat mungkin muncul pada zaman penjajahan oleh pihak British.

"Dalam Bahasa Inggeris, 'Missy' ialah panggilan terhadap wanita muda atau anak gadis. Pada zaman kolonial, doktor British akan memanggil jururawat muda sebagai 'Missy'. Ia satu cara yang sopan bagi menyapa seorang jururawat yang anda tidak tahu namanya.

"Jadi di hospital ketika itu, adalah perkara biasa bagi kita memanggil jururawat sebagai 'Missy' tidak kira siapa namanya yang sebenar," kata beliau.

Kata Frances lagi, penduduk tempatan termasuk masyarakat Melayu kemudian menjadi serasi dengan panggilan ini yang kemudian bertukar menjadi 'Misi' sehinggalah ke hari ini.

SEJARAH KEJURURAWATAN

Menurut sejarah, bidang kejururawatan di negara ini mula bertapak di awal tahun 1900-an. Penubuhan sekolah perubatan pertama iaitu Kolej Perubatan King Edward VII pada tahun 1905 di Singapura, membantu perkembangan kerjaya kejururawatan tempatan.

Semasa tahun-tahun awal dalam bidang ini, jururawat belajar tentang apa yang perlu mereka buat daripada 'matron' (ketua jururawat kanan) semasa bertugas.

Pada mulanya perkembangan dalam bidang ini memang agak perlahan. Dalam tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, kerjaya sebagai jururawat tidak menarik minat ramai kerana bidang ini dianggap sebagai 'kelas rendah'.

Menurut seorang pegawai kejururawatan di sebuah institusi kesihatan, jururawat pada era selepas perang hanya menjalankan tugas ringkas seperti memandikan serta menyuapkan makanan pada pesakit, membersihkan luka atau hanya memberikan ubat seperti yang diarahkan doktor.

"Ketika itu, persepsi masyarakat ialah jururawat hanya bertugas menjalankan kerja-kerja 'kotor' seperti membersihkan pesakit. Tidak seperti sekarang di mana terdapat banyak bidang khas yang memerlukan jururawat pakar," kata beliau, sambil menambah, kini jururawat juga memberikan antibiotik secara intravena (melalui saluran darah) yang disediakan doktor.

Kini negara mempunyai juurawat pakar dalam pelbagai cabang perubatan seperti perbidanan, rawatan intensif, rawatan koronari, trauma dan juga pemulihan.

Sementara itu Lembaga Jururawat Malaysia ditubuhkan pada tahun 1950 dan permintaan terhadap jururawat mula meningkat selepas tahun 1960 dan sejumlah jururawat Malaysia dihantar ke luar negara bagi menjalani latihan kepakaran.

Dari tahun 1970, ramai menunjukkan minat menyertai kursus kejururawatan dan sistem pengajian kejururawatan dinaik taraf kepada kursus sijil.

Tahun 1990-2000 menyaksikan kursus kejururawatan dinaikkan taraf lagi kepada program diploma dan ijazah pertama. Kursus-kursus itu diiktiraf oleh Lembaga Akreditasi Nasional (LAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Pada tahun 2003, negara mempunyai 28,089 jururawat. Program Sarjana dan juga Doktor Falsafah (PhD) juga ditawarkan dalam bidang kejururawatan oleh institusi pengajian tinggi swasta serta awam," kata pegawai itu.

Kata beliau, kemudahan penjagaan kesihatan kini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan apa yang wujud beberapa dekad yang lampau.

"Kerajaan membina banyak hospital moden di seluruh negara dan juga menaik taraf kerjaya kejururawatan menjadi satu profesion yang dihormati. Bukan setakat gaji serta faedah yang telah banyak meningkat tetapi juga keadaan persekitaran kerja bagi jururawat, walaupun beban kerja tetap tinggi," tambah beliau.

KOLEJ KEJURURAWATAN

Tumbuhnya kolej yang menawarkan kursus kejururawatan di negara ini, mengakibatkan pertumbuhan yang mendadak dalam industri kejururawatan.

Menurut Kementerian Kesihatan, Malaysia kini mempunyai 80,000 jururawat yang memenuhi 88 peratus keperluan hospital serta klinik di seluruh negara.

Terdapat 109 kolej dan universiti swasta serta awam yang menawarkan kursus kejururawatan. Ini termasuk 10 institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 85 kolej serta universiti, satu oleh Kementerian Pertahanan dan 38 dibawah Kementerian Kesihatan.

Terdapat juga 1,078 jururawat Malaysia yang berugas di negara-negara Asia Barat manakala negara ini juga menarik 1,118 jururawat dari negara Komanwel serta Asean.

Nisbah jururawat terhadap populasi ialah 1:329 dan Kementerian Kesihatan berhasrat menurunkan lagi nisbah ini kepada 1:198, lebih baik daripada 1:200 yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO).

SENI DAN SAINS

S. Lee, seorang juruarawat kanan di sebuah pusat perubatan awam di sini, berkata kejururawatan merupakan bidang yang unik.

"Ia merupakan satu seni dan juga sejenis sains. Jururawat profesional menggunakan pengetahuan, kecekapan, kreativiti serta kata hati mereka untuk menjaga pesakit dan juga memberi keyakinan serta harapan kepada mereka yang bersedih dan berputus asa.

"Kejururawatan ialah profesion yang khas memberi fokus terhadap penjagaan dan pembinaan kesihatan, pengajaran serta kajian dalam sistem penjagaan kesihatan," kata beliau.

Seorang lagi jururawat yang telah meninggalkan perkhidmatan awam dan sekarang merupakan pensyarah di sebuah universiti swasta, berkata jururawat yang sanggup belajar, mempunyai kualiti kepimpinan dan mempunyai semangat yang tinggi dalam penjagaan dan memperbaiki kualiti hidup sepatutnya mengikuti kursus pengajian dalam bidang kejururawatan.

"Kejururawatan menawarkan pelbagai peluang kerjaya dalam bidang pengajian, amalan klinikal, kajian serta pengurusan. Seorang graduan kejururawatan boleh menjadi profesor di universiti, pakar klinikal, pakar kajian atau juga pengarah kejururawatan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Khamis, 12 Oktober 2017 9:00 PM

Hafiz Keliru, Saya Tak 'Madukan' Suami - Joy Revfa

Khamis, 12 Oktober 2017 5:22 PM

Punyalah Menangis, Pun Tak Lepas...

Khamis, 12 Oktober 2017 2:00 PM

Xpose Band 'Geng' Jurutera

Kolumnis

iklan

Iklan