suria

Mahu Bersarapan Dengan Telur?

PETALING JAYA: Telur goreng, telur rebus, telur goreng hancur, telur dadar dan juga telur separuh masak boleh dimakan sebagai alas perut atau antara makanan utama pada bila-bila waktu.

Adakalanya telur ayam ini dicampur menjadi hidangan masakan.

Sebagai contoh, telur rebus di dalam kuah kari atau kurma dan sambal telur serta telur mata kerbau di dalam kicap atau masakan masam manis.

Telur merupakan sumber protein popular bagi ramai, tetapi adakah pengguna sedar telur ayam yang mereka makan atau beli di kedai mungkin tidak segar atau dicemari kuman?

MEMILIH DAN MENYIMPAN TELUR

Abdul Rahman Zainuddin dari Kuching Sarawak yang memakan 14 biji telur setiap minggu apabila ditanya menerusi facebook, memberikan nasihat mengenai bagaimana untuk memilih telur terbaik dan memastikan ia segar. "Saya ada petua. Untuk memilih telur yang terbaik, pastikan kulit telur nampak segar. Kulit telur yang segar lazimnya berwarna lebih cerah tanpa sebarang pigmen atau bintik-bintik di sekelilingnya.

"Saya mencuci telur yang baru dibeli sebelum menyimpannya di dalam peti sejuk," kata peminat telur ini yang membeli sehingga 30 biji telur seminggu.

Selain mencuci, satu lagi langkah ialah untuk melapiskan kulit telur dengan cecair pencegah bakteria yang boleh menghalang bakteria daripada membolosi kulit rapuh di luar, yang begitu mudah retak.

Abdul 'Raymond' Rahman, seorang lagi penyumbang aktif 'facebook' dan berasal dari Pulau Pinang tetapi kini bekerja di luar negara, di zaman mudanya meminati telur ayam kampung daripada ayam yang dibela emak saudaranya yang tinggal berjiran.

Bagaimanapun, Raymond tidak lagi berminat dengan telur seperti sebelum ini kerana bimbang dengan kandungan kolesterol pada telur.

PENUNJUK UNTUK MEMASTIKAN KESEGARAN TELUR AYAM

Melalui facebook, Raymond menulis mengenai tabiat beliau mencuci kesemua telur ayam yang beliau bawa pulang, menggunakan air dan menggosoknya sedikit dengan span.

"Selepas itu, saya mengelap telur dengan berhati-hati menggunakan kertas tisu dan apabila ia kering, saya memasukkannya ke dalam peti sejuk," kata beliau.

Satu lagi petua bagi peminat telur dan roti bakar untuk memulakan hari mereka, ialah melakukan ujian apungan bagi menentukan kesegaran telur ayam untuk sajian sarapan yang hebat.

Masukkan telur ke dalam sebuah mangkuk berisi air. Jika tenggelam, bermakna telur itu baik dan masih segar tetapi jika ia terapung telur itu bukan lagi segar ataupun sudah busuk.

Telur gred AA kekal segar selama dua minggu dan selepas itu kesegarannya menurun kepada gred A.

Bagaimanapun petua terbaik ialah - belilah bilangan telur yang cukup untuk kegunaan setiap minggu atau untuk dua minggu dan elakkan daripada menyimpan telur terlalu banyak - dan ini akan mengurangkan kemungkinan telur-telur ini apabila digunakan nanti tidak lagi segar dan berisiko dijangkiti bakteria.

BAGAIMANA PENGGUNA BESAR MEMASTIKAN KESEGARAN TELUR

Selain daripada individu, penyedia besar hidangan menggunakan telur di dalam menu mereka seperti McDonalds Malaysia juga mengamalkan prosedur lebih kurang sama, walaupun lebih canggih, untuk mengekalkan kesegaran telur-telur ini khasnya untuk menu sarapan pagi.

Dan telur-telur ini hanya akan disimpan bagi tempoh dua minggu selepas dibeli daripada pusat-pusat ternakan terpilih.

"Telur-telur ini ialah daripada sumber tempatan, disimpan di tempat dingin supaya kekal segar sehingga digunakan. Telur-telur ini ialah daripada jenis premium kolesterol rendah dan dicuci dan disucihama selepas dibeli. Ini bagi memastikan bakteria serta organisme mikro lain tidak menembusi kulit telur.

"Telur segar mempunyai kuning telur yang besar dan melekat dengan bahagian berwarna putih," kata Goh Poh Guat, pengarah rantaian bekalan serta jaminan kualiti McDonalds Malaysia kepada pemberita baru-baru ini.

McDonalds mengeluarkan telur daripada ruang pendingin hanya apabila ia perlu untuk menyediakan hidangan khasnya sarapan pagi dan dibiarkan berada pada suhu bilik tidak lebih daripada 30 minit.

Selepas itu, jika masih tidak digunakan, telur-telur ini dilupuskan.

Telur-telur ini dimasak selama dua minit setengah dan semasa proses itu, kuning telur dicucuk menggunakan penyepit khas.

"Penyediaan ini ialah untuk 10 juta pelanggan di 194 restoran kami setiap bulan bagi memulakan hari yang hebat setiap pagi," Goh memberi jaminan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain