Kaunseling Tangani Masalah Psikososial

Diterbitkan: Rabu, 5 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JIKA di Barat, berjumpa kaunselor atau ahli psikologi satu lumrah bagi mereka yang berdepan dengan masalah psikososial, tapi ia mungkin satu 'tabu' bagi sesetengah golongan dalam masyarakat tempatan.

Stigma atau merasa aib membuatkan mereka yang bermasalah atau menghadapi tekanan memendam perasaan atau mencari jalan keluar termasuk mengambil dadah atau alkohol, malah ada yang sehingga sanggup membunuh diri!

Golongan remaja juga tidak terkecuali daripada menghadapi tekanan.

Akhir-akhir ini semakin banyak paparan di media tentang remaja yang bertindak lari dari rumah apabila cinta terhalang atau cuba membunuh diri apabila dilanda masalah emosi atau mengalami kegagalan termasuk dalam peperiksaan.

"Kalau sebut kaunseling, tanggapan biasa orang yang datang ialah orang yang bermasalah. Ada juga yang berperasaan mereka tidak pandai menyelesaikan masalah sehingga perlu berjumpa pihak ketiga.

"Sebenarnya berjumpa pegawai kaunseling atau psikologi bukan hanya bila kita ada masalah tetapi berbincang, dapatkan penerangan serta bimbingan untuk meningkatkan kemahiran mengendalikan cabaran," kata Salmi Jalina Jalil, Pegawai Psikologi dan Kaunselor Berdaftar dalam wawancara dengan Bernama di sini baru-baru ini.

Salmi yang berkhidmat dengan Unit Kaunseling, Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menambah, bantuan kaunseling juga boleh membantu meningkatkan kemahiran seseorang agar dapat membuat keputusan yang sesuai untuk kesejahteraan diri atau keluarga.

Dalam mengendalikan kes kekeluargaan, Salmi berkata sekitar 70 peratus klien beliau terdiri daripada kaum hawa.

"Orang perempuan lebih terbuka minda dan hati untuk datang mendapatkan nasihat kaunseling dan mereka mempunyai lebih kesabaran untuk datang berbincang," katanya.

MASALAH PSIKOSOSIAL

"Kalau hendak diikutkan sememangnya banyak masalah psikososial dalam kehidupan masyarakat hari ini. Psikososial ini ialah satu terma dalam bidang psikologi yang berkaitan dengan pengaruh psikologi dan faktor sosial yang mempengaruhi perkembangan individu.

Di antara masalah psikososial ialah berkaitan dengan masalah penyesuaian, perkembangan,emosi, tingkah laku, masalah kekeluargaan, mendisiplinkan anak, keibubapaan, kerjaya dan sebagainya," jelas Salmi.

Beliau berkatau kumpulan sasar Unit kaunseling ini ialah keluarga, memfokus kepada masalah pasangan suami isteri, masalah perkahwinan, masalah perpisahan, keibubapaan dan kekeluargaan.

Ia juga menangani masalah yang dihadapi remaja sama ada mereka yang datang sendiri atau dirujuk pihak sekolah.

Menurut Salmi, dalam sesi kaunseling keluarga, ia bukan sahaja membabitkan pasangan suami isteri di mana jika perlu anak-anak pasangan itu juga akan turut serta dalam sesi yang diadakan.

Ini, katanya kerana jika keluarga tidak berfungsi, ia bukan sahaja memberi impak kepada emosi ibu bapa tetapi emosi anak-anak juga.

Sebagai contoh suami yang panas baran dan kurang menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga akan menyebabkan isteri dan anak-anak tertekan dan membawa kepada perubahan tingkah laku terutama anak-anak.

"Dalam situasi ini, ibu bukan sahaja memainkan peranan sebagai ibu, tetapi turut memainkan sebahagian peranan bapa. Apabila tidak tertanggung, peranan ini mungkin beralih kepada anak yang sulung.

"Kalau anak yang sulung ini masih remaja dan dia tidak boleh lagi menanggung beban , berkemungkinan ini akan menjadikannya murung, terlampau nakal, cepat melenting. Pencapaian akademiknya juga mungkin terjejas," katanya.

CONTOH KES

Sepanjang lapan tahun berkhidmat sebagai pegawai psikologi, Salmi mengendalikan pelbagai kes yang melibatkan keluarga Melayu dan sesetengahnya dianggapnya sebagai 'terpencil'.

Antara kes 'terpencil' ialah yang melibatkan dua beradik perempuan yang dibawa ibu saudaranya ke Unit Kaunseling LPPKN kerana tidak tahan didera bapa. Ibu dua beradik ini juga tidak mempedulikan anak-anaknya bila dipukul.

"Dua beradik ini datang dalam keadaan comot dan kelaparan. Mereka beritahu saya mereka lari dari rumah dan menyorok dalam semak sebelum ibu saudara mereka membawa mereka ke tempat kami. Mereka kata bapa mereka mungkin buat laporan polis dan memang betul ada laporan polis. Bila kami telefon bapa mereka dan beritahu anak-anaknya ada dengan kami dan jika dia mahu datang mengambil mereka, soalan pertama yang dia tanya pakaian apa yang mereka pakai?

"Si bapa juga berkata anak-anaknya berperangai teruk. Bila saya kata kalau dia tak datang ambil anak-anaknya, mereka akan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat, dia hanya menjawab buatlah sesuka hati," katanya sambil menambah, anak-anak itu dihantar ke JKM, dan dimaklumkan oleh pegawai JKM pada keesokan harinya, apabila pihak JKM datang ke rumah dua beradik itu, si bapa sudah siap mencampakkan baju anak-anak itu di depan rumah!

BARU KAHWIN NAK BERCERAI

Bagi pasangan yang baru berkahwin, sudah semestinya mereka akan menempuh pelbagai dugaan dalam melayari bahtera perkahwinan dan alam rumah tangga.

Perbezaan personaliti, sikap dan tingkah laku acap kali mengundang perbalahan, justeru, apabila usia perkahwinan baru mencecah seminggu dan sudah mahu bercerai, sudah tentu ada punca yang menyebabkan rasa cinta menjadi hambar!

"Kes ini membabitkan pasangan berusia 20-an, kahwin atas rasa cinta. Dalam sesi berasingan, si isteri beritahu dia tidak tahu mengapa suaminya mahu bercerai.

"Bila bercakap dengan suami, dia kata tak ada kesefahaman. Saya rasa mustahil sebab dia dan isterinya bercinta sebelum berkahwin. Bila saya tanya lagi baru si suami memberitahu mulut isterinya sangat berbau," katanya.

Menurut pegawai psikologi ini, si suami tidak mahu menegur isteri kerana tidak mahu dia berkecil hati.

"Saya yakinkan dia bahawa masalah mulut berbau isterinya boleh diatasi dan merujukkan isterinya kepada doktor. Mereka ini tidak jadi bercerai.

"Kes sebegini menunjukkan ada kalanya masalah terlalu remeh tetapi atas sebab-sebab komunikasi atau budaya kita yang tidak mahu mengecilkan hati orang, maka masalah memungkinkan tercetus keadaan yang lebih teruk jika tidak dikendalikan secara berhemah," jelas Salmi.

Menurut beliau, pasangan yang baru berkahwin digalakkan mendapatkan khidmat kaunseling jika berdepan dengan masalah agar perkahwinan dapat diteruskan.

ANAK TAK SAH TARAF

Salmi turut mengendalikan kes yang melibatkan hamil anak tak sah taraf yang bukan sahaja melibatkan wanita yang belum berkahwin, tetapi terdapat kes terpencil melibatkan wanita sudah berkahwin.

Beliau memberitahu kes-kes yang ditanganinya melibatkan isteri yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an dan mereka merasa tertekan lebih kerana rasa bersalah.

"Dalam kes-kes yang sedemikian, kami akan kendalikan emosi mereka. Keputusan untuk memberitahu perkara sebenar kepada suami terpulang kepada mereka," katanya sambil menambah teman lelaki 'gelap' si isteri biasanya kekasih lama.

Salmi Jalina turut berkongsi kes remaja yang mengandung anak tak sah taraf, berusia 19 tahun.

Nasibnya bak "sudah jatuh ditimpa tangga", teman lelaki menghilangkan diri dan dia dibuang keluarga.

"Kami panggil keluarga remaja ini, yang bagusnya ibu bapanya datang berbincang dan bersedia menerima kembali anak mereka. Kami bantu remaja ini untuk menguruskan emosi serta urusan surat beranak anaknya," katanya.

Beliau mengakui memang terdapat kes remaja mengandung anak tak sah taraf dan ada juga yang masih berkeras mahu menggugurkan kandungan walaupun sudah diberi kaunseling.

Terdapat juga kes, katanya yang terpaksa melahirkan anak sebab rahim yang rosak akibat terlalu banyak melakukan pengguguran.

"Umur remaja ini baru 20 atau 21 tahun dan telah berkahwin. Dia tak bersedia untuk mempunyai anak dan doktor memberitahu jika dia menggugurkan kandungan dia, tidak boleh melahirkan anak lagi kerana sudah banyak kali melakukan pengguguran," jelasnya.

KES SEKSUAL

Meskipun cadangan memperkenal pendidikan seks masih menjadi polemik, hakikatnya ramai pelajar sekolah yang sudah tidak asing lagi dengan perkara yang dianggap 'tabu', malah ada yang pernah melakukan hubungan seks seawal di tingkatan satu!

Dalam hal ini, Salmi turut mendedahkan ada pelajar tingkatan satu yang di'latih' pelajar 'senior'. Kes ini berlaku di utara tanah air.

"Bila buat kaunseling kelompok dengan remaja, banyak keluar perkara-perkara macam ini termasuk kes melibatkan seks menerusi telefon, berbual perkara lucah sehingga melakukan masturbasi.

"Ada juga kes pelajar yang memasuki asrama selepas Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) menjadi mangsa pelajar yang homoseksual dan akhirnya dia ketagih hubungan seks songsang itu," katanya.

BILA KELUARGA KURANG BERFUNGSI

Keluarga sering dikaitkan sebagai institusi penting dalam pembentukan masyarakat. Justeru apabila keluarga tidak berfungsi seperti sepatutnya, mampukah anak-anak yang lahir dan membesar dalam keluarga berkenaan memiliki budi dan akhlak mulia?

Tidak mustahil anak-anak remaja yang sedang melalui proses perkembangan psikososial, dalam proses mencari identiti diri membesar dengan penuh kecelaruan, sehingga mendapat identiti yang salah.

"Kita baca tentang ramai remaja yang sudah runtuh akhlak dan jika 10 tahun akan datang budak-budak ini menjadi ibu bapa, macam mana pula anak-anak mereka? " soal Salmi Jalina.

Menurut beliau lagi, sikap ibu bapa turut memberi pengaruh kepada tingkah laku anak-anak.

"Ada emak bapak yang terlalu keras dengan anak-anak, ada ibu bapa yang lepas bebas dan terlalu percayakan anak-anak. Dia tetap kata anak dia baik dan yang jahat itu adalah kawan-kawannya.

"Anak-anak melalui proses pembelajaran, sebahagian besarnya daripada peniruan. Role model yang mana mereka contohi? Daripada Internet? Bila berlaku krisis identiti dalam mencari diri, anak-anak ini akan tengok siapa role model yang paling dekat dengan dia.

"Kalau ibu bapa bagus dia akan cari ibu bapa tapi bila remaja beranggapan ibu bapa tidak memahami dia, ibu bapa ketinggalan zaman, dia akan cari orang lain, " kata Salmi Jalina sambil menambah yang penting bukan berapa lama ibu bapa menghabiskan masa dengan anak-anak tetapi kualiti masa yang dihabiskan bersama keluarga.

Beliau berkata golongan remaja mempunyai tenaga yang banyak dan ketika itu jugalah mereka mula mahu mengenali hubungan berlainan jantina dan berkemungkinan terdedah dengan perkara yang tidak ada pada zaman remaja ibu bapa sebelum ini.

Yang jelas, kata Salmi, ibu bapa perlu ada kemahiran dalam membesarkan anak-anak termasuk dalam soal pendidikan seks.

Mereka juga perlu kreatif dalam mengendalikan kerenah anak-anak. Ibu bapa juga perlu mendalami fungsi dan peranan ibu bapa di samping melihat perkara yang boleh diubah dan disesuaikan dalam membina keluarga seperti yang diingini.

"Ramai anak-anak yang kita temui merungut dan senada ibu bapa tak faham mereka, terlalu mengongkong, kalau anak yang sulung mereka kata terbeban kerana terpaksa ambil peranan ibu bapa dan ada yang merasa terabai," kata beliau.

Tambahnya, ibu bapa perlu mengambil tahu setiap perubahan diri anak-anak termasuk emosi dan tingkah laku di samping keperluan anak. Bila usia remaja, ibu bapa perlu menjadi kawan kepada anak-anak mereka.

Anak-anak juga berlainan karektor, ada yang agresif, ada yang pasif dan ada juga yang kooperatif.

Menurut Salmi, anak agresif berani bersuara dan tahu apa yang perlu dibuat dengan sekali suruh sahaja, sementara anak pasif perlu diberi arahan dari semasa ke semasa dan anak yang koperatif suka bekerjasama dan dalam membuat keputusan, dia mahu pendapatnya juga diambil kira. - BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan