Tangan Bersih Halang Jangkitan Penyakit

Diterbitkan: Rabu, 28 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dua juta orang jatuh sakit disebabkan jangkitan silang di hospital atau jangkitan daripada kemudahan penjagaan kesihatan.

Pertubuhan itu turut menyatakan bahawa kebersihan tangan penting bagi menghalang jangkitan ini yang menyebabkan kematian 90,000 pesakit hospital setiap tahun dan juga melibatkan kos perubatan sebanyak US$4.5 bilion.

Apakah sebenarnya jangkitan daripada kemudahan penjagaan kesihatan?

Menurut Dr P. Mohan, pegawai perubatan di sebuah institusi kesihatan awam di sini, jangkitan ini juga dikenali sebagai infeksi nosokomial yang boleh berlaku di kemudahan penjagaan kesihatan seperti hospital.

"Ini termasuk jangkitan yang berlaku ketika berada di dalam hospital tetapi hanya muncul selepas keluar dari hospital atau juga jangkitan semasa bekerja dalam kalangan petugas penjagaan kesihatan.

"Jangkitan ini memberi kesan terhadap pesakit dan boleh berjangkit kepada petugas hospital," kata beliau.

BOLEH DIHALANG

Menurut WHO lagi, satu pertiga daripada jangkitan ini boleh dihalang jika para pekerja kesihatan mengamalkan kebersihan tangan yang baik.

Tetapi memang wujud tidak komplian (kepatuhan) dalam pembasuhan tangan yang betul dalam kalangan petugas penjagaan kesihatan.

Kata Wong Liang Min, pengurus jualan bagi B. Braun Medical Supplies Sdn Bhd (Bahagian Pesakit Luar), terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlaku kegagalan komplian dalam kalangan petugas penjagaan kesihatan.

"Antara sebabnya terdapat kurang kemudahan sinki, kerap membasuh tangan menyebabkan kulit tangan kering, petugas begitu sibuk dengan tugas mereka, membasuh tangan mengambil masa yang lama dan kurangnya pengetahuan tentang bila pembasuhan tangan diperlukan serta juga sentuhan kasual sebelum atau selepas memakai sarung tangan".

Terdapat satu alternatif bagi membasuh tangan, iaitu penggunaan sanitiser tangan.

Kata Wong, Pusat Kawalan dan Penghalang Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat mengeluarkan garis panduan bagi kebersihan tangan dalam suasana penjagaan kesihatan, iaitu penggunaan sanitiser berasaskan alkohol sebagai pilihan.

Penggunaan sanitiser digalakkan hanya jika tangan tidak kotor secara 'fizikal', kata beliau.

Kata beliau CDC mengeluarkan garis panduan itu kerana 'efikasi' (kemujaraban) penggunaan sanitiser lebih baik daripada penggunaan sabun dan air terutama bila petugas terlalu sibuk dengan tugas masing-masing.

"Menurut CDC produk sanitiser berasaskan alkohol lebih efektif daripada kaedah membasuh tangan secara biasa," kata Wong.

Katanya sanitiser mudah didapati di hospital, di sebelah katil pesakit, di tepi pintu atau juga dibawa secara persendirian. Sanitiser bertindak cepat dan membunuh kuman dalam hanya 15 saat.

TANGAN KERING?

Menurut Wong lagi, sanitiser tangan yang berasaskan alkohol tidak mendatangkan kekeringan serta iritasi kepada kulit tangan jika dibandingkan dengan sabun dan air.

"Sanitiser mengandungi emolien (pelembab) bagi melembabkan tangan dibandingkan dengan sabun yang menghilangkan kelembapan kulit. Bila menggunakan sanitiser, hanya letak sedikit di tapak tangan sebelum digosok kedua-dua belah dan meliputi semua permukaan tangan serta jari sehinggalah kering. Ini hanya mengambil 15 saat atau kurang.

"Pembersih tangan yang juga dikenali sebagai sanitiser tangan (cecair, gel atau bentuk tisu) ialah senjata baru terhadap jangkitan (kuman) berbahaya. Alkohol menghapus hampir semua virus dan bakteria. Sabun dan air tidak boleh diganti, tetapi kini ia mempunyai pasangan dalam menghalang jangkitan kuman, dalam bentuk pembersih tangan.

Kata Wong, pembersih tangan terbukti dapat memperkukuh lagi kebersihan tangan dalam suasana penjagaan kesihatan dan kebanyakan kemudahan penjagaan kesihatan memang menyediakan sanitiser bagi kegunaan petugas serta pelawat.

Disebabkan bakteria dan virus senang dipindahkan dari permukaan seperti tombol pintu, butang lif dan boleh didapati walau hanya dengan bersalam atau berjabat tangan, maka adalah baik menyediakan sanitiser untuk kegunaan di kawasan umum, termasuk tempat kerja.

Tetapi harus diingat penyelidikan membuktikan penggunaan pembersih tangan berasaskan alkohol tidak begitu 'efektif' jika tangan kotor secara fizikal, kata Wong.

Kehadiran habuk, minyak atau makanan di tangan ialah faktor penentu sama ada mahu menggunakan pembersih tangan atau tidak, kata Wong.

"Kalau tangan anda memang jelas nampak kotor, gunakanlah sabun dan air untuk membasuh tangan. Kalau tiada sabun serta air, maka terpaksalah pakai pembersih tangan kerana ia lebih baik daripada tidak menggunakan langsung. Tetapi jika tangan tidak kelihatan kotor, eloklah menggunakan pembersih tangan," kata Wong.

"Pembersih atau sanitiser tangan menghapuskan kuman tetapi sabun dan air tidak. Cuma kaedah ini ada kesan membersih dan bila digabung dengan air yang mengalir, boleh membuang kuman secara fizikal".

Kaedah tradisi membasuh tangan (air yang mengalir serta sabun) juga efektif jika dibuat dengan betul. Pembersih tangan boleh meningkatkan halangan jangkitan kerana ia boleh diletakkan di lokasi tinggi risiko seperti tempat orang melakukan aktiviti sosial dan juga pintu masuk bangunan di mana membasuh tangan tidak praktikal.

Kata Wong, botol dispenser pembersih tangan boleh dilekatkan di dinding di tempat-tempat seperti pintu masuk bangunan, kawasan resepsi, kafeteria dan juga tempat pertemuan ramai.

"Pembersih tangan adalah efektif membantu menghalang jangkitan kuman. Daripada kajian, mereka yang mengamalkan kebersihan tangan mengalami kadar jangkitan yang rendah.

"Anda juga boleh membawa bersama sebotol kecil pembersih tangan ke mana saja anda pergi," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan