Industri Burung Walid Kian Mendapat Perhatian

Diterbitkan: Isnin, 29 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Industri sarang burung walit mungkin tidak asing kepada pengusaha di Sabah dan Sarawak namun kini ia kian mendapat perhatian pengusaha di Semenanjung lebih-lebih lagi apabila nilai jualannya mencatat kira-kira RM1 bilion setahun.

Menyedari peluang yang terbuka luas itu, seorang ahli perniagaan di bandaraya Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail tidak ragu-ragu melabur jutaan ringgit dalam industri penghasilan sarang burung walit yang sinonim dengan masyarakat Cina kerana khasiat kesihatannya.

Mohd Yusof berkata, pertemuan tidak dirancang dengan pengerusi Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia, Datuk Paduka Beh Heng Seong di Sitiawan, Perak pada 2008 menjadi detik penglibatannya dalam industri ini.

"Bermula dengan sembang-sembang tetapi setelah mendengar sendiri penerangan Beh mengenai potensi pasaran sarang burung dan industri ini, harga dan permintaannya yang tinggi membuatkan saya cukup berminat untuk mencuba.

"Beberapa rakan yang bergiat dalam industri ini juga memberi galakkan kerana risikonya tidak tinggi di samping itu saya menghadiri kursus berkaitan," kata Mohd Yusof, Pengarah Urusan syarikat Kumpulan Usima.

Malaysia pula hanya mampu memenuhi kira-kira 10 peratus sahaja daripada nilai pasaran dunia berjumlah RM10 billion setahun.

Pelaburan Awal

Pelaburan awal sebanyak RM1 juta untuk membina dua buah rumah burung walit empat tingkat di Kuala Rompin, Pahang awal tahun lepas menunjukkan perkembangan positif hanya dalam tempoh enam bulan.

"Perkembangan ini menyakinkan saya untuk melabur lebih RM2.5 juta lagi untuk membina lima rumah burung di Jerlun, Kubang Rotan, Kuala Sanglang, Padang Sera dan Tebengau yang siap baru-baru ini.

"Walaupun di Kuala Rompin terdapat lebih 100 buah rumah burung, bidang ini tidak bersaing malah mudah diusahakan cuma kos permulaannya sahaja agak tinggi," kata Mohd Yusof dalam temubual dengan Bernama di sini.

Hasil pertama dituai selepas enam bulan mencecah RM10,000 bagi sebuah rumah sekali tuaian dan angka ini dijangka stabil untuk tempoh tiga tahun pertama.

Kebiasaannya tuaian dibuat setiap dua atau tiga bulan sekali.

Selepas tiga tahun nilai tuaian berkemungkinan meningkat atau berkurangan bergantung kepada jumlah burung yang bersarang.

"Dari pengalaman saya, sebuah rumah menghasilkan purata 3 kilogram (kg) sarang burung dan dijual mengikut nilai pasaran antara RM3,600 hingga RM4,000 satu kg bagi yang belum diproses manakala yang diproses berharga dua kali ganda.

"Buat masa ini semua sarang burung itu dijual secara mentah kerana ketiadaan tenaga pakar untuk memprosesnya," kata Mohd Yusof yang menjualnya kepada pembeli tetap.

Penjagaan Tidak Rumit

Menurut Mohd Yusof, pada bulan-bulan tertentu apabila burung berhijrah hasilnya boleh terjejas tetapi terdapat cara untuk mengekalkan kehadiran burung supaya 'minat' bermastautin di sesebuah rumah.

Bentuk dalaman rumah khususnya sistem masuk, suhu dalaman mesti sentiasa lembab dan penggunaan sistem bunyi yang betul bagi memanggil burung adalah penting, katanya.

Penjagaan rumah burung tidak rumit dan burung juga tidak perlu diberi makan tetapi yang menimbulkan masalah ialah mereka yang mencuri sarang burung sebelum sempat dituai pemiliknya.

"Pernah saya temui tali digunakan untuk memasuki rumah burung saya dari paras tinggi di Kuala Rompin. Hanya orang berkemahiran mampu buat cara ini," katanya. Menurut beliau musuh seperti cicak, semut atau serangga lain yang mengganggu burung walit terutama semasa mengeram mudah diatasi dengan penggunaan racun yang betul.

Burung walit bagaimanapun sangat sensitif dengan bau burung hantu iaitu musuh utamanya yang memakan anak burung walit semasa mencari makan pada waktu malam.

Permintaan Dan Pasaran

"Saya merancang membuka sebuah bilik pameran sarang burung dalam tempoh empat atau lima tahun lagi apabila perusahaan saya berkembang maju," katanya.

Mohd Yusof berkata beliau juga bersedia berkongsi pengalaman dengan mereka yang berminat menceburi bidang ini yang menurutnya masih tidak ramai.

Beliau menasihati bagi mereka yang kekurangan modal sewajarnya menubuhkan konsortium untuk memulakan industri ini yang mempunyai pasaran yang sangat besar dan luas.

Beh pula berpendapat industri sarang burung di Malaysia mempunyai masa depan yang cerah kerana dalam tempoh 10 tahun sahaja ia menunjukkan perkembangan yang positif.

"Sarang burung keluaran Malaysia mendapat permintaan tinggi di China, Hong Kong, Taiwan dan Korea, mengatasi permintaan Thailand dan Indonesia iaitu pengeluar terbesar sarang burung dunia," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan