Ke Mana Hilangnya Air?

Diterbitkan: Ahad, 21 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAYANGKAN suatu hari nanti, anda terpaksa menggunakan air osmosis balikan (RO) untuk keperluan harian. RO berharga kira-kira 50 sen seliter dan kalau anda menggunakan 1,000 liter sebulan, bil anda boleh mencecah RM500.

Sanggupkah anda membayar sebegitu mahal untuk air yang digunakan bagi tujuan memasak, mandi atau membasuh baju?

Mungkin sukar membayangkan senario ekstrem sebegitu. Apa tidaknya, kita kini secara purata hanya membayar 70 sen bagi satu meter padu atau 1,000 liter air.

Sumber air bersih dan dirawat dirasakan seperti tidak akan kehabisan.

Tapi hakikatnya, Malaysia semakin kekurangan sumber air bersih.

Masalah ini bukan saja membelenggu Malaysia, malah seluruh dunia. Ingat, hanya dua peratus daripada sumber air seluruh dunia boleh digunakan manusia.

Selebihnya ialah air laut. Dan jika kita gagal menjaga dan melindungi sumber bekalan air yang dua peratus itu, kita mungkin terpaksa menggunakan proses “desalinasi” untuk bekalan air harian kita.

Desalinasi ialah proses yang membuatkan air laut dapat diminum oleh manusia, seperti osmosis balikan. Namun begitu, prosesnya menelan kos yang begitu tinggi dan tentunya orang ramai akan terbeban membayar air yang dihasilkannya.

TADAHAN AIR KIAN DIMUSNAHKAN

Mengapa begitu sukar untuk mendapatkan sumber air bersih?

“Di Malaysia, sebab utama ialah pencemaran dan tadbir urus yang lemah di kawasan tadahan air,” kata S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia.

“Dan antara petanda pertama perkara ini sedang berlaku ialah tarif air yang semakin meningkat.”

Kata beliau, kawasan tadahan air dan sekitarnya harus diwartakan. Namun, apa yang sedang berlaku ialah kerajaan negeri memberi kebenaran kepada syarikat pembalakan dan perladangan menggunakan kawasan itu demi keuntungan jangka pendek.

Dan hasilnya? Pencemaran di kawasan tadahan air, kos rawatan air yang tinggi dan jika tahap pencemarannya sangat kritikal, loji rawatan air berkaitan terpaksa ditutup.

Beliau memberi contoh projek terbaru di sebuah negeri yang merupakan satu projek ladang getah seluas 443 hektar. Projek ini membabitkan penerokaan hutan di dua stesen pengambilan dan penapisan air.

“Apa yang sedang berlaku di situ ialah hutan-hutan ditebang dan pokok getah pula ditanam, dengan ditabur baja dan racun perosak dalam jumlah yang banyak. Semua bahan kimia ini akan meresap ke dalam tanah atau pun disorong ke dalam sungai apabila hujan.

"Kalau ada kawasan petempatan di kaki bukit di situ yang menggunakan air telaga, kesemua bahan berbahaya ini akan masuk sekali. Baja dan racun perosak mengandungi ammonia, nitrat dan fosfat. Kalau ketiga-tiga bahan kimia ini berada di dalam air, kos merawatnya amat tinggi. Biasanya, jika pencemaran ammonia dikenal pasti berlaku di sesuatu loji rawatan air, ia akan ditutup serta-merta,” katanya.

Katanya inilah yang berlaku di Sungai Nilai dan Sungai Langat.

Piarapakaran mengingatkan bahawa racun yang digunakan untuk membunuh haiwan perosak turut boleh membunuh manusia. KUALITI TURUN, HARGA NAIK

Dalam kes lain di Cheras pula, sebuah loji rawatan terpaksa ditutup kerana pencemaran ammonia daripada sisa kumbahan.

“Bayangkan, tiada tangki septik di situ untuk menapis kumbahan, jadi kesemuanya terus masuk ke dalam sungai. Bukannya tidak boleh dirawat, tapi bila kualiti air begitu teruk, kos merawatnya pasti tinggi,” katanya.

Dan bila kualiti air menurun, katanya, tarif pasti akan naik.

“Ini yang kita tidak mahu. Kami sebagai persatuan pengguna pun tidak dapat terus memperjuang tarif yang rendah jika orang ramai tidak sedar kepentingan melindungi hutan kita.”

Menyentuh kembali isu pewartaan kawasan tadahan air, Piarapakaran menceritakan pula tentang kes kawasan tadahan air Ulu Muda di Kedah.

Kawasan itu diwartakan ketika jajahan British di Malaya. Namun, pembalakan berleluasa masih berlaku di situ sepanjang tahun 60-an hingga 90-an.

Pada 2003, kabinet mengarahkan pembalakan di situ dihentikan dan hutan hujan itu diwartakan sebagai kawasan tadahan air. Namun kerajaan negeri masih nekad untuk melakukan “pembalakan terancang” dengan alasan “memerlukan sumber pendapatan negeri yang lumayan.”

Pembalakan terancang itu dilaporkan memberi pulangan RM16 bilion bagi penebangan tiga atau empat pokok bagi setiap hektar. Namun yang menerima padahnya ialah ekosistem hutan hujan Ulu Muda.

“Ini akan mengganggu kualiti air di situ dan yang pastinya, harga rawatan air akan meningkat. “Ini bukan sahaja masalah bagi Kedah, tetapi juga bagi Pulau Pinang yang bergantung kepada Kedah untuk 40 peratus daripada bekalan airnya,” kata Piarapakaran.

Beliau berkata tidak banyak kawasan tadahan air di Pulau Pinang. Oleh itu, kegagalan Kedah untuk melindungi hutan juga bermaksud kehilangan sumber air bagi Pulau Pinang.

HUTAN KITA, SUMBER AIR KITA

Malaysia masih banyak sumber air kerana hutannya.

“Hutanlah kawasan tadahan air kita. Tetapi kalau pihak berkuasa sering tunduk kepada syarikat pembalakan yang hanya ingin membuat “pembalakan terancang”, kita akan menghadapi masalah yang besar,” kata Piarapakaran.

Katanya di Perak, banyak hutan hujan di Banjaran Titiwangsa dimusnahkan.

Keratan rentas Semenanjung Malaysia menunjukkan bagaimana banjaran itu merupakan tulang belakang kepada kehidupan rakyat Malaysia. Apabila hujan turun, air akan mengalir dari pantai timur ke pantai barat dengan dikawal oleh pokok-pokok di hutan yang “menadah” air hujan itu dan melepaskannya perlahan-lahan ke seluruh Semenanjung.

Selebihnya akan diserap ke dalam tanah dan juga menjadi sumber air tanah yang dilepaskan sedikit demi sedikit ke dalam tasik. Ini memastikan sumber air yang berterusan tidak kira pada musim hujan atau pun kemarau.

"Dengan cara itulah hutan menyokong kehidupan kita," kata Piarapakaran.

Kegagalan melindungi khazanah ini boleh mengakibatkan masalah air yang kronik, seperti halnya di Perak. Dahulu, jarang sekali didengar banjir berlaku di Perak, lebih-lebih lagi di kawasan seperti Larut Matang dan Selama.

Kawasan itu menerima kadar hujan tertinggi di Malaysia iaitu 5,000mm setahun. Namun, ia tidak pernah dilanda banjir sehinggalah baru-baru ini bila Bukit Larut di Taiping mengalami banjir.

Ini semua gara-gara penebangan hutan yang berleluasa di bukit itu, kata Piarapakaran.

Beliau menerangkan kadar aliran masuk yang rendah ke dalam tanah menyebabkan air hujan mengalir terus ke dalam tasik sehingga berlakunya banjir.

Apabila cuaca panas kembali, tasik itu akan kekeringan dan keseluruhan sumber air akan hilang begitu sahaja. Katanya perkara itu sudah pun berlaku di Gunung Semanggol, Perak, yang kehilangan sebuah sungai disebabkan aktiviti pembalakan di sekelilingnya.

Katanya negeri-negeri yang mengalami tekanan air yang sama ialah Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan. “Lihat sahaja Melaka, yang pernah mengalami krisis air yang teruk. Mengapa? Cubalah lihat berapa hutannya yang tinggal. Hampir tiada, kerana semuanya dikorbankan untuk aktiviti perladangan.”

Di Kelantan pula, mana-mana aktiviti pembalakan akan memberi kesan buruk serta-merta kerana tanahnya merupakan tanah liat yang mempunyai ketelapan air yang rendah. Ini dicerminkan melalui banjir teruk yang berlaku saban tahun di negeri itu.

JANGAN SALAHKAN PERUBAHAN IKLIM

Memang selalu didengar pihak yang mengatakan perubahan iklimlah penyebab krisis air, kemarau, banjir dan pelbagai masalah lain.

“Tetapi bukan perubahan iklim semata-mata yang mengakibatkan kekurangan bekalan air. Kita juga telah ‘mendera’ sistem itu,” kata Piarapakaran.

Sistem yang dimaksudkan bukanlah rumit – jika hutan dikacau, impaknya pada bekalan air.

Katanya dua perkara boleh berlaku di Malaysia kerana perubahan iklim.

"Kita mungkin akan mengalami lebih banyak hujan, ataupun tiada langsung.

“Bila kadar hujan diganggu, kelangsungan hidup sesebuah negara beriklim tropika juga diganggu. Ini kerana hujan tidak menyokong penyerapan air tanah. Di negara sistem glasier (negara empat musim), kadar aliran masuk tinggi kerana salji cair dengan perlahan.

“Di sini pula, hutan menadah kebanyakan air hujan yang turun, dan melepaskan sedikit demi sedikit. Sebab itulah jika hujan di KL, paras air di Sungai Klang meningkat. Sebaliknya jika hujan di sana, paras air di sini sangat rendah,” katanya.

Oleh kerana itu, sungai itu biasanya hanya akan melimpah selepas dua jam kerana pelambatan itu, yang merupakan satu proses semula jadi. Namun dengan pemusnahan hutan, tempoh pelambatan itu akan dikurangkan.

Dan akibatnya ialah apa yang sering dialami kini -- kekurangan bekalan air, tarif yang kian meningkat dan kualiti yang tidak memuaskan sehingga pengguna terpaksa memasang penapis air sendiri.

Inikah yang akan terus berlaku kepada rakyat Malaysia? Anda tentukan. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan