suria

Keluar Dari Tradisi "Poho Ame Penan"

ULU BARAM (SARAWAK): Kalau selama ini mungkin ramai yang kurang yakin dengan kemampuan anak-anak kaum Penan, namun hari ini bukan satu perkara luar biasa sekiranya ada dalam kalangan mereka yang bukan sahaja berjaya sampai ke menara gading malah juga menyandang jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan.

"Ada ramai anak Penan seperti dari Long Lamai yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan antaranya seperti Hennesser Martin Uning seorang guru besar di SK Bario, David Kala, Pegawai Daerah Bintulu, Ezra Uda bertugas di Pejabat Menteri dan Dawat Along, Pegawai Tadbir Negeri di Residen Miri".

Demikian menurut Stewart Paran, 63, bekas seorang guru besar di Ulu Baram yang telah berjasa dan memberi pengorbanan pendidikan anak Penan sejak 45 tahun lalu.

Katanya jika generasi awal kaum Penan boleh berjaya, generasi baru yang ada hari ini seharusnya lebih yakin bahawa mereka boleh maju ke hadapan dengan adanya kemudahan pendidikan yang lebih baik hari ini.

Stewart berkata Penan ialah "raja di hutan" dan mereka boleh hidup bertahun-tahun di dalam hutan asalkan mereka mempunyai "Po'eh" iaitu parang.

Katanya dengan menggunakan parang mereka boleh buat apa sahaja kerja di dalam hutan sama ada memburu ataupun untuk membuat tempat kediaman.

Namun satu masalah dalam kaum Penan ialah tradisi yang kuat kepada amalan "poho ame Penan" yang bermaksud "sudah takdir kami seperti ini iaitu hidup di dalam hutan dan hutan ialah dunia kami".

Beliau berkata walaupun banyak usaha khasnya daripada pihak kerajaan dibuat untuk membawa keluar Penan ke dunia moden dan maju, namun masih ada segelintir yang degil malah tidak mahu mendengar nasihat walaupun ramai daripada kalangan pemimpin Penan yang telah berjaya.

KESEDARAN UNTUK MEMILIKI MyKAD

Kemudahan seperti sekolah dan klinik yang disediakan kerajaan di kawasan petempatan Penan seperti di Long Lamai, Long Seridan, Batu Bungan, Long Kevok, Long Luteng dan banyak lagi di Ulu Baram turut menukar cara hidup Penan.

Sebelum ini mereka memandang ringan kepentingan untuk memiliki surat beranak dan MyKad sehingga ada yang tidak pernah memiliki sebarang dokumen pengenalan diri walaupun telah berusia lebih 60 tahun.

Patrick Ngeram dari Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata kini semakin ramai masyarakat kaum Penan yang tampil berjumpa Unit JPN setiap kali mereka pergi ke kawasan penempatan Penan.

Katanya kaum Penan kini sudah sedar akan kepentingan dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir dan MyKad dan tanpa dokumen tersebut mereka tidak akan berpeluang untuk mendapat pelbagai kemudahan daripada kerajaan termasuk kemudahan perubatan dan pendidikan.

"Semakin ramai yang membuat sijil lahir dan Mykad, cuma masalahnya dari segi pengangkutan dan sebab itu JPN perlu masuk ke kawasan Penan untuk berjumpa sendiri penduduk tempatan bagi memudahkan lagi proses pendaftaran dan serahan dokumen yang telah siap," katanya.

Sempena satu program komuniti yang dianjurkan Hospital Pakar Kuching (KcSP) dan Syarikat Samling Berhad di Long Lutin baru-baru ini, kira-kira 800 penduduk Penan terlibat dalam program bersama JPN selain pihak Jabatan Pertanian, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan KcSH yang memberi rawatan perubatan percuma kepada penduduk Penan.

Menurut Patrick, menerusi program itu pihak JPN melakukan 53 serahan sijil lahir dan 28 serahan MyKad manakala 69 lagi merupakan proses untuk membuat siji lahir dan MyKad baru.

"Unit bergerak JPN ini akan beroperasi dalam tempoh tiga bulan sekali ke kawasan yang sama untuk menyerahkan dokumen yang telah siap selain akan membuat dokumen baru," katanya.

Seramai 23 pegawai JPN yang terlibat dalam unit bergerak JPN ini termasuk seorang anak Penan iaitu Jely Jangin, 21, yang kini bertugas secara kontrak bersama JPN.

Jely yang lebih mesra dengan panggilan "Jet Lee" dan berasal dari Long Latei Ulu Baram, berkata dia berasa bertuah kerana dapat berkhidmat untuk kaum Penan.

"Saya menjadi juru bahasa di antara pegawai JPN dan Penan kerana tidak semua Penan tahu bercakap Bahasa Melayu khasnya warga tua," katanya.

TINGGAL DUA KUMPULAN PENAN YANG MASIH NOMAD

Daripada anggaran kira-kira 15,000 kaum Penan yang terdapat di Sarawak difahamkan hanya tinggal dua kumpulan sahaja lagi yang masih mengamalkan cara hidup nomad ataupun berpindah-randah di dalam hutan.

Menurut Stewart kumpulan terbabit ialah Penan Megoh yang masih terdapat di kawasan sekitar Bario dan Long Seridan serta Penan Adang yang tinggal di sekitar kawasan Batu Lawi.

Katanya sebelum ini kebanyakan mereka dari kaum Penan hanya bergantung kepada hasil hutan untuk kegunaan dan keperluan sendiri selain ada yang bercucuk tanam secara kecil-kecilan seperti menanam padi.

"Kaum Penan juga pakar dalam mencari kayu gaharu selain mahir dalam memburu," katanya.

Selain Ulu Baram, kaum Penan juga tinggal di kawasan sekitar Ulu Belaga dan Batu Lawi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain