suria

Sabah Softwoods: Model Kehidupan Bersama Manusia Dan Hidupan Liar

TAWAU: Berita mengenai kumpulan gajah liar memasuki kawasan kampung serta memusnahkan tanaman seperti kelapa sawit dan getah sudah agak biasa dilaporkan.

Begitu juga tentang penduduk kampung diserang harimau ketika bekerja di kebun getah masing-masing dan tidak kurang juga mengenai insiden banjir kilat atau tanah runtuh yang memusnahkan harta benda dan nyawa.

Fenomena berkenaan sebenarnya ialah natijah daripada konflik manusia dan alam semula jadi yang kini hangat dibahaskan di peringkat antarabangsa lebih-lebih lagi setelah ia dikaitkan dengan ekonomi sesebuah negara.

Eksport kayu tropika atau produk hasil daripada kayu tropika ke negara-negara maju di Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun umpamanya kian diperketat kerana dikaitkan dengan penebangan hutan secara tidak mesra alam.

Kempen memburukkan minyak sawit dan produk berkaitan dengannya juga giat dijalankan di negara-negara Eropah dan Jepun kerana dikaitkan dengan penebangan hutan negara pengeksport untuk digantikan dengan ladang kelapa sawit sehingga mengancam hidupan liar.

HIDUP BERSAMA

Melihat kepada akibat buruk berkonflik itu, perlukah manusia dan alam semula jadi berterusan berkonflik? Bolehkah konflik berkenaan diredakan supaya manusia dan alam semula jadi boleh hidup bersama?

Mungkin tidak mudah melakukannya namun inilah yang sedang dilakukan oleh Sabah Softwoods Berhad (SSB), sebuah agensi pelaburan kerajaan Sabah yang terlibat dalam perladangan kayu cepat membesar sejak 1973.

SSB yang merupakan satu daripada anak syarikat Innoprise Corporation Sdn Bhd di bawah Yayasan Sabah dan menanam kayu cepat membesar terutama spesies Acacia mangium, Albizia falcataria dan Gmelina arborea, sekian lama berusaha mewujudkan suasana keharmonian hidup antara manusia dengan hidupan liar di sekitarnya.

Untuk tujuan itu, daripada lebih 60,000 hektar keluasan kawasan SSB di Tawau dengan 27,533 hektar ditanam dengan kayu kertas untuk komersil, seluas 2,680 hektar dijadikan High Conservation Value Forest (HCVF) yang tidak boleh disentuh sama sekali.

SSB mewujudkan kawasan HCVF berkenaan bertujuan memelihara ekologi flora dan fauna di kawasan berkenaan, melindungi kawasan tadahan air dan tempat perlindungan bagi hidupan liar.

Selain itu, SSB juga mewujudkan koridor hidupan liar untuk membolehkan hidupan seperti gajah dan Orang Utan untuk bergerak bebas keluar masuk di kawasan perladangan kayu berkenaan.

KAYU BERHARGA

Menurut Pengurus Besar SSB (Operasi Balak) Dominic Rusman Dambul yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SSB Mohd Hattah Jaafar, kawasan HCVF mewakili lebih kurang 10 peratus daripada keseluruhan kawasan ladang kayu berkenaan dan kewujudannya merupakan usaha menyediakan ruang keseimbangan keperluan hidup antara manusia dan alam sekitar.

Inventori berpilih yang dilakukan pegawai SSB di kawasan hutan yang dipelihara sebelum ini mendapati lebih daripada 60 spesies reptilia dan burung dijumpai dalam kawasan hutan simpan berkenaan.

Selain itu jenis kayu berharga seperti kayu bulian, seraya dan kayu selangan batu didapati tumbuh dan membesar dengan baik di dalam kawasan hutan berkenaan.

Memandangkan perladangan kayu cepat membesar merupakan sejenis hutan juga dengan kayunya mengambil masa antara sembilan hingga 10 tahun sebelum ditebang, ia turut dimanfaatkan hidupan liar seperti gajah dan Orang Utan sebagai habitan selain kawasan HCVF.

ANCAMAN GAJAH

"Setakat ini kami sudah mengesan tiga kumpulan gajah pygmy liar yang kerap datang dan lalu di kawasan perladangan kayu ini. Kumpulan gajah ini yang jumlahnya tidak kurang daripada 40 ekor mempunyai laluan tetapnya sendiri.

"Kami tidak mengusik laluan kumpulan-kumpulan gajah ini untuk mengelak mereka membuat laluan baru. Kami juga tidak mengganggu gajah-gajah ini apabila mereka muncul.

"Setakat ini gajah berkenaan juga tidak mengganggu orang di dalam ladang dan tidak pula membuat kerosakan harta benda," katanya.

Menurut Dominic: "satu daripada kumpulan gajah yang kerap datang ke ladang kami pada mulanya cuma terdiri daripada dua ekor. Bagaimanapun ketika ia muncul sekali lagi, mereka menjadi tiga ekor termasuk seekor anak gajah".

"Maknanya jumlah gajah ini tidak merosot malah bertambah," katanya.

"Kami juga biasa terserempak dengan Orang Utan meniti dan bergayut dari satu pokok acacia ke pokok acacia yang lain sambil membawa anaknya ketika Orang Utan berkenaan memasuki ladang.

Nampaknya hidupan liar seperti gajah dan Orang Utan yang dilindungi ini kian serasi dan dapat menyesuaikan diri dengan pekerja ladang kayu di sini," kata Dominic.

Beliau berkata walaupun hidupan liar berkenaan kerap masuk ke kawasan perladangan kayu berkenaan ia tidak pula merosakkan pokok kayu SSB. Jika adapun, kerosakannya amat kecil dan boleh ditolak ansur.

Dominic berkata "pada tahun 2006 kami dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah memindahkan tujuh ekor gajah pygmy ini ke kawasan Hutan Simpan Kuamut dengan kos kira-kira RM200,000.

Bagaimanapun, selepas pemindahan berkenaan, gajah-gajah masih juga muncul di kawasan perladangan kayu SSB dan kemungkinan ada di antara gajah yang dipindahkan sebelum ini berada dalam kumpulan gajah berkenaan.

Melihat kepada keadaan itu, kata Dominic, pihak pengurusan telah memutuskan untuk membiarkan sahaja keadaan itu selagi gajah-gajah berkenaan tidak membawa kerosakan kepada ladang dan mengancam keselamatan pekerja.

UTAMAKAN ALAM SEKITAR

Kepatuhan kepada pemuliharaan alam sekitar di samping pengkomersilan hasil ladang berasaskan perladangan kayu yang mesra alam inilah merupakan satu daripada sebab SSB mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan sijil Forest Stewardship Council (FSC) oleh Scientific Certification System (SCS) dari Amerika Syarikat pada 25 September 2007.

Melalui sijil berkenaan, kayu dan produk kayu seperti kayu bergergaji serta kayu serpai keluaran SSB diterima dan bebas memasuki pasaran Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun tanpa sebarang sekatan yang dikaitkan dengan isu pemusnahan alam sekitar.

Menurut Dominic, terdapat 10 perkara pokok (10 principles) yang mesti dipatuhi SSB sebelum dianugerahkan sijil berkenaan dan antaranya termasuk pemeliharaan hak-hak kaum pribumi, hubungan masyarakat dan hak pekerja, manfaat daripada hutan, kesan alam sekitar, pelan pengurusan ladang, pemantauan dan penilaian serta penjagaan kawasan HCVF.

Dominic berkata proses mendapatkan sijil berkenaan bukan mudah kerana terpaksa mengambil masa hampir empat tahun. Ia bermula pada tahun 2003 dan sejak itu pegawai dari badan pengiktirafan berulang-alik ke ladang SSB untuk melihat, memantau dan menganalisis usaha SSB bagi mematuhi segala prasyarat yang ditetapkan.

"Di Malaysia, mungkin SSB sahaja yang diberi pengiktirafan antarabangsa ini," kata Dominic.

KEMUDAHAN

Perladangan kayu SSB yang terletak di antara Tawau dan Kalabakan, kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Tawau, kini mempunyai 1,257 pekerja termasuk lapan orang pekerja gologan Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain memastikan pematuhan kepada keperluan pemeliharaan alam sekitar, kebajikan pekerja juga diberi perhatian serius dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti kediaman, bekalan elektrik dan air bersih percuma untuk mereka hidup selesa.

Kemudahan lain untuk pekerja dan kakitangan SSB yang turut disediakan termasuk sekolah, taman asuhan kanak-kanak, padang dan gelanggang permainan, pondok polis, rumah ibadat untuk pelbagai agama, padang golf sembilan lubang, rumah rehat untuk tetamu dan kini pembinaan stadium yang baru.

Sejak penuaian pertama dibuat pada tahun 1982 hingga tahun 2009, SSB menuai hasil kayu perladangannya sebanyak 6.65 juta meter padu dan mengekalkan pengeluaran kayunya secara mapan sebanyak 360,000 meter padu sebulan.

Sesungguhnya pengurusan perladangan kayu SSB bukan memenuhi piawaian antarabangsa sehingga dianugerahkan FSC tetapi turut mempraktikkan sikap Tanggungjawab Sosial Korporat bertaraf tinggi.

Tidak hairan SSB dianugerahkan Majikan Prihatin oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sabah dan anugerah Ladang Bahagia Peringkat Kebangsaan daripada Kementerian Sumber Manusia yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 Mei 2009 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Berikut

Padah Krisis Air Sejagat

Artikel Lain