suria

Penginapan Ala-Tentera Tarikan Pelancong Ke Port Dickson

SEREMBAN: "Barrack Stay" atau penginapan ala-tentera di salah sebuah kem lama di Port Dickson (PD) akan menjadi tarikan utama untuk pelancong datang ke Bandar Tentera Darat itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penginapan itu merupakan salah satu daripada tiga elemen terpenting untuk menonjolkan PD sebagai bandar tentera yang mempunyai tarikan pelancongannya yang tersendiri.

Tiga elemen itu ialah pembangunan, kandungan dan aturcara, katanya.

"Kita belum sampai ke tahap untuk membenarkan orang ramai menembak senjata api seperti yang ada di luar negara.

"Yang penting kita mulakan dulu dengan mewujudkan kesedaran orang ramai terhadap PD," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pembangunan PD bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada konsep penyewaan senjata api dan kereta perisai untuk orang awam seperti yang wujud di Vietnam dan Ukraine akan disertakan bersama pakej "Barrack Stay" itu.

Dari segi pembangunan, muzium tentera darat di PD akan dibangunkan semula malahan satu kawasan "boulevard" akan dibina dari bangunan itu sehingga ke kawasan tepi laut melepasi zon ketenteraan di sekitar muzium, katanya.

Selain "Barrack Stay" yang dimasukkan dalam elemen kandungan, pelancong akan berpeluang melihat penukaran shif pengawal di pintu masuk kem utama PD dan buat permulaan ia akan dibuat pada hujung minggu, katanya.

Untuk aturcara sepanjang tahun, pelbagai program menarik sedang disusun antaranya pertunjukkan tatu tentera-tentera Asean serta majlis penganugerahan Pingat Jasa Malaysia yang akan dibuat di bandar itu, katanya.

Zahid berkata veteran-veteran tentera yang tinggal di sekitar PD akan ditawarkan gerai-gerai cenderamata oleh majlis perbandaran untuk menjual barangan tentera kepada pelancong.

Beliau menyatakan mahu melihat Bandar Tentera Darat itu menjadi terkenal seperti Akademi West Point di Amerika Syarikat.

"Kita tidak sabar untuk melihat pembangunan di PD dan segalanya akan menjadi kenyataan dalam tempoh 24 bulan," katanya lagi. -BERNAMA

Artikel Lain