Padah Krisis Air Sejagat

Diterbitkan: Isnin, 22 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AIR amat penting untuk kehidupan manusia, malahan lebih penting daripada makanan. Tubuh manusia dikatakan boleh bertahan berminggu-minggu tanpa makanan tetapi ia tidak boleh bertahan lebih daripada tiga hari tanpa air.

Dalam banyak hal, air juga menjadi penyumbang besar kepada pembangunan mapan tetapi kesejahteraannya berterusan disanggah dan dianiayai.

Salah urus dan sifat haloba manusia mencetus padah kekurangan air serta pencemaran. Natijahnya, seluruh dunia kini berdepan dengan krisis air.

Pada 1992, syor untuk satu hari antarabangsa bagi mengiktiraf kepentingan air dibuat pada Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCED).

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi tindak balas positif dengan mengisytiharkan 22 Mac 1993 sebagai Hari Air Sedunia yang pertama.

Satu tema akan diperakui untuk setiap tahun Hari Air Sedunia diraikan, memberi fokus kepada isu-isu tertentu berkaitan dengan air.

Untuk 2010, fokus teras perayaan ialah kualiti air, justeru tema yang dipilih 'Air Bersih Untuk Dunia Yang Sihat.'

SITUASI AIR

Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), jumlah isi padu air di atas muka bumi ialah kira-kira 1.4 bilion kilometer padu (km3). Isi padu sumber air tawar sekitar 35 juta km3, atau kira-kira 2.5 peratus daripada keseluruhan jumlah isi padu air.

Daripada jumlah sumber air tawar, sekitar 24 juta km3 atau 70 peratus ialah dalam bentuk ais serta litupan salji kekal di kawasan pergunungan, rantau Antartik dan Artik.

Kira-kira 30 peratus daripada sumber air tawar dunia tersimpan di dalam perut bumi dalam bentuk air bawah tanah (cekungan air bawah tanah tohor dan dalam sehingga 2,000 meter, lembapan tanah, air paya dan tanah beku).

Ini menjadikan kesemuanya kira-kira 97 peratus dari keseluruhan jumlah air tawar yang berpotensi untuk kegunaan manusia.

Menurut UNEP, suara alam sekitar dalam sistem PBB, tasik air tawar serta sungai mengandungi anggaran 105,000 km3 atau 0.3 peratus daripada sumber air tawar dunia.

Jumlah bekalan air tawar untuk sistem ekologi dan manusia ialah kira-kira 200,000 km3, di mana ia kurang daripada 1 peratus daripada semua sumber air tawar.

UNEP, diasaskan pada Jun 1972 berperanan menyelia aktiviti alam sekitar PBB dengan membantu negara-negara sedang membangun melaksanakan dasar-dasar kemapanan alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mantap di dunia.

AIR SERTA KEGUNAANNYA

Menurut World Water Assessment Programme (WWAP), kira-kira 70 peratus air tawar digunakan untuk pengairan, sekitar 22 peratus untuk industri dan kira-kira lapan peratus untuk kegunaan domestik.

Ia juga menyatakan penduduk dunia berjumlah enam bilion orang menggunakan 54 peratus daripada semua sumber air tawar yang terdapat di dalam sungai, tasik dan sumber air bawah tanah.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), penggunaan air semakin melonjak lebih daripada dua kali ganda kadar kenaikan penduduk dalam tempoh abad yang lalu.

Berdasarkan laporan ke-empat Tinjauan Alam Sekitar Global: penilaian pembangunan untuk alam sekitar atau ringkasnya GEO-4, pengambilan air dari sumber bumi dijangka meningkat 50 peratus menjelang 2023 di negara-negara sedang membangun, dan 18 peratus di negara-negara maju.

GEO-4 ialah laporan komprehensif serta berwibawa PBB mengenai alam sekitar, pembangunan dan kesejahteraan manusia.

Berdasarkan Laporan Pembangunan Manusia 2006 Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), lebih 1.4 bilion orang pada masa ini tinggal di lembangan sungai di mana penggunaan air mengatasi paras penjanaan semula air minimum, mengakibatkan pengeringan sungai dan penyusutan air bawah tanah.

KRISIS AIR SEJAGAT

Statistik FAO menunjukkan, menjelang 2025, 1.8 bilion orang akan tinggal di negara-negara atau kawasan dengan kekurangan air yang mutlak, dan dua pertiga daripada penduduk dunia akan berdepan dengan keadaan hidup yang banyak tekanan.

Mengikut kajian WWAP, setiap orang memerlukan antara 20 hingga 50 liter air bersih yang selamat sehari untuk menjamin keperluan asas minuman, memasak dan pencucian.

Namun demikian, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada seorang bagi setiap 6 orang di seluruh dunia (kira-kira 894 juta) tidak mempunyai akses kepada jumlah air bersih itu.

Di peringkat global, cirit-birit ialah punca menyebabkan penyakit dan kematian akibat kekurangan akses kepada kemudahan sanitasi serta bekalan air yang tidak mencukupi bagi kebersihan di samping air minuman yang tidak selamat.

Malahan hari ini 2.5 bilion orang, termasuk hampir satu bilion kanak-kanak, tinggal tanpa sanitasi asas. Setiap 20 saat seorang kanak-kanak maut akibat keadaan sanitasi yang menyedihkan. Angka itu ialah 1.5 juta kematian yang boleh dielakkan setiap tahun.

Perangkaan berkenaan diperoleh daripada Water Supply and Sanitation Collaborative Council (WSSCC), organisasi antarabangsa dengan sekretariat berpejabat di Geneva, Switzerland.

KRISIS BERTERUSAN

Menurut WSSCC, di bahagian Sub-Sahara Afrika, merawat cirit-birit melibatkan 12 peratus daripada bajet kesihatan. Pada hari biasa, pesakit yang menderita penyakit berkait dengan kotoran najis memenuhi lebih separuh daripada katil hospital.

Kajian yang dibuat oleh WWAP mendapati, dua juta tan sisa manusia dibuang ke dalam saliran air setiap hari. Di negara sedang membangun, 70 peratus sisa industri dibuang tanpa dirawat ke dalam air di mana ia mencemar sumber air yang boleh digunakan.

Hasil penemuan ini senada dengan kajian GEO-4 iaitu jangkaan peningkatan penggunaan baja untuk pengeluaran makanan serta limpahan air sisa dalam tempoh tiga dekad akan datang akan menaikkan kandungan nitrogen di dalam sungai antara 10-20 peratus ke sistem ekologi pesisiran pantai.

Menurut WWAP separuh daripada kawasan paya air tawar dunia pupus sejak 1900.

Ia juga menganggarkan bahawa antara 1991 dan 2000, lebih 665,000 orang terkorban dalam 2,557 bencana alam di mana 90 peratus ialah kejadian yang berkait dengan air.

IMPAK KRISIS

Keperluan air minuman harian setiap orang ialah antara 2 hingga 4 liter, tetapi untuk menghasilkan makanan harian untuk seorang memerlukan antara 2,000 hingga 5,000 liter air.

Menurut FAO, sebanyak 1,000 hingga 3,000 liter air diperlukan untuk menghasilkan hanya sekilo beras dan 13,000 hingga 15,000 liter air bagi mengeluarkan sekilo daging lembu di mana haiwan ini diberi makan bijirin.

Agensi PBB itu menganggarkan pada 2007, jumlah orang yang mengalami kekurangan khasiat makanan seluruh dunia ialah 923 juta.

Dari tempoh itu hingga 2050, FAO melaporkan air dunia perlu menanggung sistem pertanian yang akan memberi makan serta menjana mata pencarian untuk tambahan 2.7 bilion orang.

Dari segi tanah di bawah pengairan di dunia, FAO menganggarkan ia sekitar 277 juta hektar, iaitu kira-kira 20 peratus daripada semua kawasan pertanian. Pertanian yang bergantung kepada air hujan juga diamalkan iaitu hampir 80 peratus daripada tanah suai tani.

Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim meramalkan hasil tuaian daripada pertanian yang bergantung kepada sumber air hujan akan menurun sebanyak 50 peratus menjelang 2020.

Akibat perubahan iklim, agensi PBB itu menjangkakan salji dan ais banjaran Himalaya, yang menyumbang sejumlah besar air untuk pertanian di Asia dijangka merosot sebanyak 20 peratus menjelang 2030.

Katanya pengairan dan saliran menaikkan hasil tuaian kebanyakan tanaman sebanyak 100 hingga 400 peratus, dan pertanian yang membabitkan pengairan menyumbang 40 peratus kepada pengeluaran makanan dunia.

Bagaimanapun, amalan perparitan dan pengairan yang lemah menyebabkan berlakunya air tersumbat dan kemasinan tanah (salinisation), melibatkan kira-kira 10 peratus tanah dunia yang digunakan untuk pertanian.

AIR SEMAKIN BERKURANGAN

Climate Institute (CI), pertubuhan bukan bersifat keuntungan yang berpejabat di Washington mengenal pasti empat faktor utama, iaitu pertumbuhan penduduk, peningkatan urbanisasi, penggunaan air yang tinggi, pencemaran dan perubahan iklim yang menyebabkan kekurangan air.

Menurut Institut itu, penduduk dunia pada abad lepas meningkat tiga kali ganda dan dijangkakan meningkat daripada jumlah 6.5 bilion sekarang kepada 8.9 bilion pada 2050.

Dalam tempoh 20 tahun akan datang, jumlah penduduk di bandar-bandar di Asia juga dijangkakan akan bertambah seramai satu bilion orang.

Penggunaan air juga dijangka meningkat selaras dengan kepesatan kemajuan serta pembangunan seluruh dunia.

Sumber air tawar juga dijangka merosot akibat perubahan iklim yang tenat dengan impak bukan sahaja ke atas kualiti air tetapi juga sistem ekologi akuatik dan air bawah tanah.

Beberapa bahagian selatan China dilaporkan baru-baru ini mengalami kemarau yang paling buruk dalam tempoh beberapa dekad ini. Ini menyebabkan berjuta-juta penduduk tidak mempunyai bekalan air yang cukup dan banyak kawasan perladangan menjadi terlalu kering untuk dicucuk tanam.

Malah sesetengah penganalisis meramalkan air akan menjadi faktor penting mencetuskan konflik dan pertikaian pada masa depan akibat kekurangan air yang melampau memandangkan banyak negara berkongsi lembangan sungai serta sumber air yang lain. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan